Friday, May 11, 2018

Pergi Kini, Semoga Kembali


KEBUN TAMAR yang indah, yang menjadi tempat untuk beristirahat, beribadah dan bermesra-mesraan dengan Allah bersama-sama dengan anak cucu pada setiap hari ini, terpaksa ditinggalkan.
Oh air PERIGINYA yang tidak pernah kering-kering, jika diminum, lazatnya terasa hingga ke qalbu.
Harapnya pemergian buat sementara waktu, bukan untuk selama-lamanya.
Tetapi jika untuk selama-lamanya pun, tidak mengapa, biasa-biasa sahaja.
Aturan Allah akan dilalui dengan redha.

Kerana musuh-musuh yang sudah berzaman iri hati dan hanya mampu memerhati dari jauh, kini punya peluang luas untuk menyerang dan menghancurkannya.
Bukan kebun dan perigi ini sahaja, bahkan kebun-kebun orang lain di sekitarnya dan perigi-perigi mereka juga.
Bukan untuk kepentingan seorang diri dan keluarga, tetapi untuk kepentingan semua kejiranan.

Maka, sekalipun kehendak hati tidak suka untuk pergi, tetapi demi kelangsungan kebun tamar dan perigi ini dan kebun-kebun orang lain juga, terpaksalah meninggalkan segala kerehatan dan kenikmatan di dalamnya lalu bergerak ke medan, dengan harapan agar kebun ini dan kebun-kebun lain itu dapat terus wujud.
Tidak menang pun tidak mengapa, asalkan lebih kecil mudaratnya dan lebih panjang walaupun sedikit usia kebun dan perigi ini.

Sekurang-kurangnya diharapkan agar kebun dan perigi ini terus ada, anak cucu masih boleh tumpang berteduh dan melepas dahaga, walaupun seorang cuma pewarisnya.
Tetapi sekiranya kebun dan perigi ini sudah dirampas, dirosakkan atau dimusnahkan oleh musuh, kewujudan kebun dan perigi ini akan terputus begitu sahaja, hanya tinggal nama, jadi sejarah.
Tidak akan ada lagi KEBUN dan PERIGI seumpamanya.

Perjuangkan ia, sementara masih ada peluang.
Jika berdiam diri sahaja, tidak mustahil pada suatu hari… ia hilang.
Hilang yang tidak kembali lagi.

Pengorbanan hari ini, adalah untuk kemudahan hari depan.

Memang benci (tidak suka) untuk pergi dan berpisah dengan anak cucu, tetapi boleh jadi Allah kurniakan kebaikan di sebaliknya.
Memang lebih suka untuk tetap tinggal di kebun ini dan meminum airnya bersama anak cucu, tetapi boleh jadi hal itu buruk pada Allah.

“Kamu diwajibkan berperang (berjuang dengan pelbagai cara untuk menentang pencerbohan) sedangkan peperangan itu perkara yang kamu benci (tidak suka). Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik untuk kamu. Dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia buruk untuk kamu. Allah mengetahui, sedangkan engkau tidak mengetahui.” (Al-Baqarah : 216)


No comments: