Saturday, April 1, 2023

Bukan Pada Banyaknya Kerja tetapi Pada Kualitinya Kerja

 

Sekiranya dapat mandi 2-3 kali sahaja sehari tetapi tubuh badan umumnya kekal bersih dan selesa sepanjang masa, hal itu adalah lebih baik daripada kena mandi setiap setengah jam (20-30 kali sehari) untuk mendapatkan kekal bersih dan selesa sepanjang hari tersebut. Urusan ini lebih kepada kualiti bukan kuantiti, lebih kepada mutu bukan bilangan. Banyak urusan lain tidak dapat dibuat jika asyik berulang masuk ke bilik mandi berpuluh kali sehari sedangkan hidup kita bukan untuk mandi sahaja. Maka untuk mendapatkan mandian yang berkualiti, tentulah ada ilmu, praktikal dan penghayatannya. Mandian berkualiti ini tidaklah dapat diperolehi jika tidak dicuba (dilatih) berulang kali sehingga sebati.


Begitu jugalah halnya dengan lafaz zikrullah. Jika dengan sekali lafaz sahaja pun tetapi isi kandungannya terhayat dengan kita selama 1000 saat, hal itu adalah lebih baik daripada 100,000 kali lafaz tetapi isi kandungannya terhayat pada qalbu kita (jika dicampur2) dapatlah beberapa puluh saat sahaja. Urusan ini lebih kepada kualiti bukan kuantiti, lebih kepada penghayatan bukan banyak bilangan, lebih kepada dapatan bukan perbuatan. Maka untuk mendapatkan perlakuan melafaz zikrullah yang berkualiti, tentulah ada ilmu, praktikal dan penghayatannya. Berzikrullah berkualiti ini tidaklah dapat diperolehi jika tidak dicuba (dilatih) berulang kali.


Umumnya banyak itu ada membantu tetapi untuk peringkat lanjutan ia kurang membantu. Yang sangat membawa maju ialah penguasaannya walaupun sedikit.


Ibarat belajar silat tertentu, buah asasnya puluhan, buah anaknya ratusan dan buah cucunya ribuan. Sewaktu latihan harian, jangan sasarkan untuk buat ribuan pecahan itu. Cukuplah dengan bebebrapa buah asas dan beberapa buah anak sahaja. Mahirkan. Perlakuan sebegitu lebih mengkualitikan kemahiran diri. Takkan sempat jika hendak selesaikan kesemua ribuan pecahan cucu setiap hari dan nanti akhirnya tidak banyak pun yang boleh kita kuasai dengan mahir. Sewaktu berhadapan dengan musuh pun, jangan bercadang untuk buat seberapa banyak buah, teknik dan taktik yang dipelajari tetapi reflekskan satu dua sahaja yang terbaik untuk selamatkan diri, melemahkan musuh, atau mengalahkan musuh.


Dalam tinju, kita asah tumbukan kita (lajunya, beratnya, tepatnya, kesannya, helahnya) agar jika dapat dalam masa beberapa saat dan dengan beberapa kali tumbukan sahaja sudah merehatkan musuh. Tetapi bagi orang2 yang malas untuk mengasah tumbukannya (tentunya dengan ilmu, latihan dan penghayatan yang tidak sedikit), mungkin mereka terpaksa berletih2 "menghantar" puluhan atau ratusan tumbukan sebelum dapat merehatkan musuh. Itu pun jika bukan mereka yang jatuh 'berehat".


Sekadar satu contoh. Kita kena beringat bahawa biasanya pertarungan hidup mati sebenar di luar sana berlangsung hanya dalam beberapa saat sahaja. Ia tidak sebagaimana pertarungan hidup hidup dalam latihan, dalam gelanggang pertandingan atau dalam pergaduhan biasa (level bengkak2, lebam2, luka2, patah sikit2 dsb). Tapi jika kita masih perlukan 100 kali tumbukan baru kita dapat menggoyahkan musuh, dapatkah kita bertahan untuk terus berdiri dalam tempoh masa beberapa saat itu?


Umumnya jangan kejar banyak, tetapi kejar kualiti. Mengejar banyak itu biasanya hanya akan menambah bilangan, menambah bebanan, menambah keletihan, menambah urusan, dan menambah panjang masa untuk mencapai tingkatan2. "Pukulannya" terhadap syaitan dan kehendak hawa nafsu beribu kali tetapi mereka sekadar gatal2 dan sakit sikit2 seperti digigit semut sahaja. Lebih baiklah "pukulannya" hanya beberapa kali tetapi syaitan dan kehendak hawa nafsu terduduk kesakitan sepanjang hari.


Untuk mencapainya kena berani berubah, kena berani berkorban, kena berani berhijrah ke tingkat atas dari tingkat bangunan bawah. Jangan disayang2 sangat kelazatan di tingkat bangunan sedia ada itu kerana terdapat yang lebih hebat lagi di tingkat atas sana. Lagi lazat "hidangannya", lagi sedap "tasnim"nya, lagi indah2 "perhiasannya", lagi luas mata memandang dari balkoninya.


*Sebab itulah dalam Tarekat Ghazaliyah tidak banyak bilangan lafaz zikrullahnya. Malahan makin lama makin menyedikit pula. Hal ini adalah sedemikian kerana yang dikejar bukannya banyak berbuat tetapi banyak berdapat.


1/4/23

Blog Debunga Teratai Syurgawi


No comments: