Friday, November 27, 2026

Pintu Kubah Hati ke Alam Ghaib

 

Al-imam al-Ghazali menulis : Abu Sulaiman ad-Darani berkata : “Adalah qalbu itu laksana kubah yang diperbuat. Di kelilingnya (di sekeliling kubah itu) ada pintu2 yang terkunci. Maka, pintu mana pun yang dibuka baginya (bagi qalbu itu), nescaya ia (qalbu itu) beramal padanya (akan mengikut apa yang dpaat melalui pintu itu). Maka, tampaklah terbukanya salah satu daripada pintu qalbu itu ke arah alam malakut dan al-mala’il a’la. Dan pintu itu terbuka dengan mujahadah, wara’ dan meninggalkan kehendak nafsu syahwat duniawi.” (ms 69) Tamat kata2 IG.

Sekarang, kita bayangkan qalbu kita ini atau hati kita ini seumpama sebuah kubah. Kubah itu sangat besar. Dan pada kubah itu ada banyak pintu.

Pintu mana pun yang terbuka, melalui pintu itu akan masuklah sesuatu ke dalam kubah hati kita ini.

 

Katakanlah kubah ini (qalbu kita ini) ada 1000 pintu (sekadar percontohan).

Pintu yang ke-7 itu katakanlah menghadap ke arah tapak pembinaan. Maka apabila pintu ke-7 itu terbuka, akan masuklah ke dalam kubah ini haba panas, bunyi bising, cahaya terang, dan debu2.

Pintu yang ke-30 pula menghadap ke arah hutan rimba. Maka apabila pintu ke-30 itu terbuka, akan masuklah ke dalam kubah ini bunyi2an rimba, udara dingin, cahaya malap, dan nyamuk2.

Pintu yang ke-745 pula menghadap ke arah dapur rumah. Maka apabila pintu itu terbuka, akan masuklah ek dalam kubah ini bau2an masakan, cahaya lampu, lalat2 dan asap.

 

Jadi, kubah ini akan terisi dengan perkara2 yang masuk melalui pintu2 tertentu yang terbuka. Qalbu atau hati kita ini, akan terisi dengan perkara2 yang masuk melalui pintu2 tertentu yang terbuka.

 

Salah satu daripada pintu2 itu menghadap atau mengarah kepada alam malakut dan isinya. Para pengamal TST (tasawuf, sufi, tariqah) memang sangat mengharapkan agar pintu ini terbuka, selalu terbuka, dan luas terbukanya.

 

Hendak membuatkan gara pintu ini terbuka, ada cara2nya. Kata IG, kenalah melalui jalan mujahadah, bersifat wara’, dan meninggalkan kehendak nafsu syahwat keduniaan.

 

Seolah2 ada 3 mata anak kuncinya iaitu kena mujahadah, kena wara’, dan kena tinggalkan melayan kehendak2 keduniaan.

 

-          Petikan daripada Pengajian kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin kali ke-304 (tahun ke-16), syarahan Kejaiban Qalbu siri ke-26 oleh Paklong Abu Zulfiqar, 26 Oktober 2026

No comments: