Friday, November 27, 2026

Ada Ilmu2 Yang Bukan Jenis Dipindahkan

 

Ada ilmu2 yang guru dapat pindahkan dari kepala guru kepada kepala murid. Dan ada ilmu2 yang guru tidak dapat memidahkannya kepada murid, melainkan guru hanya dapat menunjukkan jalan dan membimbing murid agar si murid dapat bergerak untuk melaluinya, mengalaminya dan merasainya sendiri.

 

Tamsilannya - tok guru kata di atas Bukit 30 di Sumatera ada pokok2 ajaib yang luar biasa lazat rasa buahnya dan rasa daun2nya . Tak boleh nak dicerita macam mana lazat rasanya itu. Sekiranya  murid hendak merasa makan buah dan dedaun pokok ajaib itu, tok guru boleh tunjukkan jalannya atau lorongnya ke atas gunung. Ikutlah lorong itu (ikutlah tariq itu), insya-Allah panjang umur akan sampailah.

 

Anak2 murid pun ikutlah lorong tersebut. Pada lorong atau laluan ke atas bukit itu, pada tariqah itu, masih ada bekas2 tapak kasut tok guru, sampailah ke atas. Sebab tok guru dah pernah naik ke sana.

 

Ikutlah lorong itu (tariq) itu, tetapi jangan betul2 ikut 100% kedudukan tapak2 kaki tok guru. Yang kena diikut ialah lorongnya (laluannya, tariqnya), bukan setiap bekas letak tapak kasut tok guru. Hal ini kerana lain orang lain keadaannya.

 

Maka, kita bertapak ikut keselesaan kita dan keberkesanan langkah kaki kitalah. Ada orang yang langkahnya luas2, ada orang yang langkahnya sederhana, ada orang yang langkahnya kecil2. Ada orang kuat kaki kanannya, ada orang kuat kaki kirinya. Ada orang yang tinggi tubuhnya, ada orang yang rendah tubuhnya. Ada orang ringan badannya, ada orang berat badannya. Ada orang yang sihat, ada orang yang kurang sihat. Ada orang mahu cepat, ada orang yang biasa2 sahaja.

 

Maka semua itu tidak sama keadaannya. Jadi, kita ikut lorong yang ditunjukkan oleh guru beserta panduan2 yang diberikan oleh guru. Bukannya kita ikut segala kedudukan tapak kasut guru. Bekas tapak kasut guru akan sentiasa ada di sepanjang lorong itu, dan memang banyak tapak kaki murid2 yang akan sama dengan kedudukan bekas kaki guru, tetapi bukanlah semua 100% sama.

 

Bagi orang2 yang istiqamah mengikut lorong itu dan pakai panduan2 yang dibekalkan oleh mursyid, serta patuh dengan adab2 di sepanjang pendakian, insya-Allah suatu ketika mereka akan sampai juga di kemuncak gunung dan dapat menikmati buah dan daun pohon2 ajaib tersebut. Mereka akan merasai sendiri, melalui sendiri, mengalami sendiri macam mana rasa buah dan dedaun pokok itu.

 

 

Kata tok guru : “Kalian ikutlah jalan ini, dan ikutlah panduan2 yang saya berikan, serta patuhilah adab2nya di sepanjang perjalanan. Ikut laluan ini bukan betul2 ikut letak bekas tapak kaki saya. Tapi kalian bertapaklah mengikut kesesuaian diri kalian di sepanjang jalan yang ditunjukkan ini. Dan kalian akan terperasan bahawa banyak kedudukan tapak kaki kita nanti yang punya persamaan. Jangan pula kalian tersimpang ke arah lain mengikut jalan2 yang direka2 sendiri. Nanti kalian akan tersesat. Ikut laluan ini sahaja. Insya-Allah akhirnya kalian akan dapat merasai betapa nikmatnya memakan buah dan daun daripada pokok2 tersebut.” Begitulah pesan si guru.

 

-Dalam perjalanan itu, ada orang yang mengikut langkah2nya sendiri dan tentunya mereka terpijak juga sebahagian besar daripada kesan2 tapak kaki guru. Insya-Allah mereka berpeluang sampai ke kemuncak. Dan dalam banyak keadaan, mereka akan terperasan bahawa banyak laluan yang dipijak oleh guru itu sebenarnya membuatkan jalan mereka lebih cepat, lebih selamat, dan lebih mudah.

 

Ada pula orang2 yang betul2 hendak mengikut bekas2 tapak kaki guru. Dia berpijak pada setiap kedudukan bekas tapak kaki guru itu. Insya-Allah mereka tetap berpotensi untuk sampai ke kemuncak juga.

 

Kesimpulannya, dalam hal2 yang bukan jenis pemindahan maklumat, murid kena berusaha untuk melalui, mengalami dan merasainya sendiri. Ikutlah penunjuk jalan yang betul, ikutlah lorong yang betul, ikutlah panduan2 yang betul, patuhilah segala adab2nya, insya-Allah akan dapat mencapai hal2 tersebut. Hal yang tinggi2, yang dalam2, yang hebat2, yang luas2, yang jauh2.

 

-          Petikan daripada Pengajian kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin kali ke-304 (tahun ke-16), syarahan Kejaiban Qalbu siri ke-26 oleh Paklong Abu Zulfiqar, 26 Oktober 2026

No comments: