Friday, December 13, 2024

Amalan Berdoa Diperlekehkan

 

Ada segelintir pihak yang mempertikaikan amalan berdoa kepada Allah. Berikut merupakan sedikit penjelasan kita akan sebab-musabab berdoa itu menjadi amalan kita.


1. Kerana berdoa itu perintah Allah.


Firman-Nya ‘Azza wa Jalla :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Dan berfiman Rabb-mu : “BERDOALAH kepada Aku, nescaya Aku perkenankan doa kamu. Sesungguhnya orang2 yang TAKBUR (sombong) daripada berabdi kepada Aku akan masuk ke neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Ghafir : 60)


Selain daripada berdoa itu arahan Allah, orang2 yang tidak berdoa dikaitkan pula oleh Allah SWT dengan kesombongan (takbur) dan neraka jahannam.


2. Kerana dalam doa ada pengiktirafan, pengagungan dan kerendahan diri.


Berdoa sangat disukai oleh Allah kerana sama ada secara langsung atau tidak langsung ada pengiktirafan dan pengagungan terhadapnya sebagai Rabb, Ilah, al-Maalik, as-Somad, Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Pemurah, Yang Maha Memberi. Yang Maha Kaya dan sebagainya lagi. Selain itu berdoa juga menunjukkan pengakuan bahawa kita ini hamba, lemah, rendah, serba kekurangan, miskin, tunduk dan sebagainya. Hal2 sebegini sangat disukai oleh Allah.


3. Kerana berdoa itu sunnah nabi2 dan wali2.


Berdoa adalah sunnah para nabi (anbiya’) dan para wali (auliya’). R4S (Rasululah saw, 4 sahabat paling utama & Sahabat2 utama yang lain) sangat banyak berdoa. Dalam Al-Quran, ada sahaja doa Nabi Adam, Nuh, Ibrahum, Lut, Yusuf, Musa, Ayyub, Sulaiman, Zakaria. Mereka yang bertaraf rasul dan nabi itu pun banyak berdoa.


Berapa banyak kitab2 dan risalah2 doa yang disusun oleh para ulama? Imam al-Ghazali sendiri dalam kitab induknya iaitu Ihya’ ‘Ulumuddin memuatkan banyak sekali doa-doa. Menurut Imam al-Ghazali, ada 4 aktiviti waktu lapang yang sangat dianjurkan iaitu tilawah (dan tadabbur Al-Quran), zikir, fikir (tafakkur) dan DOA. Maka lebih utamalah untuk kita mencontohi sunnah para anbiya’ dan auliya’ berbanding “sunnah” orang2 lain.


4. Kerana Allah yang melorongkan kita untuk berdoa.


Dari segi hakikatnya, apabila kita berdoa, itu ertinya Allah yang melorongkan kita untuk berbuat demikian. Selain daripada Allah, tidak ada sesiapa atau sebarang kuasa yang dapat membuatkan kita berdoa. Begitulah pada hakikatnya.


5. Kerana doa itu antara petanda Allah hendak memberi.


Apabila Allah melorongkan kita untuk berdoa, umumnya itu bermaksud Dia hendak memberi. Apabila Dia hendak memberi, maka dibuatkan kita berdoa. Begitulah umumnya. Apabila raja dan penguasa hendak memberi, patutkah kita menolak pemberian mereka? Pemberian Allah tentulah lebih lagi.


6. Kerana mereka yang mempertikaikan berdoa itu juga ada memohon kepada makhluk.


Antara pengertian berdoa ialah memohon, meminta, dan mengharap akan sesuatu tindakan. Mereka mempertikaikan amalan memohon kepada Khaliq tetapi dalam masa yang sama mereka sendiri begitu banyak memohon kepada makhluq. Contohnya :

i) “Tolong ambilkan barang itu sekejap.”

ii) Mengisi borang permohonan agar diluluskan sesuatu oleh pihak tertentu.

iii) “Buatkan kopi untuk saya.”


Dengan makhluq, mereka meminta. Tetapi dengan Khaliq pula mereka enggan meminta. Yang mana satukah yang As-Somad dan Ar-Rahmaan?


7. Kerana berdoa itu memohon, bukan memaksa.


Berdoa itu memohon kepada Allah. Ibarat kita memohon kepada raja. Tidak ada salah di mana-mana. Yang salahnya jika melampau dalam berdoa sehingga berubaha jadi memaksa. Raja pun akan murka jika dia dipaksa2 oleh hamba rakyatnya. Dalam berdoa, kita hanya membuat permohonan kepaad Allah, bukannya memaksa2 atau memerintah Allah.


8. Kerana R4S, para nabi dan para wali lebih utama.


Sebahagian orang mendakwa : “Kami sudah berada pada maqam sekian2 yang sangat tinggi. Maka tidak ada doa-doa lagi. Orang2 lain yang maqam rendah pun sama. Buat apa nak doa2 lagi?”


Pencerahannya : “R4S, para anbiya’ dan auliya’adalah lebih tinggi maqam mereka, dan mereka banyak berdoa. Maka kami mengikut mereka.”


KESIMPULANNYA

1. Berdoa tidak mencacatkan apa-apa.

2. Berdoa dapat membawa kita ke maqam2 yang tinggi.

3. Teruskanlah berdoa.


7/12/24

No comments: