Saturday, October 1, 2022

Perlukah Bertarekat?

 

PERTANYAAN (Axxxx Dxxxxx) : Assalamualaikum tuan. Sedikit soalan daripada saya. Bagaimana saya ingin mengikuti Tarekat Ghazaliah ini? Adakah ia keperluan ke atas kita atau pun tidak? Apa dan bagaimana dan dari mana perlu bermula untuk belajar ilmu ini? Terima kasih tuan.


JAWAPANNYA : Waalaikumussalam.


Dalam tungku/tiang ad-diin yang 4 ada al-ihsan. Al-ihsan itulah tasawuf.

Dalam tasawuf pula ada tarekat.

Dan salah satu daripada tarekat itu ialah Tarekat Ghazaliyah.

Tarekat jenis inilah yang sedang kita bicarakan.


Al-ihsan atau tasawuf itu KEPERLUAN kerana ia salah satu daripada tungku/tiang ad-diin yang 4 (al-iman, al-islam, al-ihsan & al-sa'ah) sebagaimana dalam hadith Jibril. Kesemua 4 tungku/tiang ad-diin ini merupakan KEPERLUAN. Kita tidak boleh mengurangkan tekanan kepada walau salah satu daripada 4 tungku/tiang ad-diin ini sekalipun kita ada pengkhususan dalam salah satu daripadanya sahaja.


Maka tasawuf itu KEPERLUAN. Tarekat itu pula (termasuklah Tarekat Ghazaliyah) terletak ANTARA KEPERLUAN DAN KEHENDAK. Maksudnya seboleh-bolehnya memang kena adalah kerana ia amat penting. Tetapi sekiranya tidak bertarekat pun, masih boleh juga, kerana kita tetap masih boleh bertasawuf. Cuma biasanya akan lambat dan sukar untuk mencapai maqam-maqam seterusnya dalam tasawuf ini, lebih mudah disarangi sifat2 mazmumah, serta lebih mudah tergelincir. Dengan bertarekat, biasanya kita akan lebih cepat dan lebih mudah untuk mencapai maqam2 keRUHanian, kurang disarangi sifat2 mazmumah, dan sukar tergelincir. Dalam kata lain, jika tidak bertarekat ini kita kemungkinan besar akan mengalami kerugian2 yang di akhirat nantilah kita akan jelas2 menyedarinya.


Untuk mula beramal dengan Tarekat Ghazaliyah ini, tuan boleh :

1. mengamalkan lafaz Zikir Harian yang 1000x sehari itu. Lafaz Zikir Harian ini sangat masyhur dan diamalkan oleh banyak orang termasuklah yang tidak pernah mendengar nama Tarekat Ghazaliyah pun. Ia adalah untuk semua. Banyak orang kongsikan amalan ini di serata media sosial.


Jumaat - Ya Allah

Sabtu - Laa Ilahaillallah

Ahad - Ya Hayyu, ya Qayyum

Isnin - Laa haula walaa quwwatailla billah

Selasa - Selawat

Rabu - Astaghfirullahal 'azim

Khamis - Subhanallahi wabihamdih. Sibhanallahil 'azim (atau Subhanallahil 'azimi wabihamdih)


Segala amalan Tarekat Ghazaliyah sudah siap2 diniat diijizahkan kepada seluruh umat Islam untuk mengamalkannya. Segala pelajaran Tarekat Ghazaliyah juga adalah percuma. Berbai'ah bukan kemestian kecuali kepada bakal pewaris tarekat ini sahaja (termasuklah mu'allim, bakal mursyid, atau wakil ijazah dan bai'ah). Umumnya Tarekat Ghazaliyah adalah untuk semua dan tidak mengikat sesiapa.


2. mempelajari kitab Ihya' 'Ulumuddin. Bergurulah dengan mana2 guru yang benar sekalipun guru itu tidak bertarekat Ghazaliyah. Jika tidak jumpa atau sukar untuk mendapatkan pengajiannya, bolehlah ditampung dengan mana2 pengajian kitab Minhaj al-'Abidin karya Imam al-Ghazali atau Siyarus Salikin karya Syeikh Abdus Samad al-Falimbani. Jika tidak dapat juga, bolehlah mengikuti rakaman syarahan kitab Ihya' 'Ulumuddin yang saya buat. Semua raaman ada di Youtube, lebih daripada 1000 fail syarahan kitab Ihya' 'Ulumuddin.


Sekiranya ada kesempatan, tuan bolehlah bertemu dengan saya Abu Zulfiqar di Taiping, Perak atau sahabat saya Tuan Abu Ihsan https://web.facebook.com/mohdfirdaus.thahuddin di Jerantut, Pahang. Jika tuan ada sebarang pertanyaan tentang Tarekat Ghazaliyah, tuan bolehlah ajukan kepada kami sama ada secara berhadapan ataupun melalui teknologi hari ini khususnya media sosial ini.


Segala hal ehwal agama yang fardhu dan wajib, semua itu memang sudah siap2 kena buat sama ada kita bertarekat atau tidak. Segala yang haram pun memang siap2 kita kena jauhkan walaupun tidak bertarekat. Urusan2 syariat tetap kena dibereskan dengan jayanya sebelum atau semasa/selepas bertarekat.


Ikhlaskan hati, insya-Allah dari semasa ke semasa nanti pengetahuan, pengamalan, pemahaman dan penghayatan tuan tentang Tarekat Ghazliyah ini akan bertambah.


30/9/ 22

No comments: