Monday, October 10, 2022

Nak Berpilihan Raya vs Tak Nak

 

Bagi orang-orang yang mahu melibatkan diri dalam politik pilihan raya ini, kita maklum bahawa mereka punya hujah-hujah yang bagus. Kita pun pernah menelitinya dulu.


Bagi orang-orang yang tidak mahu melibatkan diri dalam politik berpilihan raya ini, kita juga maklum bahawa mereka juga punya hujah-hujah yang bagus. Kita pun pernah menelitinya dulu.


Ringkas kata, kita kena menerima kenyataan bahawa :


i) kedua-dua golongan ini akan selalu ada.


ii) kedua-dua golongan ini punya hujah-hujah dan sandaran-sandaran yang bagus.Masing-masing ada pandangan ulama-ulama dan tokoh-tokoh yang mereka cenderung.


iii) perbezaan pandangan, pegangan dan tindakan kedua-dua pihak ini akan berterusan dan tidak akan berkesudahan.


iv) dalam kedua-dua golongan ini wujud golongan PENGAJAK. Masing-masing akan mengajak agar masyarakat menyertai golongan mereka.


Golongan pengajak bagi PIHAK YANG MAHU itu akan berusaha untuk mengajak pihak yang tidak mahu agar jadi seperti mereka juga (agar berpolitik pilihan raya). Golongan pengajak bagi PIHAK YANG TIDAK MAHU itu juga akan berusaha untuk mengajak pihak yang mahu agar jadi seperti mereka juga (agar tidak berpolitik pilihan raya).


Tidak salah jika saling menerang, mengajak, mempelawa dan mengundang. Yang jadi masalahnya jiak sudah sampai ke peringkat yang lebih daripada menerang, mengajak, mempelawa dan mengundang. Ada yang sampai memaksa, mengugut, memboikot, menyakitkan hati, memarahi, atau saling menjatuh dosakan sesama muslim.


Dalam HAL INI, setiap pihak ada pandangannya. Jangan berasa hanya pandangan kita sahajalah yang mesti diterima oleh orang lain. Dalam HAL INI, setiap pihak pun ada hujah-hujah dan sandaran-sandarannya. Janganlah ada perasaan bahawa hujah kita sahajalah yang betul. Dalam HAL INI, masing-masing pihak pun ada ulama-ulama dan tokoh-tokoh mereka. Jangan ada keyakinan bahawa hanya ulama-ulama dan tokoh-tokoh kita sahaja yang benar. Ini semua sifat mazmumah yang sangat berbahaya.


Antara jalan keluarnya adalah dengan saling meraikan pegangan. Sesiapa yang mahu, dipersilakan. Kita faham sebab-musabab mereka mahu. Kepada sesiapa yang tidak mahu, dipersilakan juga. Kita pun faham sebab-musabab mereka tidak mahu itu. Dalam HAL INI, saling meraikan adalah sangat bagus berbanding sangat buruknya pertengkaran, perbalahan, perpecahan, permusuhan, tuduh-menuduh, pergaduhan, hukum-menghukum, marah-memarah, saling sakit hati, saling mengeji, dan seumpamanya.


Namun kita juga yakin bahawa dalam HAL INI, dalam kedua-dua golongan akan tetap ada SEGELINTIR pendukung yang taksub, yang hanya berasa pandangannya sahaja yang betul, yang berasa hanya pegangannya sahaja yang mesti diikuti oleh orang lain, yang meyakini dirinya berpahala sedangkan pihak satu lagi sebagai berdosa, dan sebagainya. Di mana-mana pun umumnya akan ada orang-orang sebegini. Masalah-masalah yang kita sebutkan di atas tadi biasanya dihasilkan oleh golongan inilah. Maka pandai-pandailah kita berhadapan dengan mereka.


Salinglah meraikan.


10/10/22

No comments: