Soalan 81 : Mengapa Nabi Muhammad tak cari Dajjal dan bunuh dia?
Jawapan : Nabi Muhammad SAW tidak berbuat demikian kerana baginda sudah maklum bahawa Dajjal akan ditewaskan oleh pihak lain pada masa akan datang. Samalah halnya dengan Zulqarnain dan bala tenteranya yang tidak juga pergi menewaskan Ya'juj dan Ma'juj, sebaliknya hanya membuat tembok penghalang kepada Ya'juj dan Ma'juj sahaja, kerana beliau sudah sedia maklum bahawa Ya'juj dan Ma'juj itu bukan binasa di tangannya dan pada zamannya.
Ketika ada beberapa orang sahabat Nabi SAW berkeluh-kesah tentang seorang remaja Yahudi (kemudiannya memeluk Islam) bernama Ibnu Sayyad yang dikatakan mempunyai beberapa ciri Dajjal, baginda ada pergi mencarinya tetapi baginda sendiri tidak pasti sama ada remaja itu Dajjal atau tidak. Sekiranya Ibnu Sayyad benar-benar Dajjal, tidak ada orang pada zaman itu yang dapat membunuhnya kerana kebinasaannya akan berlaku di tangan orang lain dan pada zaman yang lain. Sekiranya dia bukan Dajjal, maka akan jadi kes tersilap bunuh. Saiyidina Umar ada memminta keizinan Rasulullah SAW untuk membunuh Ibnu Sayyad tetapi baginda tidak menyetujuinya.
Sorang sahabat bernama Tamim ad-Dari ada terjumpa dengan Dajjal di sebuah pulau dan memberitahu kepada Rasulullah SAW. Masalahnya tidak ada siapa yang tahu lokasi tepat pulau tersebut. Wallahua'alam.
Soalan 82 : Tuan, sebenar-benarnya ilmu hakikat ni salah atau tidak?
Jawapan : Kita jangan tengok pada nama sahaja. Maksudnya, jangan berhukum berdasarkan nama "ilmu hakikat" itu semata-mata. Kita menilai berdasarkan isi kandungan ilmu atau ajaran itu juga.
Hal ini kerana ada orang yang mengajarkan sesuatu ilmu yang benar, dan dinamakan ilmunya itu sebagai ilmu hakikat. Ada pula orang yang mengajarkan sesuatu ilmu yang bermasalah, dan dinamakan ilmunya itu sebagai ilmu hakikat juga. Kedua-duanya pun disebut sebagai ilmu hakikat tetapi isi kandungannya berbeza. Yang benar itu tetaplah benar, dan yang salah itu tetaplah salah.
Jadi, ada ilmu yang dinamakan sebagai ilmu hakikat yang benar, dan ada ilmu yang dinamakan sebagai ilmu hakikat yang tidak benar.
Soalan 83 (dari Indonesia) : Assalamualaikum. Kalau mau baiat Thariqat Ghozaliyah (di) wilayah Jabar.. daerah mana ya kang? Khususnya (di) Karawang kalau ada.
Jawapan : Waalaikumussalam. Yang daripada jalur sanad kami, tidak ada di Pulau Jawa. Yang daripada jalur sanad Ghazaliyah yang lain, mungkin ada tetapi kami tidak tahu keberadaan mereka.
Soalan lagi : Akang dari daerah mana gitu kang?
Jawapan : Saya di Semenanjung Tanah Melayu, Malaysia.
Soalan 84 : Assalamualaikum tuan. Boleh kah saya amalkan zikir Imam Al Ghazali ni tanpa ijazah?
Jawapan : Wlksm. Boleh tuan. Lagi pun amalan ini sudah siap-siap diniatkan sebagai diijazahkan kepada seluruh umat Islam untuk mengamalkannya.
Soalan 85 : Ustaz, antara berkuliah dan menulis buku, mana lagi banyak dapat duit? Contohnya untuk seorang yang baru tamat pengajian agama (*dan) mahu berkerjaya.
Jawapan : Pada PANDANGAN PERIBADI sayalah, berkuliah. Katakanlah seorang pengkuliah yang tidak terkenal, mengajar 26 hari sebulan (tolak cuti sehari seminggu), antaranya ada 4 kali ceramah untuk majlis-majlis tertentu, dia mungkin boleh dapat sekitar RM2500 sebulan. Jika sehari ada lebih daripada satu kuliah seperti kuliah, subuh, dhuha, zohor atau asar, mungkinlah antara RM3000 ke RM 3500. Ada orang yang kerjayanya berkuliah, dalam sehari boleh ada 3-4 kuliah. Lagi banyaklah. RM4000 ke ataslah jawabnya. Itu jika tidak terkenal atau baru-baru belajar berkuliah.
Jika si pengkuliah sudah agak terkenal, rasanya antara RM5000 ke RM10,000 sebulan. Jika sudah terkenal pula, memang boleh mencapai puluhan ribu RM sebulan.
Jadi penulis? Jika tidak terkenal, purata sebulan royaltinya mungkin PULUHAN RINGIT sahaja. Kalau KELUARKAN BUKU SENDIRI, potensi untuk rugi atau tak balik modal memang tinggi. Nak tunggu modal menjadi untung, berbulan-bulan lamanya dan mungkin makan tahun.
Sekiranya sudah agak dikenali, mungkin purata bulanan royaltinya ratusan ringgit. Jika sudah terkenal, mungkin boleh dapat ribuan RM sebulan.
Jadi, bagi orang yang memang mahu berkerjaya dan tidak punya kerjaya lain, saya lebih mencadangkan agar dia menjadi pengkuliah. Pendapatan bulanannya insya-Allah sentiasa ada dan pendapatannya boleh dijadikan belanja untuk meneruskan kehidupan. Duit dapat terus ke tangan atau ke akaun.
Tetapi kalau menjadikan penulisan buku sebagai kerjaya, pendapatan bulanan belum tentu, jumlahnya sedikit, pendapatannya tidak cukup sebagai kerjaya, royalti dibayar beberapa bulan sekali dan ada yang tahunan. Jika keluarkan buku sendiri pula, modal akan sentiasa duduk atas angin, dan hendak dapat untung (pendapatan sebenar) memang sangat lambat. Jika anda memang sedia terkenal atau punya modal yang besar, mungkinlah agak selesa.
Kesimpulannya, untuk dijadikan sebagai kerjaya yang menjadi sumber rezeki, untuk buat duit, berkuliahlah yang lebih bagus. (Jauh bezanya tu antara 2-3 ribu sebulan dengan puluhan ringgit sebulan). Wallahua'lam.
Soalan 86 : Tarekat ghazaliah di Alor Setar ada dak? Kalau ada di mana tempatnya dan siapa gurunya?
Jawapan : Yang daripada jalur kami, tak ada. Yang daripada jalur yang lain, kami tak ada maklumat.
Soalan 87 : Nak tanya le Pak Long... Pak Long ada rangkaian doa peribadi tak? Kalau ada mohon share untuk kami anak-anak buah amalkan.
Jawapan : Saya tak ada rangkaian doa tertentu. Doa-doa saya sebagaimana doa-doa yang biasa dibacakan oleh imam-imam solatlah. Tapi sekiranya hendakkan sesuatu kelainan, saya suka mencadangkan doa penutup ijtima' tahun 2018. Saya suka berdoa dengan doa tersebut sewaktu bersendirian. Begini doanya :
Bismilahirrahmanirahim.
(*Doa-doa yang biasa dibaca pada awal, kemudian...)
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim,
Sembuhkanlah segala penyakit dan kelemahan yang menimpa rohani dan jasmani kami,
kuatkanlah rohani dan jasmani kami,
dan selamatkanlah rohani dan jasmani kami daripada segala bencana di dunia dan di akhirat.
Kurniakanlah kepada kami kesembuhan, kekuatan dan keselamatan.
Keluarkanlah daripada hati kami ini segala sifat-sifat mazmumah.
Jauhkanlah daripada kami perasaan hasad dengki.
Jauhkanlah daripada kami sifat mencintai keduniaan.
Jauhkanlah daripada kami sifat bermewah-mewah dan bermegah-megah.
Jauhkanlah daripada kami sifat kedekut.
Jauhkanlah daripada kami sifat menunjuk-nunjuk.
Jauhkanlah daripada kami perasaan hebat diri.
Jauhkanlah kami daripada fitnah terpesona akan dunia.
Engkau pilihlah kami ya Allah :
Agar kami suka bertaubat dan selalu bertaubat.
Agar kami banyak bersabar dan sentiasa bersyukur.
Agar kami sentiasa takut dan harap kepada-Mu.
Kami bermohon kepada-Mu wahai Allah Yang Maha Mengatur :
Jadikanlah kami orang yang zuhud.
Jadikanlah kami orang yang kuat tauhid dan kuat tawakal.
Jadikanlah kami orang yang cinta dan rindu pada-Mu.
Jadikan kami orang yang ikhlas.
Jadikan kami orang yang selalu muhasabah diri.
Jadikan kami orang banyak bertafakur
Dan jadikan kami orang yang selalu ingat akan mati.
Inilah sifat-sifat mahmudah yang menjadi maqsud kami pada jalan ini.
Kuatkanlah rasa persaudaraan antara sesama kami.
Limpahkanlah perasaan berkasih sayang kepada hati-hati ini.
Teguhkanlah tautan dan ikatan antara hati-hati kami ini.
Sesungguhnya kami bersaudara kerana-Mu ya Allah,
kami bersaudara pada jalan-Mu ya Allah.
kami bersaudara untuk mendapatkan redha-Mu ya Allah.
Ampunkanlah dan hapuskanlah segala dosa-dosa kami, dosa pandangan mata kami, dosa pendengaran telinga kami, dosa penghiduan hidung kami, dosa perkataan lidah kami, dosa riak wajah kami, dosa makan minum mulut dan perut kami, dosa perbuatan tangan kami, dosa syahwat kami, dosa langkahan kaki kami, dosa seluruh anggota zahir kami dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki, serta seluruh dosa diri batin kami yakni hati qalbu kami.
Ampunkanlah juga wahai Allah Yang Maha Pengampun akan dosa orang-orang tua kami, guru-guru kami, kaum keluarga kami, sahabat-sahabat kami, dan seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup ataupun yang sudah mati. Hakikatnya, hanya Engkaulah satu-satunya yang ada hak untuk mengampunkan.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, kasihanilah kami yang serba lemah ini,
kasihanilah orang-orang yang kami sayang,
kasihanilah seluruh umat Islam.
Selamatkanlah kami umat Islam daripada penderitaan.
Selamatkanlah umat Islam daripada penindasan.
Selamatkanlah umat Islam daripada perpecahan.
Selamatkanlah umat Islam daripada kemiskinan.
Selamatkanlah umat Islam daripada fitnah keduniaan.
Akhirnya Ya Allah, matikanlah kami nanti dalam keimanan dan masukkanlah kami ke dalam Jannah-Mu.
Matikanlah kami dalam kecintaan kepada-Mu, kurniakanlah kepada kami redha-Mu, dan masukkanlah kami ke dalam golongan yang dapat memandang-Mu di akhirat kelak.
(*Doa-doa lazim dan salam)
Doa ini ada saya muatkan juga dalam buku Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah 3 (Pencerahan).
Soalan 88 : Assalamualaikum ustaz. Boleh saya bertanya? Jika beli buku-buku ustaz, macam mana nak dapatkan sanad beramal? Zawiyah/ madrasah ustaz kat mana?
Jawapan : Wlksm. Sanad utama dan sanad sokongannya ada dalam buku (Tarekat Ghazaliyah) 1. Sanad-sanad sampingannya ada dalam buku (Tarekat Ghazaliyah) 2. Saya tak ada madrasah.
Soalan 89 (dari Indonesia): Saya tertarik hati dengan persoalan2 yang ustadz jawab... tentang ilmu pukulan jarak jauh 'versi terpelanting'. Saya ada membaca semua soal jawab ringkas itu (*sila rujuk Soal Jawab Ringkas nombor 66,70, 73, 78 dan 80). Persoalan saya... saya pernah belajar dan mengamalkan (*maksudnya dengan ilmu versi itulah), tapi sudah lama ditinggalkan... tidak dipraktik lagi. Hipnotik itu akan hilangkah? Atau masih ada kesannya pada diri saya? Ataupun bagaimana? Mohon penjelasannya ustadz.
Jawapan :
1. Ada yang hilang sendiri, hasil daripada aktiviti-aktiviti seharian seseorang itu. Mungkin ada antara aktiviti hariannya selama ini yang secara tidak langsung telah memutuskan hipnotis tersebut. Selepas itu jika dia bertemu kembali dengan orang yang sama (si penanti), insya-Allah dia tidak lagi tertahan, terkeras, kesakitan atau terpelanting.
2. Ada orang yang boleh usaha putuskan sendiri. Dia cuba hapuskan "kepercayaan"nya yang menjadi hipnotis kepada mindanya itu. Ada yang dapat putuskan dengan kekuatan mindanya sahaja dan ada juga yang disertai dengan amalan-amalan tertentu. Jika berjaya, selepas itu sekiranya dia bertemu lagi dengan si penanti, insya-Allah pukulannya akan sampai kepada si penanti.
3. Ada pula jenis yang berlanjutan lama walaupun dia sudah tidak mempraktikkannya. Ada satu kes di Indonesia juga, orangnya sudah belasan tahun tidak praktikkan permainan tersebut. Suatu hari dia terjumpa guru lamanya. Secara bergurau si guru minta orang itu untuk menyerangnya. Ketika dia menyerang, si guru menghentakkan kaki (persis permainan mereka belasan tahun dahulu). Serta-merta orang itu tersekat dan terjatuh ke belakang. Dan tubuhnya keras macam patung. Boleh diangkat-angkat lagi. Keras macam patung betul. Setelah ditepuk dibahu (diputuskan hipnotisnya) oleh bekas guru, barulah orang itu sedar semual dan tubuhnya melembut seperti sedia kala. Jadi, ada kemungkinan juga sekali kita buka ruang atau lubangnya pada minda kita, ia akan berlanjutan lama atau berkekalan. Wallahua'lam.
Soalan 90 : Soalan (dari Indonesia) : Dalam Tarekat Ghazaliyah kitab Ihya adalah jadi wirid harian selain Alqur'an. Berapa banyak kita baca? Berapa muka surat setiap hari kita baca?
Jawapan : Dalam kitab induk Ihya' 'Ulumuddin ini ada 40 kitab. Bagi yang punya kelapangan dan mampu, disaranan agar sehari wiridkan satu kitab. Ertinya pada setiap 40 hari, akan khatamlah keseluruhan kitab Ihya'. Begitulah berulang-ulang. Dan ini adalah tingkatan yang tertinggi. Bagi tingkatan yang paling rendah pula, asalkan dibuka dan dibaca walau sedikit pada setiap hari. Walau sekadar satu ayat, sudah memadai.
Jadi, kita ambillah di tengah-tengah antara yang tertinggi dan yang terendah itu sekadar kemampuan kita.
Pada pandangan sahaya, dengan kesibukan kita pada zaman ini, sangat bagus jika kita dapat wiridkan (baca) satu kitab seminggu. Insya-Allah akan khatam seluruh 40 kitab dalam tempoh satu tahun. Ini yang tertinggi. Sekiranya dapat 1 kitab sebulan, itu pun sudah sangat bagus. Insya-Allah tidak sampai 4 tahun, khatamlah keseluruhan (40 kitab dalam) kitab Ihya'. Dan yang paling rendah, khatamkanlah wirid sekali seumur hidup.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
Siap dikumpul lalu disiarkan pada 12 Mac 2021
*Selalu ada yang bertanya kepada sahaya baik secara bersemuka atau melalui media-media sosial. Ada banyak. Soal jawab ringkas ini sahaya kumpulkan dan kongsikan. Banyak lagi soal jawab yang tak sempat saya kumpulkan. Bahkan banyak yang tak sempat berjawab dan ada juga yang terlepas pandang – tak berbaca pun. Mana-mana yang sempat saya petik sahajalah. Semoga bermanfaat.
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 81-90)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/03/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 71-80)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/02/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya_21.html
Soalan2
Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 61-70)
https://alexanderwathern.blogspot.com/2021/02/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya_19.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasanya (bil. 51-60)
https://alexanderwathern.blogspot.com/2021/02/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 41-50)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/01/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya_17.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 31-40)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/01/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya_5.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 21-30)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/01/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 11-20)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2020/12/soalan2-ringkas-dan-jawapan2.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 1-10)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2020/12/10-soalan-ringkas-dan-jawapan-ringkasnya.html
No comments:
Post a Comment