Sunday, March 14, 2021

Nabi Isa Menggunakan Bahasa Apa?

Datang pertanyaan tentang bahasa yang digunakan oleh Nabi Isa as. Adakah bahasa Ibrani, Yunani (Greek), Latin atau Arab? Saya cuba jelaskan sebagaimana di bawah.


Sewaktu hidupnya, Nabi Isa as berbicara menggunakan bahasa apa?


Nabi Isa as mungkin mengetahui beberapa bahasa. Namun bahasa utama sehari-hari di sekitar wilayah tempat tinggalnya iaitu Paletsin dan Syria pada zaman itu ialah bahasa Aram (Aramaic). Ada juga orang yang menyebutnya sebagai bahasa Syriac. Kebanyakan pengkaji mengakui bahawa bahasa Aram inilah bahasa utama Nabi Isa as.


Bukankah Nabi Isa berketurunan Yahudi? Mengapa dia tidak berbahasa Ibrani (Hebrew)?


Diyakini bahawa Nabi Isa memang berkebolehan mengunakan bahasa Ibrani. Cuma pada zaman dan tempat itu, bahasa Ibrani sudah kurang dikuasai orang ramai termasuklah orang-orang Yahudi sendiri dan hanya menjadi bahasa teks-teks lama agama Yahudi dan sebutan-sebutan dalam ritual agama sahaja.


Mengapa peranan bahasa Ibrani kurang berbanding bahasa Aram? Bukankah Nabi Isa itu keturunan Yahudi dan dia berdakwah kepada orang Yahudi? Bukankah asalnya bahasa Ibrani yang menjadi bahasa utama di Palestin dan Syria sebelum itu?


Pada satu ketika, seorang raja besar dari Babylon, Iraq iaitu Bukhtanassar (Nebuchadnezzar) datang menyerang Palestin pada tahun 586 SM. Tenteranya berjaya menakluk Palestin, meruntuhkan rumah-rumah ibadat Yahudi (termasuklah yang didakwakan sebagai Kuil Sulaiman), dan menawan hampir kesemua kaum Yahudi. Orang-orang Yahudi itu dibawa ke Babylon sebagai orang buangan. Puluhan tahun mereka ditindas di sana sebelum dapat pulang semula ke Palestin pada tahun 539 SM apabila Kerajaan Babylon (Iraq) dijatuhkan oleh Kerajaan Parsi.


Ketika di Babylon, mereka terpaksa dan dipaksa menggunakan bahasa Aram kerana bahasa itu merupakan bahasa utama di seluruh Iraq. Apabila mereka kembali ke Palestin, mereka sudah terbiasa dengan bahasa Aram. Yang pulang itu pula hanya sebahagian sahaja daripada keseluruhan orang Yahudi di Babylon. Sejak itu bahasa ram terus menjadi bahasa utama di Palestin.


Ratusan tahun selepas itu iaitu pada zaman hidupnya Nabi Isa, bahasa Aram telah menjadi sangat sebati dengan orang-orang Palestin sehinggakan terlalu kurang orang yang boleh berbahasa Ibrani. Oleh kerana Nabi Isa banyak berdakwah kepada orang-orang Palestin, tentunya dia berdakwah menggunakan bahasa yang difahami oleh orang-orang Palestin terutamanya kepada masyarakat awam iaitu bahasa Aram, bukannya bahasa Ibrani.


Adakah Nabi Isa menguasai bahasa Ibrani?


Kemungkinan besar memang boleh. Hal ini kerana dia mengetahui dengan tepat segala ajaran agama Yahudi, banyak berdiskusi dengan pendeta-pendeta Yahudi, dan mampu "mengeluarkan" (membicarakan, mengajar dan membacakan) kitab Taurat dan Zabur yang tentunya dalam bahasa Ibrani, sedangkan bahasa bidang keagamaan Yahudi ketika itu masih bahasa Ibrani walaupun orang awam sudah tidak menguasainya.


Bagaimana dengan bahasa Yunani (Greek)?


Dipercayai Nabi Isa juga boleh berbahasa Yunani. Hal ini kerana ketika itu bahasa Yunani menjadi bahasa pemerintahan Yunani-Rom yang menguasai Palestin dan Syria (pada zaman ini pengaruh Babylon sudah lama berlalu).


Jadi, Injil diturunkan dalam bahasa apa? Aram? Ibrani? Yunani?


Sangat besar kemungkinannya Injil diturunkan dalam bahasa Aram. Firman Allah SWT dalam Al-Quran : "Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun melainkan dengan bahasa kaumnya, agar dia dapat memberi penjelasan kepada mereka." (Ibrahim : 4)


Walaupun Nabi Isa diutuskan kepada orang-orang Yahudi, tetapi bahasa masyarakat Yahudi pada masa itu ialah bahasa Aram. Sangat kurang orang yang menggunakan bahasa Ibrani.


Injil yang asli tidak mungkin dalam bahasa Yunani. Tetapi oleh kerana umumnya tinggalan-tinggalan terawal New Testament (Perjanjian Baru) khususnya 4 Gospel (4 kitab yang diyakini sebagai Injil dalam Perjanjian Baru) yang diguna kini ditemui bertulis dalam bahasa Yunani, sebahagian orang terpaksa mempertahankan bahawa Injil asli adalah dalam bahasa Yunani. Jika tidak, akan semakin jelaslah bahawa 4 Injil itu bukan yang asli tetapi sekadar yang terjemahan daripada yang aslinya. Injil asal dalam bahasa Aram memang tidak ditemui.


Setakat itu sahaja dahulu. Insya-Allah dalam artikel selanjutnya akan saya bentangkan dari sudut pandangan sumber-sumber agama Yahudi dan Kristian pula.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

13 Mac 2021

No comments: