PERBEZAAN ANTARA ALLAH DAN YESUS
Sekitar tahun 2000-an dulu, ruang maya internet meriah dengan forum-forum. Ada seorang Kristen dari Indonesia yang aktif berdiskusi dengan saya. Dia salah seorang yang sangat gigih mempertahankan bahawa Allah itu Yesus dan Yesus itu Allah. Sayangnya ketika dunia beralih daripada laman-laman forum kepada Facebook, banyak laman forum ditutup atau dibiarkan begitu sahaja, dan akhirnya hilang daripada dunia maya internet. Dialog saya dengannya dalam hal "Allah" ini tidak sempat disimpan kerana memang ketika itu kita tidak menjangkakan yang laman-laman forum yang sedemikian meriahnya akan berkubur. Jadi, saya menulis ulanglah lebih kurang sekadar ingatan saya tentang jawapan yang saya berikan kepadanya.
Seingat saya, sekitar tahun 90-an dan 2000-an itu, para penganut agama Kristian di Indonesia (khususnya dalam interent) terbahagi dengan panggilan tertentu. Tidak sebagaimana di Malaysia yang semua penganutnya biasa disebut sebagai Kristian sahaja. Ketika itu di Indonesia, Kristen itu lebih kepada penganut Prostestan dan yang sewaktu dengannya manakala Katholik itu lebih penganut Kristian Katholik dan pecahan-pecahannya. Selain itu, ada juga aliran Kristian lain yang dikenali sebagai Yehowah Witness, Unitarian, dan aliran-aliran kecil lain mengikut gereja masing-masing. Saya tidak pasti situasinya masih sama atau tidak di Indonesia (khussunya dalam ineternet) pada hari ini. Teman diskusi saya itu membahasakan kepercayaanya sebagai Kristen, tetapi aliran sebenarnya dalam agama Kristian itu tidaklah saya ketahui.
Jawapan saya kepadanya (lebih kuranglah bunyinya) adalah sebagaimana di bawah nanti. Saya tidak menggunakan ayat-ayat Al-Quran, hadith-hadith Nabi SAW atau petikan-petikan kitab Islami kerana teman diskusi saya itu memang menolak terus (langsung tidak percaya dan tidak tertarik dengan ) hujah-hujah daripada sumber-sumber tersebut. Lawan-lawan diskusinya yang menggunakan sumber-sumber itu terus "dipangkahnya". Maka tertutuplah ruang bicara dan dakwah. Sebab itulah dalam dialog-dialog kami biasanya saya akan lebih banyak menggunakan hujah-hujah yang diyakininya iaitu petikan ayat-ayat Alkitab (Bible) dan dalil-dalil akal.
Ketika menulis jawapan ini dahulu, saya sendiri sebenarnya banyak merujuk kepada sukatan pelajaran usuluddin yang dibawa oleh Imam Al-Ghazali dalam Risalah Qudsiyyah.
1. KEWUJUDAN DAN KEQADIMAN
Zat Allah sudah sedia ada sejak azali, iaitu sebelum sebarang zat makhluk ada. Allah sudah sedia ada malah sempurna pada azali, sebelum dia menjadikan mana-mana makhluk termasuklah manusia dan komponen manusia seperti rambut, kulit, darah, daging, tulang dan sebagainya. Allah tidak diadakan atau tidak dijadikan oleh sesiapa. Allah tiada berawal. Dia sudah sedia ada sebelum wujudnya masa dan ruang. Bahkan Dialah yang menciptakan masa dan ruang.
Sementara Zat Yesus pula belum ada sejak azali. Ketika itu yang ada hanyalah Zat Allah dan tiada sebarang zat makhluk. Yesus tidak sedia ada. Sebelum diadakan oleh Allah, Yesus belum ada. Yesus ada permulaan dan ada awal. Sebelum diciptakan masa dan ruang, Jesus belum wujud. Yesus terkemudian daripada Allah. Yesus past "lebih muda" daripada Allah.
Jadi, Allah dan Yesus itu berbeda.
2. KEBAQA'AN
Diri Allah atau Zat Allah tidak pernah berubah. Sebagaimana azali dahulu (sebelum Dia menciptakan makhluk), sebegitulah ZatNya selepas Dia menciptakan makhluk, sekarang, dan sampai bila-bila pun. Dia kebal daripada rosak, cedera, berubah, melemah, menguat, mengecil, membesar, makin tua, makin muda, dan sebagainya. Mengapa? Kerana Dia sedia Maha Sempurna. ZatNya kekal sebagaimana pada azali juga.
Zat Yesus pula asyik berubah. Daripada belum ada lalu menjadi ada. Daripada kecil menjadi besar. Daripada lemah menjadi kuat. Daripada muda menjadi dewasa. Zat Yesus tidak bersifat kekal tetapi berubah-ubah.
Maka, Allah dan Yesus tidak sama.
3. KEMAKHLUKAN
Zat Allah tidak terpengaruh dengan bentuk, rupa, tempat, lokasi, arah, posisi, langit, bumi, sempadan (tiada tepi, tiada had, tidak berbatas), warna, jernih kabur, dan sebagainya. Hal ini kerana ZatNya sudah sedia sempurna pada azali sedangkan pada azali itu belum ada bentuk, rupa, tempat, lokasi, arah, posisi, langit, bumi, sempadan, warna, warna, jernih kabur dan sebagainya. Zat Allah tidak timbul tidak tenggelam, tidak naik tidak turun, tidak datang tidak pergi, tidak di sana di sini.
Tetapi Zat Yesus ada bentuk, ada rupa, ada tempat (bertempat), berlokasi, berarah, berposisi, sekejap di bumi, sekejap di langit, bersempadan (ada tepi, ada had, ada batas), berwarna, dan sebagainya. Zat Yesus itu ada timbul tenggelam, ada turun ke bawah dna naik ke atas, dan ada datang ke sini dan pergi ke sana.
Mana mungkin Allah dan Yesus itu sama.
4. KEILMUAN
Allah Maha Tahu. Dia tahu segala-galanya 100% hal-hal yang dahulu, sekarang dan akan datang.
Yesus tidak Maha Tahu. Banyak perkara yang Yesus tidak tahu. Sudah saya sertakan bukti-buktinya daripada Alkitab sendiri dalam diskusi kita sebelum-sebelum ini.
5. KEHAYATAN
Allah sentiasa hidup, tidak pernah tidak hidup. Allah tidak pernah mati, maka tentunya tidak pernah hidup semula.
Yesus pula tidak sentiasa hidup. Yesus pernah belum hidup. Yesus pernah tidak hidup. Yesus pernah mati dan elo (yang bererti "anda" dalam loghat tertentu di Indonesia) sendiri meyakini bahawa Yesus telah hidup semula, telah bangkit daripada kematian.
Kan tidak sama?
6. MAHA MELIHAT DAN MAHA MENDENGAR
Allah sentiasa melihat. Dia melihat segala-galanya 100%. Allah juga sentiasa mendengar. Dia mendengar segala-galanya 100%. Allah tidak pernah dan tidak akan terlena atau tertidur.
Yesus pula tidak sentiasa melihat dan tidak melihat segala-galanya. Ada hal-hal yang Yesus tidak nampak. Yesus tidak sentiasa mendengar dan tidak mendengar segala-galanya. Ada perkara yang Yesus tidak mendengarnya. Ketika Yesus terlena atau tertidur, tentunya ada perkara yang tidak dilihat dan didengarnya.
7. LAIN-LAIN
Allah tidak dilahirkan, tidak dicoba (diuji) oleh Iblis, tidak ditangkap, tidak disalib, dan pelbagai lagi sebagaimana Yesus yang diceritakan dalam Alkitab.
Kesimpulannya - Jelas kan emangnya Allah dan Yesus tidak sama. Maka bagaimana elo masih mahu menyatakan yang Allah itu Yesus dan Yesus itu Allah?
*Diskusi ini mungkin sekitar 2005-2006.... dah lupa. Tidak benar-benar sama tiap perkataannya. Sekadar ingat-ingat semula sahaja. Ketika menulis, saya menggunakan kata ganti nama diri "gw" (guwe, gua). Guwe elo, guwe elo... begitulah. Ketika itu juga saya masih menggunakan nama pena lama saya iaitu Alexanderwathern, bukannya Abu Zulfiqar al-Amsyari.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
11 Mac 2021
No comments:
Post a Comment