Sunday, May 15, 2022

Antara Nikmat yang Didahulukan di Dunia

 

Belajar lalu istiqamah amal tasawuf insya-Allah akan membuatkan diri kita sangat susah untuk iri hati, dendam hati, busuk hati, dan marah hati akan orang lain, sebaliknya membuatkan kita menyayangi seluruh umat. Bagaimana dengan orang2 yang tidak jemu2 berusaha untuk membahayakan dan memudaratkan kita? Kita kena menyayangi mereka? Ya! Cuma kita jarakkan diri tetapi tetap terus menyayangi, agar (dengan izin Allah) mereka sukar untuk merancang bahaya dan mudarat, sukar untuk mendatangkan bahaya dan mudarat, agar bahaya dan mudarat mereka tidak terkena kepada kita, dan agar mereka tidak berterusan mendapat murka Allah dan dosa. Matlamat kita adalah untuk menyelamatkan seluruh umat, bukan diri dan keluarga sendiri sahaja. Umumnya, orang2 yang memusuhi kita pun kita tetap mahu menyelamatkan mereka daripada murka-Nya dan dosa, sekalipun mereka selalu berniat tidak baik terhadap kita dan mahu menjatuhkan kita.


Tamsilannya - orang2 yang berterusan mengetuk kepala kita tanpa henti, kita cuma jarakkan diri sejauh 3 meter sahaja. Hasilnya - kita tidak lagi kena ketuk berterusan, mereka pun tidak dapat mengetuk kepala kita lagi, dan yang paling penting ialah mereka tidaklah terkena murka Allah dan dosa. Kita mahu selamatkan diri kita, dan kita mahu selamatkan diri mereka juga walaupun mereka tidak mahu selamatkan kita.


Sebenarnya... sangat indah hidup yang sangat sementara ini apabila qalbu kita baaanyak bebas daripada sikap tidak suka orang itu orang ini, dengki orang itu orang ini, dendam akan orang itu orang ini, asyik merancang untuk kenakan orang itu orang ini, marah orang itu orang ini, asyik bercerita tentang orang itu orang ini...


Kita akan rasa banyak lapang... banyak tenang... banyak menyayangi... banyak menghargai... banyak meraikan... alangkah nikmatnya!


Yang sudah melalui jalan/tariq ini dan berjaya istiqamah, dapatlah merasai nikmat2 yang disebutkan tadi.


Manusia sangat sukar untuk berubah dan ramai yang tidak berubah pun sifat2 mazmumah mereka sejak dahulu. Namun dengan jalan tasawuf, sudah sangat banyak manusia yang berubah. Penjahat, penzalim dan ahli maksiat pun boleh berubah menjadi soleh, bagi kita orang2 biasa lagilah besar peluang untuk berubah sikap.


Iblis dan syaitan memang sangat suka jika kita percaya bahawa sikap buruk manusia tidak boleh berubah. Hal ini kerana memang mereka mahu manusia mengekalkan sifat2 mazmumah diri itu dan mahu manusia2 lain menerima lagi mengiktiraf orang2 yang memiliki sifat2 tersebut. Gagallah mereka jika manusia tersedar bahawa sebenarnya sikap buruk manusia boleh diubah dan mudah diubah. Peranan kita, jangan biarkan setting minda tajaan Iblis dan syaitan itu terus dipegang oleh umat. Kita kena bersama2 bersatu gagalkan setting minda tajaan mereka itu.


"Sikap buruk (sifat2 mazmumah) manusia memang boleh diubah dan tidak susah untuk diubah."

Setting minda sebegini boleh membuatkan Iblis dan syaitan "menangis meraung" kerana jalan ke matlamat mereka jadi semakin sempit.


Cari ilmu TST (tasawuf, sufi, tariqah), berguru, amal dan ISTIQAMAHkan. Insya-Allah kita akan mendapat sebahagian daripada qalbunya para penghuni jannah walaupun kita masih di dunia. Inilah antara NIKMAT YANG DIDAHULUKAN di dunia sekalipun kita belum masuk ke dalam jannah-Nya.


Abu Zulfiqar

14/5/22

No comments: