Friday, December 31, 2021

Nak Memaham Al-Kahfi Eloklah dengan yang Memang Ahli

 

Semoga Allah selamatkan kita. Kita ini sangat lemah. Diuji dengan sedikit keduniaan (kemudahan, kesenangan, keselesaan, kebebasan, keseronokan dsb) sahaja sudah cukup untuk membuatkan kita tersungkur tewas. Sebab itulah dalam Surah Al-Kahfi yang sangat berkait rapat dengan zaman akhir itu jelas2 Allah nyatakan pada ayat ke-7, "Sesungguhnya Kami jadikan APA YANG ADA di atas bumi itu sekadar sebagai PERHIASAN (sahaja) baginya untuk Kami MENGUJI mereka - siapakah dalam kalangan mereka yang baik amalannya."


Ramai yang menjadikan 10 ayat awal Surah Al-Kahfi ini sebagai amalan harian di mulut tetapi... berapa ramai yang sanggup mengamalkannya di hati lalu menzahirkannya sebagai tindakan anggota badan?


Banyak juga orang yang menyangkakan bahawa anjuran menjadikan ayat2 ini sebagai amalan keselamatan itu maksudnya selalu dibaca, diulang2 bacaannya, dan dihafal2, sahaja. Dengan cara begitulah maka keselamatan akan tiba.


Untuk memudahkan pemahaman, kita ambil contoh ibarat. Mahaguru silat zaman dahulukala berpesan kepada anak-anak muridnya bahawa apabila kedengaran yang bala tentera musuh bakal datang melanggar ke negeri, lazimkanlah membaca kalimat-kalimat ini pada setiap hari, lebih2 lagi sewaktu berhadap-hadapan dengan bala tentera musuh iaitu ,"Aku tak mula, aku berbelas. Engkau menerpa, aku membalas." Ayat ini dipercayai dapat membantu dalam keselamatan kita dan negeri.


Ertinya apabila kita didatangi bala tentera musuh, sebagai adabnya kita tidak akan memulakan serangan. Hal ini kerana kita lebih memilih untuk mengelakkan pertempuran dan mendahulukan belas kasihan. Tetapi jika musuh menyerang juga, kita tidak akan berdiam diri. Kita pasti akan menanggapi serangan mereka bersungguh-sungguh.


Sampailah waktunya terdengar khabar bahawa musuh akan datang melanggar negeri. Tentera dan rakyat pun mulalah melazimi membaca ayat tersebut. Tetapi persediaan untuk menghadapi serangan musuh tidak dibuat sangat pun. Sampailah ketika tentera musuh sudah melanggar masuk pun, mulut masih kumat-kamit membaca ayat tersebut, sahaja.


Masalahnya, pada ketika itu pun, mereka tetap membaca ayat tersebut tanpa membuat sebarang tindakan. Mereka betul2 menyangkakan yang bacaan-bacaan itulah yang bakal menyelamatkan mereka. Padahal ISI KANDUNGAN bacaan2 itu adalah untuk mereka bertindak balas dengan perbuatan. Akhirnya, seluruh negeri dan rakyat dibinasakan.


Samalah halnya dengan amalan Surah Al-Kahfi ini. Ayat2nya bukan sekadar untuk dibaca tetapi untuk diambil tahu dan diambil faham isi kandungannya lalu untuk dipraktikkan terus.


Tanpa kita menafikan bahawa dalam kes2 terpencil jika kita membaca "Allahu Akbar" sahaja pun, tentera musuh boleh terpukul mundur. Baca Bismillah sahaja pun, dituang cairan timah ke dalam telinga tak jadi apa-apa. Tapi kita kena faham, bahawa hal2 terpencil itu tidak berlaku kepada semua, tidak juga kepada majoriti. Ia hanya pada sangat segelintir orang pada masa2 yang sangat jarang2 sahaja. Maka kita tidak boleh menghukumkannya kepada semua orang atau ramai orang dana pada setiap masa dan keadaan. Rasulullah saw sendiri pernah memakai dua rangkap baju besi dan topi besi dalam peperangan. Saiyidina Ali yang terkenal kepahlawanannya itu juga memakai baju besi dan memakai perisai. Padahal mereka lebih arif lagi tentang bacaan2 dan amalan2 keselamatan.


..... Ya Allah.......pada ayat ketujuh yakni tentang ujian keduniaan pun daku sudah sangat lemah. Belum lagi bicara dan pemahaman dan tindakan seputar ayat kesembilan yakni tentang keguaan. Lagilah daku sangat lemah. Aku takut tersekat keduniaan... dan aku lebih takut tersekat dalam keguaan. Bantulah daku ya Allah. Kuatkanlah aku menghadapi dan melaluinya dengan jaya....


Jadi, 10 ayat awal Surah Al-Kahfi ini hendaklah dihadam isi kandungannya, sekiranya dapat. Sekiranya tak dapat, terus juga amalkan. Jangan tunggu dihadam baru hendak diamalkan. Hendak menghadamkannya itu khususnya dalam hal untuk dijadikan sebagai amalan berkaitan, mintalah guru-guru menghuraikannya. Lebih bagus jika dapat guru-guru yang memang berkeahlian dalam tungku keempat atau rukun keempat dalam hadith Jibril itu. Orang yang ahli dalam tungku2 lain, belum tentu dia juga ahli dalam tungku yang keempat. Setiap tungku itu ada sanadnya. Sekiranya tak dapat, tak mengapa, ambillah ilmu tentangnya daripada mana-mana guru yang bersesuaian.


Lagi banyak belajar, (baru difaham bahawa) lagi banyak yang belum disedar.

Lagi banyak meneroka, (baru difaham bahawa) lagi banyak yang belum terbuka.


- Halaqah usrah 3/12/21


No comments: