Tuesday, February 16, 2021

Cara Kami Menjawab Persoalan Anda

 

Pada setiap hari sahaya menerima lebih kurang 7-8 persoalan di dunia nyata dan di dunia maya (Facebook, blog, WhatsApp, Telegram, telefon). Biasanya sahaya hanya sempat menjawab 2-3 persoalan sahaja. Sekiranya persoalan itu memerlukan huraian panjang, kadang-kadang sahaya berjaya jawab 1 persoalan sahaja sehari. Maksudnya, akan ada berbaki 4-5 persoalan pada setiap hari. Cukup sebulan, tertangguh lebih 100 persoalan. Begitulah seterusnya.


Akibatnya, selalu ada persoalan yang terlepas pandang (tidak terbuka dan terbaca pun), dibaca tetapi tidak berjawab (kerana jawapannya memerlukan lebih masa, rujukan lanjut, amalan tertentu), atau berjawab sebahagian sahaja.


Dalam usaha untuk mengurangkan baki persoalan-persoalan ini, sejak tahun lepas sahaya mengambil tiga langkah :

i) meminta bantuan beberapa orang murid sahaya.

ii) menulis buku-buku.

iii) menggilirkan penyoal.


Huraiannya :


i) Mereka membantu update bahan-bahan dakwah di media-media sosial. Maka sahaya ada lebih masa untuk membaca persoalan-persoalan yang datang dan menjawabnya. Hanya sesekali sahaya update sendiri. Selain itu, mereka juga berperanan menjawab persoalan-persoalan ringkas atau yang berulang. Jika ada persoalan yang lebih sesuai dijawab oleh sahaya sendiri, barulah mereka akan memaklumkan kepada sahaya, dan sahaya akan menjawabnya kemudian. Sungguh pun begitu, mereka bukanlah pekerja tetap. Sukarela sahaja. Mereka sekadar membantu pada masa lapang mereka sahaja. Itulah kadang-kadang berlaku juga kami tiada update langsung.


ii) Banyak persoalan-persoalan berulang yang biasa dikemukakan telah sahaya cuba muatkan dalam buku-buku sahaya. Dalam sehari kadang-kadang sahaya menjawab 3 persoalan yang sama oleh 3 pihak yang berbeza. Esok lusa berulang lagi soalan yang sama. Lama-kelamaan kita jadi sangat letih untuk menjawab hal yang sama berulang-ulang kali.


Sahaya pun perturunkan pula tugas ini kepada para pembantu sahaya. Waktu baru-baru eloklah. Tapi lama-kelamaan mereka pun jemu juga. Jadi, persoalan-persoalan berulang ini sahaya muatkan dalam buku-buku. Mulai tahun 2021, kami ambil keputusan, sekiranya ada persoalan berulang, kami akan minta penanya merujuk kepada buku-buku sahaya sahaja. Jika persoalan berulang itu pendek sahaja jawapannya, kami barulah akan berusaha menjawabnya juga, insya-Allah.


Oleh itu, para penanya janganlah berkecil hati jika pihak kami menjawab (contohnya) : "Waalaikumussalam. Anda boleh rujuk buku sekian-sekian pada bahagian sekian-sekian."


Jika tidak dibuat begini, akan banyaklah persoalan-persoalan yang tidak berulang (yang baru) tidak berjawab.


iii) Ada penyoal-penyoal berulang. Maksudnya mereka rajin bertanya dari semasa ke semasa. Jumlah mereka pun ramai. Jadi, sahaya cuba menggilir-gilirkan respon terhadap mereka. Yang sahaya baru jawab persoalannya, saya lepas pandangkan buat sementara. Biasanya tulisan mereka tidak sahaya buka/ baca pun. Jika sahaya baca pun, belum untuk menjawabnya. Kaedah sebegini adalah untuk memberikan peluang kepada penyoal-penyoal berulang yang lain pula untuk berurusan dengan sahaya. Jadi, janganlah berkecil hati sekiranya persoalan anda belum sahaya baca pun.


Banyak kali berlaku, persoalan oleh penyoal-penyoal berulang ini dijawab semula 3-4 bulan kemudian. Kadang-kadang terlupa terus. Setelah baca persoalan terbaru, baru ternampak bahawa sudah ada soalan-soalan sebelum ini yang belum berjawab. Yang lebih membuatkan tersentuh hati, ada soalan (oleh penanya bukan berulang) yang sahaya baru terbaca sedangkan ditanya pada tahun 2012, 2014 dan 2016. Maka, sahaya kenalah lakukan sesuatu untuk mengurangkan masalah sebegini (hendak menyelesaikan secra keseluruhannya rasanya memang tidak akan termampu).


Dengan tiga langkah ini, nampaknya memang berkuranglah jumlah persoalan-persoalan terkumpul. Jika dahulu berbaki 4-5 persoalan sehari, kini tinggal berbaki dalam 1-2 persoalan sahaja sehari. Dalam sebulan lebih kurang 30-40 persoalan juga yang belum berjawab. Masih banyak juga itu. Tapi, sekadar itulah kemampuan sahaya.


Dalam mengajukan persoalan-persoalan ini ada satu lagi isu penting iaitu tentang isi kandungannya. Insya-Allah bahagian ini akan sahaya sentuh dalam tulisan yang akan datang.


Semoga Allah mudahkan segala urusan keduniaan dan keakhiratan kita semua.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

10 Februari 2021

No comments: