Saturday, May 12, 2018

Sedikit Ilmu dan Adab Berpilihan Raya


SOALAN : Hendak undi yang mana satu?
JAWAPAN : Undilah pihak yang paling banyak menguntungkan agama dan umat Islam, tanpa mengabaikan kesejahteraan mereka yang bukan beragama Islam (sebagaimana aturan-aturan yang digariskan oleh Allah tentang hak-hak orang bukan Islam di bawah pentadbiran Islam).

SOALAN : Sekiranya semua pun tidak baik dan semua pun merugikan agama dan umat Islam?
JAWAPAN : Pilihlah pihak yang paling kecil mudaratnya kepada agama dan umat Islam. Maksudnya pilihlah pihak yang akan membawa kerugian paling kecil kepada agama dan umat Islam antara pihak-pihak yang ada. Tolaklah pihak-pihak yang paling besar atau lebih besar mudaratnya kepada agama dan umat Islam.

SOALAN : Bagaimana sekiranya semua pihak pun akan membawa kerugian besar kepada agama dan umat Islam?
JAWAPAN : Jika ada dua atau lebih pihak yang bertanding dan katakanlah semuanya jahat belaka, tolaklah yang paling jahat dan pilihlah yang paling kurang jahat.

Contohnya kita jadi warganegara sebuah negara yang tidak ada parti politik Islam bertanding, maka pilihlah parti yang paling kecil mudaratnya kepada agama dan umat Islam.

SOALAN : Bagaimana jika kalau semua pihak sama-sama jahat?
JAWAPAN : Hal itu mustahil berlaku. Mesti ada lebih dan kurang.

SOALAN : Bolehkah saya tidak mahu terlibat dengan demokrasi pilihanraya?
JAWAPAN : Tidak ada rakyat negara ini yang tidak terlibat dengan demokrasi pilihanraya, melainkan dia belum cukup umur, dia dihalang daripada mengundi ataupun dia rakyat negara lain. Semua warganegara sebenarnya terlibat dalam membentuk keputusan tidak kira sama ada dia mengundi atau pun tidak.

SOALAN : Bagaimana rakyat negara ini yang tidak mengundi boleh terlibat?
JAWAPAN : Sebenarnya keadaan orang yang tidak mengundi itu sama dengan orang yang pergi mengundi tetapi merosakkan undi.  Orang-orang jenis ini sebenarnya berkongsi perbuatan iaitu tidak memberi undi kepada mana-mana pihak yang bertanding.

Orang yang merosakkan undi = maksudnya tidak beri undi kepada mana-mana pihak.
Orang yang tidak mengundi = maksudnya tidak beri undi kepada mana-mana pihak.
Sama sahaja.

Mereka tetap terlibat dalam membuat dan menghasilkan keputusan pilihanraya, kecuali jika mereka belum cukup umur, tidak dibenarkan mengundi atau bukan rakyat negara ini.

SOALAN : Bagaimana dengan orang yang belum mendaftar?
JAWAPAN : Jika dia sudah layak tetapi sengaja tidak mendaftar, maka dia tetap terlibat dalam membentuk dan menghasilkan keputusan pilihanraya, sama ada dia pergi mengundi ataupun tidak.

Contohnya katakanlah di suatu tempat ada calon yang berfahaman ateis menang dengan majoriti 5 undi sedangkan lawannya ialah seorang ulama yang soleh. Padahal ada 50 orang Islam yang soleh yang layak mengundi sengaja tidak mahu mengundi di situ kerana sebahagiannya sengaja tidak mendaftar, sengaja tidak pergi mengundi dan sebahagiannya menolak demokrasi pilihanraya. Jadi, perbuatan mereka itu bukankah turut membentuk dan menghasilkan keputusan pilihanraya yang memenangkan calon ateis itu? Sekiranya mereka mengundi, tentunya ulama itu yang menang.

Maka, selagi kita rakyat negara ini, tidak dihalang mengundi dan sudah cukup umur untuk mengundi, kita tetap terlibat dalam membentuk dan menghasilkan keputusan pilihanraya, tidak kira sama ada kita mengundi ataupun tidak, sama ada kita setuju dengan demokrasi pilihanraya atau tidak. Tidak ada jalan untuk terlepas daripada bertanggung jawab di dunia mahupun di akhirat dalam hal ini. Untuk mengelak daripada terlibat, hanya dengan jalan kita mestilah membatalkan kerakyatan kita di negara ini. Selagi kita masih rakyat negara ini, kita tetap terlibat dalam membentuk keputusan pilihanraya sama ada kita suka atau pun tidak.

Oleh kerana kita tetap terlibat dalam membentuk keputusan pilihanraya, kita hendak duduk diam sahaja ataupun ada berbuat sesuatu? Fikirkan.

SOALAN : Penting sangatkah politik?
JAWAPAN : Sangat penting, sehinggakan ketika Rasulullah s.a.w wafat, para sahabat Rasulullah s.a.w termasuklah Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar bergegas menguruskan hal politik negara. Jenazah Rasulullah s.a.w sendiri dilewatkan pengkebumiannya kerana sangat pentingnya urusan politik negara.

SOALAN : Ada sebahagian orang kata sesiapa yang terlibat dengan demokrasi pilihanraya dan mengundi itu berdosa. Betulkah?
JAWAPAN : Selagi mereka rakyat negara ini, tidak dihalang mengundi dan sudah cukup umur, mereka tetap terlibat dalam membentuk dan menghasilkan keputusan pilihan raya. Tidak kira sama ada mereka pergi mengundi ataupun tidak,  sama ada mereka mendaftar mengundi atau tidak, sama ada mereka mengatakan mengundi itu berdosa atau tidak.

Siapalah kita yang hendak memberdosakan ratusan juta umat Islam dan ribuan ulama yang melibatkan diri dengan demokrasi pilhanraya sejak sekian lama? Ada ulama-ulama dari Nahdatul Ulama, Muhammadiyyah, Jamaat e-Islami, Ikhwanul Muslimin, parti-parti Islam Turki, institusi pondok/pesantren dan lain-lain Tentunya kita faham akan kaedah yang mengatakan – “mustahil para ulama itu bersepakat bersetuju dalam hal yang mendatangkan dosa”.

Paling kuat pun, ia akan berkeputusan khilaf. Apabila menjadi khilaf, adabnya kenalah sama meraikan kecualilah jika kita memang seangkatan dengan pihak-pihak yang menolak khilaf.
Pihak pemerintahlah yang memerintahkan rakyatnya terlibat dengan demokrasi pilihanraya. Sebagai rakyat, tentunya kita akan mematuhi arahan ini kerama ia tidak bertentangan dengan agama Islam. Jika demokrasi pilihanraya itu salah, penajanya iaitu pihak pemerintahlah yang lebih utama untuk disalahkan.

SOALAN : Akan ada banyak jalan lain untuk menegakkan keadilan?
JAWAPAN : Sangat benar! Demokrasi pilihanraya ini hanyalah salah satu jalan daripada sekian banyak jalan, bukan satu-satunya jalan. Sesiapa yang menjadikannya sebagai satu-satunya jalan, golongan inilah yang tidak benar.

Ayuh perjuangkan agama dan umat Islam melalui jalan-jalan yang ada, tetapi janganlah sengaja dipersia-siakan ruang yang ada dalam demokrasi pilihanraya ini. Orang Islam yang bijak pastinya tidak akan mensia-siakan walau sekecil-kecil peluang untuk memajukan agama dan umat Islam, sedangkan dalam demokrasi pilihanraya ini besar juga ruang dakwah dan perjuangannya. Jangan bersikap membazir walaupun dengan sedikit ruang. Berjaya atau tidak bukan persoalannya kerana kita tidak mahu dengan sengaja membazir dan mensia-siakan ruang yang ada untuk agama dan umat Islam walaupun kecil dalam demokrasi pilihanraya ini, di samping kita tetap mengusahakan juga melalui jalan-jalan yang lain. Membazir dan mensia-siakan itu ialah amalan syaitan.

SOALAN : Bukankah kita tidak dibenarkan menggulingkan pemerintah?
JAWAPAN : Dalam demokrasi pilihanraya, memang tidak ada istilah atau perbuatan menggulingkan, merampas, menjatuhkan dan sebagainya yang nampak seperti tidak mengikut undang-undang dan peraturan. Semua istilah-istilah itu dibuat untuk memperdaya akal fikiran kita sahaja. Yang ada dalam demokrasi pilihanraya hanyalah memilih, menukar dan mengganti pemerintah. Memilih, menukar dan mengganti pemerintah ini memang dibenarkan, tidak bertentangan dengan mana-mana peraturan dalam demokrasi pilihanraya dan tidak bertentangan dengan agama, melainkan anda memang berniat untuk melanggar peraturan-peraturan demokrasi pilihanraya. Jadi, jangan takut untuk membuat pilihan.

SOALAN : Bukankah kita tidak boleh mengundi pambangkang?
JAWAPAN : Jika kita mahu ikut peraturan demokrasi pilihanraya, maka jawapannya - Selepas parlimen dibubarkan, tidak ada kerajaan dan tidak ada pembangkang. Yang ada hanyalah parti-parti yang bertanding. Istilah ‘mengundi pembangkang’ atau ‘mengundi kerajaan’ tidak wujud dalam pilihanraya. Itu hanyalah istilah yang dibuat untuk mengacau pemikiran kita. Bagaimanalah kita hendak mengundi sesuatu yang tidak wujud dan tidak bertanding?

SOALAN : Bagaimana jika saya tetap hendak mengundi pihak kerajaan?
JAWAPAN : Selepas parlimen dibubarkan, tidak ada lagi kerajaan. Kerajaan tidak bertanding dalam pilihanraya. Yang bertanding hanyalah parti-parti politik.

SOALAN : Bolehkah saya mengundi parti-parti politik yang pernah memerintah sebelum parlimen dibubarkan?)
JAWAPAN : Boleh. Tidak bertentangan dengan peraturan-peraturan demokrasi pilihanraya, melainkan jika anda memang mahu melanggar peraturan-peraturan demokrasi pilihanraya. Jika anda melanggarnya, pihak lain juga akan melanggarnya.

(Bolehkah saya mengundi parti2 politik yg sebelum parlimen dibubarkan berada di pihak pembangkang?)
Boleh. Tidak bertentangan dgn peraturan2 demokrasi pilihanraya, melainkan jika anda memang mahu melanggar peraturanperaturan demokrasi pilihanraya. Jika anda melanggarnya, pihak lain juga akan melanggarnya.

Abu Zulfiqar
1 Mei 2018

No comments:

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails