Sunday, May 13, 2018

Kisah Nabi Isa, 1 Yahudi dan 3 Penyamun


Ada satu kisah teladan. Khabarnya pada suatu hari, Nabi Isa berjalan bersama-sama seorang Yahudi. Nabi Isa ada membawa satu roti dan Si Yahudi ada dua roti. Menjelang tiba waktu berehat untuk makan, Si Yahudi yang memang bersifat pembolot secara senyap-senyap memakan satu rotinya kerana dia tidak mahu berkongsi dengan Nabi Isa. Ketika ditanya oleh Nabi Isa, si Yahudi bermati-matian mengatakan yang dia hanya ada satu roti sahaja. Mereka pun makanlah seorang satu roti.

Selepas itu mereka pun meneruskan perjalanan. Tiba-tiba mereka terjumpa tiga ketul emas yang besar. Nabi Isa pun berkata : “Aku ambil satu, engkau ambil satu, dan satu lagi untuk orang yang memakan roti ke tiga.”

Serta-merta Si Yahudi pembolot mengakui bahawa dialah yang sebenarnya memakan roti ketiga. Nabi Isa sedar sangat berbahaya di dunia dan di akhirat untuk berdamping dengan orang pembolot seperti Si Yahudi lalu katanya : “Tak mengapalah. Aku tidak mahu yang mana-mana pun.” Lalu Nabi Isa pun pergi meneruskan perjalanannya.

Alangkah seronoknya Si Yahudi kerana dapat membolot kesemua harta-harta itu untuk dirinya seorang.

Sepeninggalan Nabi Isa, tiba-tiba datang tiga orang penyamun. Melihat akan emas yang sebegitu berharga, mereka bertiga berpakat untuk merampasnya, lalu mereka membunuh Si Yahudi. Puaslah hati mereka bertiga kerana sudah tercapai maksud yang dihajati.

Dalam meraikan kejayaan mereka itu, salah seorang daripada mereka di suruh pergi ke kota untuk membeli makanan manakala yang dua orang lagi menjaga emas. Sebenarnya mereka bertiga ini pun masing-masing pembolot juga. Maka yang tinggal berdua ini pun berpakat merancang jenayah untuk membunuh rakan mereka yang ke kota apabila dia pulang nanti.

Rakan mereka yang ke kota pun berakal juga orangnya. Dia juga ada rancangan jenayahnya. Dia merancang untuk membolot ketiga-tiga ketul emas itu seorang diri sahaja. Oleh itu, dia pun memasukkan racun ke dalam makanan yang dibelinya untuk membunuh dua orang lagi rakannya yang menunggu.

Sebaik-baik sahaja dia pulang, dua orang temannya terus membunuhnya. Selepas itu kedua-dua orang itu pun menikmati makanan yang dibeli. Ternyata mereka diracun, lalu matilah pula kedua-duanya.

*********

Pada suatu hari yang lain, Nabi Isa dan para hawarinya datang ke tempat itu. Mereka melihat empat mayat bergelimpangan di sekitar emas-emas itu. Berkatalah Nabi Isa : “Inilah nasib para perakus dunia.”



Abu Zulfiqar
12 Mei 2018

No comments:

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails