CATATAN RINGKAS AUDIO KITAB CINTA ALLAH 5A
Kupasan Kitab Cinta kali ke-5 (Syarahan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin kali ke-140).
Antara matlamat/ objektif sukatan pelajaran Kitab Cinta Allah ini ialah :
- Untuk semai benih cinta kepada Allah bagi yang belum disemai.
- Untuk hidupkan anak pokok cinta bagi yang sudah tersemai benihnya.
- Hendak suburkan lagi yang sudah ada anak pokoknya.
- Mahu besarkan, rimbunkan dan rendangkan lagi pohon yang sudah subur.
- Untuk menerbitkan buah-buahan cinta daripada pohon yang sedia subur lagi rimbun itu.
- Daripada buah-buah itu, hendak disebarkan lagi biji-biji benih cintanya ke seluruh alam supaya dapat dhidupkan pula sekian banyak pohon-pohon cinta Allah yang baharu.
Maqam cinta bukan untuk kita simpan seorang diri sahaja melainkan kita bertanggungjawab untuk sebarkannya ke seluruh alam khususnya kepada orang-orang Islam sendiri. Inilah antara kerja utama Rasulullah saw di sepanjang hayatnya. Sekarang perjuangan mempromosi dan marketing cinta Allah ini diwarisi oleh umat Islam pula, iaitu kitalah.
Antara kegunaan ilmu cinta ini, kalau bukan hari ini pun, sekurang-kurangnya suatu hari nanti kita akan sampai ke satu maqam di mana disebabkan cinta, apabila kita solat maka kita solat dalam keadaan bersama-samanya Allah, apabila berzikir pun dalam keadaan bersama Allah, berjalan bersamanya Allah, makan dalam keadaan bkebersamaan dengan Allah, juga ketika bekerja, tidur, mandi dan sebagainya. Kerana kita sudah cinta akan Allah.
Kata orang tua-tua, orang yang dilamun cinta tak terlepas daripada yang dicintainya walau di mana dan apa yang sedang dibuat (maksudnya asyik teringat). Insya-Allah suatu hari nanti kalau pun bukan hari ini.
Apakah punca2-punca/ faktor-faktor wujudnya cinta?
1. Kerana kita cinta diri kita sendiri.
2. Kerana kita terdorong untuk menyukai pihak yang berjasa kepada kita.
3. Kerana fitrah kita suka akan kecantikan, keelokan, dan kebagusan.
4. Kerana kita ada mata batin yang berupayaan untuk mencintai yang ghaib-ghaib.
5. Kerana ada keserasian.
Kalau kita serasi dengan Allah, wujudlah cinta. Yang tidak wujudnya cinta adalah kerana kita sendiri belum serasi dengan-Nya..
Pada hakikatnya, semua cinta yang lima ini datangnya daripada Allah dan menuju kepada Allah Allah juga, itu dari segi hakikatnya. Semua cinta yang 5 itu kena pada Allah, tak kena pada makhluk.
Jika diberi pilihan diri kita ini nak ada ke tak mahu ada? Kita akan pilih nak ada. Nak hidup ke nak mati? Kita akan pilih nak hidup. Nak sakit ke nak sihat? Kita akan pilih nak sihat. Nak selesa ke tak selesa? Kita akan pilih nak selesa. Kalau boleh kita nak diri kita kekal. Mengapa? Kerana kita cinta diri kita sendiri. Sekiranya kematian itu tidak menyakitkan pun, kita tetap pilih nak hidup.
Ada seorang hamba Allah cuba bina Taj Mahal mini. Namanya Faizul Hassan di Uttar Pradesh, India. Sudah 3 tahun dibinanya. Lebih kurang sebesar surau kita inilah. Guna duit sendiri. Bentuk sama macam Taj Mahal. Dibina kerana sangat cinta akan isterinya. 53 tahun hidup dengan isteri. Kemudian isteri meninggal, tak ada anak pula. Dibinanyalah Taj Mahal mini di belakang rumah. Sudah habis RM725,000 setakat hari ni. Punyalah cinta. Orang lain hendak beri wang derma, dia tak mahu, dia nak guna duit dia sendiri. Dia juga bercadang untuk dikuburkan di situ juga. Ada orang komen, lebih baiklah duit itu digunakannya untuk kahwin lain. Cinta makhluk, sanggup macam itu.
Hakikatnya, semua kecintaan tertuju kepada Allah. Semua pujian, semua terima kasih, semua kena pada Allah (pada hakikatnya), tak kena makhluk langsung. Manusia dan jin yang tidak ada ilmu tentang hakikat, cintanya akan tersangkut pada makhluk, tak tembus untuk kena pada Allah. Ucapan terima kasih mereka akan tersangkut pada makhluk.
Sebab kedua kewujudan cinta- kerana kita memang suka orang yang buat ihsan (kebaikan) kepada kita. Menurut Imam Al-Ghazali, manusia adalah budak (hamba) kepada al-ihsan. Kita ada rasa terhutang dengan orang yang berbudi kepada kita. Dari situlah lahirnya cinta. Hati manusia jadi lembut, ceria dan suka apabila menerima ihsan (kebaikan dan jasa) orang lain.
Ada perkara yang kita sayang terus dan ada yang kita sayang kerana ia jadi tempat laluan. Contohnya kesihatan. Semua orang nak sihat. Semua orang suka diri sendiri sihat. Tapi yang usahakan agar kita sihat (sembuh daripada sakit) ialah tabib atau doktor. Maka kita pun sayang kepada doktor. Sebenarnya kita bukan hendak akan doktor itu, kita hendka diri kita sihat, Tapi kita sayang tabib atau doktor itu kerana dia dijadikan Allah sebagai tempat laluan kepada sembuhnya sakit kita.
CATATAN RINGKAS AUDIO KITAB CINTA ALLAH 5B
Sebab ketiga wujudnya cinta - Kerana fitrah manusia yang suka akan keindahan, keelokan dan kecantikan. Kita suka alam sekeliling, tapi alam sekeliling itu tak dapat pun kepada kita. Nak dapatkan keindahan, kcontohnya masuk ke taman bunga di Cameron Highland, kita kena bayar. Bayar dAN masuk hanya untuk melihat-lihat, tidAK untuk dibawa pulang, tapi kita tetap suka kerana fitrah kita memang suka akan keindahan.
Yang paling Rauslullah suka ialah ibadah solat kerana lazatnya itu umumnya tak kena pada pancaindera tapi kena pada hati. Yang itu Nabi Mhammad paling suka berbanding bau-bauan dan wanita (*sebagaimana disebut dalam hadis). Sedap di hati sebenarnya mengalahkan sedap-sedap yang lain yang datang melalui pancaindera.
Kenapa cinta kepada Allah tidak tumbuh dan tidak subur? Sebab tak kenal Allah (*sekadar tahu Allah sahaja). Ada yang dah kenal tapi tak cukup kenal. Dan kerana keindahan Yang Maha Indah itu belum terlihat kepada kita.
Kita lebih takut kehilangan cinta makhluk berbanding kehilangan cinta Allah. Kita takut kehilangan cinta suami, cinta isteri, cinta masyarakat, cinta anak-anak, cinta majikan dan lain-lain lebih daripada takut kehilangan cinta Allah.
FAKTOR KEEMPAT KEWUJUDAN CINTA - Cinta kuat datangnya melalui mata. Tetapi... Allah tidak boleh dilihat! Bagaimana hendak mencintai-Nya? Caranya, Allah bagi mata hati. Hal ini kerana mata hati ada power lebih, ia boleh mencinta hal-hal lain yang tidka boleh dikesan oleh mata kepala.
Mata dapat menyukai/mencintai hal-hal yang ia nampak sahaja. Telinga boleh mencintai hal-hal yang ia boleh dengar sahaja. Hidung dapat menyukai bau-bauan yang ia boleh cam sahaja. Sedangkan Allah tidka boleh dilihat, didengar, dihidu dan lain-lain. Jadi, bagaimana hendak mendapatkan indah-Nya Allah yang tak boleh dilihat, dicium, dirasa dna lain-lain itu? Dengan menggunakan mata hati.
Golongan zahiri kata cinta kepada Allah ni tidak ada, kita hanya boleh mencintai keindahan yang boleh dikesan oleh pancaindera sahaja. Dengan Allah, tidak ada cinta-cinta, hanya ada taat. Kata Imam Al-Ghazali, pandangan sebegini sangat salah.
Keindahan dan kebagusan tidak semestinya terbatas kepada yang dapat dikesan oleh pancaindera sahaja.
Nak mendalami cinta Allah ni, kena lalui jalan mukasyafah. Dengan jalan mu’amalah tidaklah memadai.
Mengapa kita kata Allah indah? Dah tentulah ada sebab-sebabnya. Bukankah semua keindahan dalam alam ini dicipta oleh Allah, maka sudha tentulah Dia itu sendiri lebih indah, lebih lazat, lebih berilmu, lebih berpengatahuan sebagaimana yang layak bagi-Nya. (Mana boleh Dia ciptakan sesuatu yang berilmu dlaam keadaan Dia sendiri tidak berilmu atau kurang berilmu. Mana mungkin Dia menciptakan segala yang indah-indah di alam makhluk ini dalam keadaan Dia sendiri kurang indah atau tidak indah)
Kuda sebagai contoh. Kenapa kita kata seseekor kuda itu bagus? Kerana larinya laju. Kalau kuda tu tak berapa laju, maka peratus suka kita kepadanya pun menurun sikit kadarnya. Kita sukai sesuatu apabila ada elemen-elemen yang khusus dan layak baginya.
Kebagusan insan dan kebagusan kuda tentulah tak sama. Yanag paling orang suka pada kuda adalah kelajuannya. Yang bagus bagi manusia pula berbeza, bukan sebab lajunya, tetapi sebab-sebab lain.
Antara bukti Allah cintakan kita, Dia sediakan syurga. Syurga itu seluas langit dan bumi. Tak akan pernah sempit. Masuklah seramai mana pun.
CATATAN RINGKAS AUDIO KITAB CINTA ALLAH 5C
Seandainya manusia dari zaman Nabi Adam dan haiwan-haiwan dahulukala tak dimatikan, kita hari ini nak hidup di mana? Bumi penuh sesak. Dunia ini sempit. Sebab itulah ada hikmahnya sesekali Allah datangkan malapetaka seperti banjir, perang dan lain-lain. Tetapi kalau syurga? Masuklah seramai mana pun, tak akan penuh.
Mengapa kita sayang Saiyidina Abu Bakar? Bukan kerana kita sayang akan zatnya seprti rambutnya dan tubuh badannya tetapi kerana sesuatu sebab yang tersembunyi iaitu hatinya. Hatinyalah yang menyebabkan akhlaknya jadi bagus, pemahamannya tinggi , bersemangat pejuang dan sebagainya. Sebenarnya kita sayang yang tak dapat dinampak itu iaitu hatinya. Begitu juga dengan Imam Al-Ghazali, Imam Asy-Syafi’i dan tokoh-tokoh lain.
Berbanding dengan sungai, pemandangan dan kereta. Kita suka semua itu sebab zatnya. Tetapi kita suka tokoh-tokoh, para wali dan anbiya’ kerana sesuatau yg tersembunyi yang boleh dikesan oleh mata hati.
Oleh kerana hati kita mampu mengesan sesuatu yg tersembunyi, maka kita boleh mencintai yang tersembunyi. Tertolaklah pandagangan yang mengatakan tidak wujud cinta kepada Tuhan yang ghaib. Bukankah kita boleh mencintai Nabi Muhmmad dan malaikat Jibril padahal kedua-duanya tidak pernah kita nampak pun.
Hati kita mampu mencintai para nabi dan para sahabat walaupun kita tak pernah saksikan mereka secara berhadapan. Kita mencintai mereka sebenarnya kerana dalaman mereka. Bukan bentuk mereka yang zahir tetapi bentuk mereka yang batin.
Yang kita cinta Saiyidina Abu Bakar bukannya kita cinta tulang, daging, kulit dan sendi-sendinya. Hal ni kerana semua tu dah hilang (daripada kita). Tetapi kerana keimanan, keilmuan, dan ketaqwaan iaitu sifat-sifat terpuji pada Saiyidina Abu Bakar itu. Hal itu yang tak boleh hancur hilang.
Ahli sufi, tasauf dan tariqat no. 1 ialah Nabi Muhammad saw sendiri. Itulah contoh terbaik. Tak mampu ikut baginda? Kita usaha ikut yang bawah sikit. Siapa ya ? Khalifah yang empat.
Kita sayang para sahabat Nabi. Adakah kita pernah nampak mereka? Tidak. Kita marah akan kelakuan Abu Jahal dan Iblis? Penrhakah kita nampak mereka? Tidak juga. Maka dari mana datangnya suka dan marah tadi? Datangnya dari mata hati.
Hatim Al-Asham pemurah, Khalid al-Walid berani. Macam mana kita tahu? Dengan mata hati.
Oleh kerana kita ada mata hati, sepatutnya kita sampai ke maqam cinta Allah. Tapi adakah kita sudah sampai?
Kesimpulannya, kita cinta Allah kerana kita ada mata hati yang punya kelebihan luar biasa iaitu mampu mencintai yang ghaib-ghaib.
SEBAB KELIMA WUJUDNYA CINTA - Kerana adanya kesesuaian dan keserasian yang tersembunyi antara pecinta dan yang dicinta.
Oleh kerana ada kesesuaian/keserasian jiwa, sebab itulah ada perempuan yang bertudung litup tetapi kawan baiknya yang jenis tak tutup aurat dan berpakaian yang ketat-ketat. Mengapa? Kerana serasi. Keserasian ini rahsia Allah, sejak azali lagi.
Ada orang besar yang serasi dengan pemandunya. Sepatutnya dia berkawan rapat dengan yang sepadan dengan dialah. Tapi apabila dia nak bersembang, memancing, dia serasi dengan pemandunya lagi.
Ada dua sahabat yang boleh tinggal serumah, tetap berkawan baik dari zaman bujang sampai dah kahwin. Seorang ni suka duduk di rumah, main gitar, dengar lagu dan tulis cerpen. Seorang lagi pula jenis aktif ke sungai, berbasikal, dan memancing. Macam mana mereka boleh serasi padahal kecenderungan lain-lain?. Rahsia Allah.
Betulkah kita serasi dengan Allah? Yang menyebabkan tak cinta akan Allah ni adalah kerana kita tu tak serasi dengan Allah.
Macam mana nak datang serasi kalau dengan rumah Allah pun kita tak serasi. Tak rasa minat nak datang. Tengok masjid surau rasa tak minat. Jadi, macam mana nak serasi dengan tuannya?
Dengan Kitabllah yakni kalam Allah kita tak minat. Macam mana nak serasi dengan Allah? Di rumah kita tinggikan Al-Quran. Maksudnya? Kita simpan di tempat tinggi seperti di atas almari biar berdebu (tiak dibuka, tidak dibaca). Macam mana nak serasi dengan Tuannya?
Kita berasa tak serasi dengan hukum-hakam (undang-undang) Allah, jadi macam mana nak datang serasi dengan tuannya?
Sungguhpun begitu, ari segi hakikatnya, cinta wujud kerana Allah semata-mata. Daripada Allah dan kepada Allah. Daripada Allah cinta datang, kepada Allah cinta kembali. Dari segi hakikatnya cinta tidak kena pada makhluk. Makhluk ini sekadar tempat laluan (kepada pekerjaan Tuhan).
Yang ada ilmu hakikat, dia boleh tembus. Yang tak ada ilmu hakikat, sukar nak tembus. Cinta akan isteri, cinta itu tersangkut pada isteri sahajalah, tidak tembus sampai cinta kepada Allah.
TAMAT AUDIO 5
No comments:
Post a Comment