Teringat kisah seorang sahabat lama. Dia pernah menceritakan kepada saya pengalamannya yang sangat bagus untuk dijadikan teladan. Dia berasal dari Kelantan. Lahir dalam keluarga yang besar dan susah. Kecil kurus sahaja orangnya tetapi bersemangat tinggi.
Suatu ketika dia bercadang untuk menyambung pelajaran agama ke Timur Tengah. Ada dalam kalangan saudara-maranya yang membangkang dengan pelbagai alasan pematah semangat seperti keluarga susah, di sini pun boleh cari ilmu agama, tidak kasihankan ibu bapa, tidak bersyukur dengan apa yang ada, pentingkan diri sendiri, mengejar cita-cita yang sukar dan menyusahkan orang, tidak mahu mendengar nasihat orang-orang yang lebih tua, tubuh badan memang jenis tak berapa sihat, belajar agama nanti susah dapat kerja, dan macam-macam lagi.
Namun sahabat saya ini bertekad meneruskan juga perjalanan keagamaannya ke Mesir. Memang susah dan menempuh pelbagai cabaran, tetapi dia tidak mahu kalah dengan bisikan-bisikan syaitan, katanya. Syaitan akan berusaha gigih mencari jalan untuk membuatkan dia batalkan segala perancangannya. Tidak berjaya melalui dirinya, syaitan akan berperanan melalui diri orang-orang lain pula. Cekap!
Selepas beberapa tahun, dia pun pulang setelah menamatkan pengajiannya. Pulang-pulang terus pula dapat kerja yang baik, terus dapat jodoh, aktif dalam gerakan dakwah, besarkan rumah di kampung, beri duit bulanan kepada ibu bapa, berkenderaan besar, tanggung adik-adik, dan memang nampak perubahan status ekonomi keluarganya.
Dan dia perhatikan keadaan orang-orang yang cuba menggagalkan cita-citanya dulu...... anak-anak tidak berapa menjadi, yang bermasalah ada, yang menganggur ada, yang bekerja pun sekadar kerja-kerja yang tak berapa nak cukup makan, pelajaran tidak tinggi, kehidupan tidak senang, malah menyusahkan keluarga sendiri dan orang lain, dan nampak status ekonomi keluarga masih sama macam dulu juga. Dari segi ilmu-ilmu agama, lebih kurang macam sebelum sahabat saya ini ke Timur Tengah dulu juga, tiada pertambahan pun. Apabila bertemu dalam majlis-majlis, yang dulunya berapi-api menurunkan motivasi sahabat ini, sekarang menundukkk je.
Inilah yang dikatakan bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Bukannya bersenang-senang sekarang tapi bersusah-susah kemudian. Tapi memang biasanya manusia lebih suka memilih untuk bersenang-senang sekarang. Syaitan lagilah suka.
Sebenarnya ada seorang kenalan yang minta pandangan kerana dia teringin belajar agama ke Yaman. Saya pula bukanlah tahu sangat akan situasi Yaman hari ini, tapi katanya tempat yang dia hendak pergi itu selamat. Cuma suara-suara bisikan dan hasutan ‘syaitan-syaitan” di sini katanya yang membuatkan dia agak pening kepala. Panjanglah ceritanya tapi tidaklah saya kongsikan di sini. Maka saya cuma kongsikan cerita di ataslah kepadanya. Terpulanglah untuk dia memohon gerak daripada Allah sambil membuat penilaian sendiri. Wallahua’lam.
Abu Zulfiqar
11 Ogos 2016
No comments:
Post a Comment