Teringat kisah mangsa-mangsa banjir dulu. Terperangkap di bangunan yang di kelilingi air. Berhari-hari. Sekadar contoh yang digubah daripada peristiwa sebenar.....
Pagi. Kita pergi dan hadiahkan topi sudu setiap orang. Memanglah mereka terima tetapi yang mereka mahukan sebenarnya ialah bekalan air bersih, bukannya topi sudu. Bukan mereka tidak menghargai topi sudu yang diberi tetapi kita yang berikan mereka barang yang mereka tidak berkehendak, sedangkan yang mereka mahu tidak kita beri.
Petang. Kita pergi lagi dengan bot. Hadiahkan pula dengan kasut sekolah. Padahal yang mereka perlukan adalah ubat-ubatan. Anak-anak mereka hendak bersekolah entah lagi berapa minggu pun belum tahu, sebaliknya ubat-ubatan perlu segera.
Esok pagi. Kita berasa seronok berbakti lalu pergi lagi dan mengedarkan pula berbungkus-bungkus gula-gula dan makanan ringan Mamee setiap orang, sedangkan yang mereka mahukan adalah bahan api dan makanan basah untuk dimasak makan.
Petang pergi lagi. Berasa diri begitu berpahala kerana membawa pula alat-alat tulis, sedangkan yang lebih diperlukan ketika itu adalah barang-barang kebersihan seperti sabun badan, sabun basuh, syampu, antiseptik dan lain-lain agar dapat memberishkan diri dan mengelakkan jangkitan kuman.
Selepas habis banjir, kita pula tidak berpuas hati kerana orang-orang yang kita bantu seolah-olah kurang menghargai kita. Banyak duit, tenaga, suara, masa dan harta kita keluar kerana membantu mereka, tiba-tiba berasa diri kurang dihargai. Memang patutlah kita kurang atau tidak dihargai walaupun kita berasa sudah terlalu banyak berbakti, kerana kita memberi apa yang orang tidak perlu tetapi tidak memberi apa yang mereka perlu.
Ada orang yang pergi sekali sahaja dengan membawa sedikit ubat-ubatan, tetapi dia yang lebih dikenang-kenang dan dihargai orang, kerana dia memberikan sesuatu yang memang ditunggu-tunggu ketika itu.
Zaman dahulukala khabarnya ada seorang raja yang suka keluar berperang. Setiap kali pulang daripada berperang, bermacam-macam hadiah dilambakkan kepada isteri-isterinya. Hadiah yang ajaib-ajaib, mahal-mahal, jarang ditemui, permata berlian, benda-benda dari negeri asing, haiwna-haiwan comel, wang emas wang perak, pakaian-pakaian mewah, pearalatan-peralatan canggih dan sebagainya.
Tetapi suatu hari apabila dia jatuh sakit, barulah dia sedar yang sebenarnya dia tidak dipandang dan tidak dihargai pun oleh isteri-isterinya. Padahal dia sudah memberikan segala hadiah yang mewah-mewah dan hebat-hebat kepada mereka selama ini. Apakah isteri-isterinya tidak menghargai semua itu?
Apabila diselidik, rupa-rupanya salah dirinya sendiri. Memang dia memberikan pelbagai jenis hadiah yang luar biasa tetapi bukan barang-barang itu yang diperlukan oleh isteri-isterinya. Selama ini isteri-isterinya hanya mengharapkan agar si raja lebih banyak meluangkan masa bersama-sama mereka dan anak-anak. Itulah hadiah yang paling dihargai oleh isteri-isterinya tetapi tidak diberikan oleh si raja. Hadiah-hadiah lain walau sebanyak dan sehebat mana pun, bukan itu yang mereka mahukan. Akhirnya hati mereka jadi tawar dan tidak menghargai dan mencinta si raja lagi.
Walau sedikit, murah lagi kecil pemberian, pertolongan dan jasa kita, tetapi kena dengan keperluan orang, insya-Allah akan dihargai dan disanjung tinggi.
Walau sebanyak dan sehebat mana pun pemberian, bantuan dan pengorbanan kita, tetapi tidak kena dengan keperluan orang, mungkin kurang dihargai atau tidak dihargai.
Orang miskin sedang sakit perut mencari tandas, kita yang jutawan tidak pelawa guna tandas kita tetapi pelawa dia naik helikopter kita untuk bersiar-siar kerana ketika itu kita hendak pergi bersiar-siar. Walaupun tawarannya sangat lumayan tetapi tidak kena dengan tempatnya.
Negeri kita bakal berperang. Musuh sudah hampir. Semua rakyat dikerahkan untuk membuat persiapan perang seperti membuat senjata, membina kubu, menggali parit, berlatih ilmu peperangan, pasang perangkap dan sebagainya. Sebulan orang sibuk dengan urusan hendak berperang.
Kita? Oleh kerana kita kaya, kita upah orang untuk menghias sekeliling rumah para penduduk dengan tanaman dan binaan yang hebat-hebat. Semuanya percuma, kita yang hadiahkan. Sebulan kita dan para upahan kita buat kerja menghias laman-laman seluruh negeri. Jasa dan pengrbanan kita mungkin luar biasa tetapi bukan penghargaan yang diperoleh sebaliknya kutukan orang.
Di sekolah, ada murid yang selalu hadiahkan buah-buahan kepada gurunya, selalu minta hendak tolong bawakan barang-barang guru walaupun ketika itu guru hanya membawa sebuah buku, selalu memuji si guru, dia bangun paling awal untuk beri hormat ketika guru masuk ke kelas, tiap-tiap hari cium tangan guru..... macam-macam lagi. Tetapi dia berasa guru kurang menghargai segala perbuatannya itu. Mengapa ya?
Sebenarnya yang guru mahukan tidak diberinya. Guru minta dia siapkan kerja di sekolah, tidak disiapkan. Kerja rumah, jangan haap. Guru minta dia berbincang dalam kumpulan untuk selesaikan tugasan, dia tidak ambil bahagian sebaliknya mengganggu dan mengejek-ejek murid lain. Buku latihan selalu tidak ada. Sekejap hilang sekejap tak bawa. Selalu tidak hadir ke sekolah tanpa sebab, tengok-tengok lalu depan sekolah bawa motor laju-laju. Kelas tambahan langsung tidak pernah hadir.
Jadi, kuranglah sikit penghargaan guru kepadanya berbanding beberapa murid lain yang walaupun tidak selalu bawa buah kepada guru, tidak selalu hendak tolong bawa barang-barang guru, tidak selalu cium tangan guru..... kerana mereka selesaikan kerja sekolah dan kerja rumah, patuh arahan guru dalam kelas, mahu ambil bahagian dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, hadir kelas tambahan dan sebagainya. Mereka berikan apa yang guru mahu.
Kesimpulannya, jasa dan pengorbanan kita mungkin memang banyak lagi kerap, tetapi nampaknya kurang dihargai. Mengapa ya? Boleh jadi kerana jasa dan pengorbanan yang banyak itu bukan yang diperlukan orang. Biar kecil, murah dan sedikit asalkan yang memang orang mahukan.
Abu Zulfiqar
3 Ogos 2016
No comments:
Post a Comment