Friday, August 12, 2016

Catatan Ringkas Audio Kitab Cinta 6

Pengajian Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin kali ke-149 (Syarahan Kitab Cinta kali ke-6)

Dari sudut syariatnya, kitalah yang berusaha untuk datang ke majlis pengajian. Namun dari sudut hakikatnya, Allah yang pilih dan tentukan kita untuk hadir, dipilih dan ditentukan-Nya pada azali lagi, sejak sebelum ada mana-mana makhluk. Dan sekarang, Dia sedang melaksanakan apa yang Dia rancang itu. Tidak ada sebarang kesalahan, kesilapan atau pertukaran. Sebagaimana yang Dia rancang pada azali, sebegitulah yang Dia laksanakan sekarang . Perancangan-Nya adalah sempurna.

Imbas kembali - Punca-punca atau asal-usul cinta. Dari mana datangnya cinta?

Dari segi syariatnya ada 5 sebab/faktor kewujudan cinta :
1. Cinta muncul kerana sifat semulajadi kita iaitu memang cinta (sayang) akan diri kita sendiri. Kita suka yang lain-lain pun kerana ada kepentingan untuk diri kita sendiri.
2. Cinta timbul kerana sifat semulajadi iaitu kita akan menyukai pihak yang buat baik (al-ihsan) kepada kita. Kita suka orang yang tolong, bantu, bagi hadiah, ambil berat, tunjuk kasih sayang dan sebagainya kepada kita.
3. Cinta hadir kerana sifat semulajadi kita memang suka apa sahaja yang elok, cantik, bagus, hebat. Kita suka pemandangan, bunga-bungaan, haruman, sungai, lautan, air mengalir dan sebagainya walaupun kita tidak dapat miliki pun semua itu .
4. Cinta datang kerana mata hati kita ada kebolehan luarbiasa untuk mencintai hal-hal yang ghaib, yang batiniyyah, yang tak boleh dikesan oleh pancaindera yang lima.
5. Cinta terhasil kerana ada keserasian, ada ngam.

Semua yang di atas adalah dari segi syariat. Semua cinta itu kita nampak datangnya daripada makhluk. Ia bermula daripada diri kita, daripada orang lain, daripada alam dan lain-lain yang semuanya makhluk. Namun dari segi hakikatnya, cinta itu kesemua datang dari mana? Yang wujudkan cinta ialah Allah , maka datangnya daripada Allahlah.

Siapa yang datangkan perasaan terhutang budi kita kepada orang yang tolong kita? Allah. Siapa yang gerakkan orang untuk datang beri hadiah dan buat baik kepada kita? Allah juga! Dia yang buat, Dia yang rancang, Dia yang Dia yang gerakkan. Semuanya daripada Allah.

Kesimpulannya, apakah punca wujudnya cinta? (Dari segi hakikatnya) Allah. Dari mana punca dan asal-usul cinta? Allah. Daripada Allah cinta datang, kepada Allah ia kembali.

Pada hakikatnya, Yang Mencinta itulah Yang Dicinta. Ini dalam bahasa sufinya. Ada satu cinta sahaja sebenarnya (pada hakikatnya). Cinta itu daripada Allah, kepada Allah. Kita ini sekadar tempat laluan kepada cinta itu tadi. Kita tidak ada kuasa upaya untuk mencintai orang . Orang lain pun tidak ada kuasa untuk mencinta kita. Semua cinta berlaku keranaan Allah yang buat. Ini bahasa sufi, bahasa dalam, berhati-hati, jangan sampai tersalah faham.

Orang yang ada ilmu hakikat dan mencapai pula makrifat, cintanya menembusi makhluk lalu kena pada Allah. Dia sayang akan orang , sebenarnya dia sayang akan Allah. Yang tidak ada pengetahuan ilmu hakikat, cintanya akan tersangkut pada makhluk.

Imbasan cerita tentang hakikat pujian. Ada 4 jenis pujian iaitu :
1. Allah puji dirinya sendiri. Puji Qadim bagi Qadim. Pujiannya kena pada siapa? Kena pada Allah. Tidak kena pada selain dia.
2. Allah puji makhluk. Puji Yang Qadim bagi baharu. Contohnya Allah puji nabi-nabi. Kena pada siapa puji-pujian itu? Dari segi hakikatnya, siapa yang buatkan para nabi itu jadi sabar? Nabi-nabi itu tidak ada kuasa. Jadi, walaupun Dia puji makhluk yang baharu, pujian itu kena kat dia juga.
3. Makhluk puji Allah. Puji yang baharu pada Yang Qadim.
4. Makhluk puji makhluk. Puji yang baharu bagi yang baharu. Contoh : Cantiknya orang itu. baiknya orang itu, dermawannya ornag itu. Siapa yang buat dan tentukan mereka itu jadi cantik, baik dan dermawan? Siapa tadbir semua itu? Allah. Semuanya kerja Tuhan dan gerak Tuhan. Maksudnya dari segi hakikatnya, segala puji-pujian itu tidak kena pun pada makhluk.

Keempat-empat jenis pujian di atas semuanya kena pada Allah, langsung tidak kena pada mana-mana makhluk, dari segi hakikatnya.

Kesimpulannya, segala puji kena pada Allah. Apabila kita sebut : "Alhamdulillah”, 100% pujian yang ada kena pada Allah, tidak kena pada kita (makhluk).

Kita juga pernah belajar, bahawa dari segi hakikatnya, Yang Menyembah itulah Yang Disembah. Tapi jangan sesekali kita kata diri kita ini Tuhan. Kalau orang yang tidak ambil tahu bahasa kaum sufi, dia akan tersalah faham. Sebenarnya itu dari segi pandangan hakikat. Yang Memuji itulah Yang Dipuji. Yang Mencinta itulah Yang Dicinta. Yang (Menjadikan )Menyembah itulah Yang Disembah.

Kita ulangkaji hakikat berterima kasih. Orang buat baik kepada kita, kita berterima kasih kepadanya, iaitu kepada makhluk. Sebenarnya (pada hakikatnya) semua kebaikan mereka adalah atas qudrat Allah, gerak Allah, bukannya atas qudrat dna gerak mereka, Oleh itu ucapan terima kasih kita ini dari segi hakikatnya tidak kena lansung pada mereka tetapi kena pada Allah.

Pada hakikatnya tidak ada yang berjasa selain daripada Allah. Orang yang ada ilmu hakikat dan berjaya mencapai makrifat, terima kasihya menembus makhluk dan kena pada Allah. Yang tidak ada ilmu hakikat, terima kasihnya setakat makhluk dan tidak tembus sampai kepada Allah.

Kita ambil perumpamaan untuk menghampirkan kepada faham. Orang yang berilmu hakikat dan mencapai makrifah seumpama seorang yang menyuluh torchlight kepada satu cermin, tembus, cahaya torchlight itu terpapar di dinding. Yang tidak ada, seolah-olah dia suluh ke cermin muka (atau mana-mana cermin yang tidak lut sinat), cahayanya tersangkut pada cermin, tidak tembus ke dinding.

Apa punca cinta Allah tidak hadir pada diri kita?
1. Kerana kita tidak kenal (ma’rifah) Allah.
2. Kerana mungkin kita ada kenal tapi tidak cukup kenal.
3. Kerana keindahan Yang Maha Indah itu masih terhijab kepada kita.

Hendak cinta mestilah kenal, hendak kenal mestilah tahu, hendak tahu mestilah mencari tahu.

Manakan boleh datangnya cinta jika tidak mengenal. Manakan mungkin datangnya kenal jika tidak tahu. Mana bisa tahu sekiranya tidak mencari tahu.

Mencari tahu biar sampai tahu, sudah tahu biar sampai kenal, sudah kenal biar sampai cinta, sudah cinta biar kekal selamanya.

Kitab Ihya’ ini terdiri daripada 40 buah kitab di dalamnya. Kitab Cinta adalah kitab yang ke-36. Ia tidak dijual berasingan. Tetapi di Indonesia ada dijual Kitab Cinta sahaja secara berasingan.

Dari segi penghasilan karya-karya agama, umumnya Indonesia lebih ke hadapan daripada kita. Baik terjemahan atau buat kitab. Kitab Al-Umm, lama dah mereka terjemah, kita belum lagi. Kitab Ihya’ ini pun dalam bahasa Melayu Indonesia.

Ada seorang kawan kata dirinya resah kerana memikirkan dosa-dosa silam. Sebenarnya resah memikirkan dosa-dosa silam itu bagus. Yang kita takut ialah apabila kita tida resah memeikirkan dosa-dosa kita. Kita rasa diri kita terlepas, bebas daripada dosa-dosa. Dari satu sudut, apabila Allah buatkan kita resah memikirkan dosa, maksudnya dia sedang membuka lebuhraya keampunan dan taubat keinsafan kepada kita.

Kata Imam Al-Ghazali, orang yang suka akan sesuatu tapi tidak dikaitkannya dengan Allah, ini orang yang jahil dalam makrifah, atau lemah dalam makrifah, cuai dan lalai dalam bermakrifah. Kata ulama dulu-dulu, awwaluddin ma’rifatullah. Awal-awal agama ialah mengenal Allah.

Yang kita suka kepada isteri kita, Allah yg buat. Yang isteri kita baik kepada kita selama ini, Allah yang buat. Oleh sebab it ulah kita kena kasih akan Allah.

Cinta akan Nabi Muhammad itu terpuji, kerana cinta itu juga sebenarnya cinta kepada Allah.

Ketika berselawat sepatutnya kita terus ingat akan Allah terlebih dahulu, bukannya nampak Rasulullah sahaja. Bukankah pada awal-awal selawta lagi sudah disebut : “Allah.......”

Begitu juga apabila kita sayang akan orang-orang soleh, sebenarnya kita sayang akan Allah. Siapa yang buatkan seseorang itu soleh? Tentulah Allah. Siapa yang datangkan peraaan cintakan orang soleh? Allah juga. Maka sepatutnyalah kita mencintai Allah.

Dicintai orang yang dicintai itu, dicintai.
Rasul bagi Yang Dicintai itu, dicintai.
Yang mencintai yang dicintai, itu dicintai.

Orang yang kenal dirinya dan kenal Tuhannya sudah pasti dia sedar bahawa (pada hakikatnya) tiada wujud bagi dirinya. Dari segi bahasa dalamnya - yang wujud hanya Allah.

Perbuatan kita, cakap-cakap kita, lintasan hati kita, melihat kita, mendengar kita, merasa kita, sifat-sifat kita, dari segi hakikatnyae adalah pekErjaan Allah. Dari segi hakikatnya itu, kita langsung tidak ada apa-apa. Jadi, siapa yang sebena-benarnya Yang Hidup? Allah! Hidup kita makhluk ini tiada sandaran. Siapa sebenarnya yang wujud? Allah!

Kata KH Abdullah Gymnastiar, dalam kita duduk-duduk macam ni sahaja pun, dalam badan kita ada 1001 aktiviti yang sedang beroperasi tanpa kita campur tangan pun. Siapa yang buat semua itu? Allah yang buat. Kalau setara itu kita tidak cinta akan Allah lagi, memang tak patutlah.

Mencintai Allah itu wajib, bukan boleh dipilih-pilih. Orang tolong kita sikit sahaja pun, tolong tunjuk jalan, kita rasa terhutang budi sangat dah,.Allah? Dia tolong wujudkan segala-galanya buat kita, berapa banyak Dia punya jasa tak terkira, sepatutnya Dialah yang kita cinta.

Kata Imam dalam kitabnya Kimiya’ us-Sa’adah, hendak mendapatkan kebahagiaan sejati, kita kena kenal 4 perkara. Kenal diri, kenal Allah, kenal dunia dan kenal akhirat.

Cinta itu buah ma’rifah. Kenal (ma’rifah) itu ibarat pokok. Cinta itu ibarat buahnya. Pokok yang sepatutnya berbuah, tiba-tiba tidak berbuah, apalah ertinya, apalah nilainya. Tanam sawit, kita harap berbuah, tiba-tiba tidak berbuah. Apalah gunanya sawit itu?

Kalau benar kita sayang akan diri, kenalah sayang Tuan, kerana Tuhan yang adakan diri kita ini. Kita ni ada sebab Tuhan. Kita sayang dan jaga kesihatan kuku, kulit, muka, rambut, tiba-tiba tak mahu jaga kesihatan jantung. Yang kita dok ada ni sebab sihatnya jantung. Kalau jantung berhenti, habislah. Yang lain-lain sihat acam mana pun tidaklah berguna.

Tengah-tengah panas, kita suka akan naungan/teduhan pokok. Sebenarnya kita kena suka pada pokok., tak boleh suka teduhan sahaja kerana teduhan itu berpunca daripada pokok tersebut. Kita cinta diri kita, tiba-tiba tak cinta Allah. Mana patut. Cinta makhluk, tiba-tiba tidak cinta akan Yang Mengadakan Makhluk.

Kita hidup, ada bernyawa, ada jasad, belum hancur, ada akal, ada perasan ada nafas, ada semua organ dalaman, ada keluarga, ada rezeki dan lain-lain semuanya diadakan oleh Allah. Wajibkah tidak cinta kepada Allah? Pastilah wajib, bukan pilihan.

Kadang-kadang orang buat perumpamaan (sekadar untuk menghampirkan kepada faham), Kita dengan Tuhan seumpama bayang dengan pokok. Pokok diam, bayang-bayang pun diam. Pokok bergerak, bayang-bayang pun bergerak. Jadi pada hakikatnya siapa yang sebenarnya hidup? Tentulah Allah. Bayang-bayang bergnanung kepada pokok. Bayang-bayang tidak boleh melawan tuannya.

Bayang-bayang kita bergerak kerana geraknya kita.

Kebanyakan orang cintanya tersangkut pada makhluk. Isteir kita buat makanan. Kita makan, kenyang, dan berterima kasih. Terima kasih kita tersangkut pada isteri sebab kita tidak kaitkan dengan Allah. Segala puji kita sepatutnya hanya bagi Allah.

Posmen hantar hadiah banyak ke rumah kita. Kita berterima kasih kepada encik posmen (sahaja). Tak patut. Sepatutnya kita berterima kasih kepada yang kirimkan hadiah itu. Begitulah ringkasnya.

Matahari keluarkan cahaya? Allah sahaja yang berkuasa keluarkan cahaya. Semuanya hasil daripada qudrah Allah Taala.

Menurut Imam Al-Ghazali, semua contoh-contoh yang dibuat itu bukan kena tepat pada hakikatnya, tetapi sekadar untuk hampirkan kepada faham.

Prof. Hamka seorang cendekiawan, tapi dari segi hakikat makrifat ini nampaknya bukan rezeki dialah, setakat yang kita tahu. Dalam satu peristiwa, ulama bagi contoh (untuk menghampirkan kepada faham) bahawa Tuhan dengan mahluk itu seumpama pokok dengan bayang-bayang. Kerana ada dua sahaja iaitu pokok untuk Khaliq dan bayang-bayang untuk makhluq. Hamka mempertikaikan contoh itu dalam bukunya. Ditanyanya - Jika Tuhan itu pokok dan makhluk itu bayang-bayang pokok, maka dari mana datang cahaya penyuluhnya? Nampak sangat Hamka tidak faham, kerana yang ada hanya Khaliq dan makhluq, maka dua benda contoh sahajalah. Tak bolehlah hendak ditanya - mana cahayanya, mana tanahnya, mana udaranya dan sebagainya. Selain Tuhan dan makhluk, ada lagikah yang lain-lain? Sebab itulah diberi contoh dua sahaja iaitu pokok untuk Tuhan dan bayang-bayang untuk makhluk.

Hamka ada tulis buku bertajuk Tasawuf Moden, tapi sebenarnya lebih kepada ilmu akhlak sahaja.

Pada awalnya Hamka banyak terpengaruh dengan Kaum Muda. Tetapi di hujung-hujung nyawanya dia banyak berlembut dah..

Kita kena faham, bahawa ulama-ulama buat perumpamaan sekadar untuk hampirkan kepada faham, bukan untuk contoh yang hakiki. Bahasa sufi bahasa dalam. Berhati-hati jangan tersalah faham.

Banyak contoh untuk menghampirkan kepada faham yang dibuat oleh para ulama tentang Tuhan dan makhluk seperti : bagaikan matahari dengan sinarnya, kaca dengan gelas, pokok dengan bayang-bayang, diri kita dengan bayang-bayang, dan lain-lain. Itu semua bukan contoh yang betul, sekadar untuk hampirkan kepada faham. Sesiapa yang menyangkakan itu semua contoh betul, dia akan tersalah faham.

Kita tengok bayang kita dalam cermin. Bayang kita itu kita ke bukan? Kitalah tapi bukan kita. Contoh, kita mencuri banyak lalu nak kena hukum pancung. Nak pancung yang dalam cermin ke atau yang di luar? Yang di luarlah.Yang dalam cermin itu kita tapi bukan kita. Takkan nak pancung yang dalam cermin. Yang sebenar kita ialah yang di luar cermin.

Alam syahadah ialah apa yang dapat kita saksikan dengan mata kepala kita. Orang berma’rifah, cintanya tidak tersangkut pada alam syahadah ini, tetapi tembus ke alam malakut. Alam malakut ini tidak dicapai selain oleh orang yang sifat-sifat rohaninya mendekati malaikat.

Yang boleh ke alam malakut atau ke langit tinggi ialah manusia dan jin. Haiwan tak boleh. Kerana kita dikurniakan sayap kerohanian tetapi haiwan tidak. Sebahagian orang tak tahu guna, sebab itu sayap kerohaniannya tidak kembang dan tidak boleh bawa dia ke alam malakut.

Ke alam malakut ini bukan macam dari sini kita pergi ke Taiping. Tapi ia berkaitan dengan pengalaman kerohanian.

Lagi banyak sifat-sifat malaikat pada diri kita maka lagi dalam kita boleh masuk ke alam malakut.

Nak cinta kena ada serasi.Macam mana nak serasi dengan Allah kalau tak serasi dengan Kalam-Nya iaitu Al-Quran, rumah-Nya yakni masjid surau, hukum-hakam-Nya, undang-undang-Nya, peraturan-peraturan-Nya dan para ulama-Nya. Kalau hukum Allah pun kata tak sesuai, macam mana nak serasi?

Azazil makhluk yang berma’rifah, tetapi dia tolak satu sahaja hukum Allah. Undang-undang Allah pada zaman itu ialah sujud kepada Adam. Azazil tolak satu sahaja undang-undang/syariat Allah, tengoklah apa jadi pada dia.

Berguru ilmu yang tinggi-tinggi ini, perhati syariat si guru. Kalau dia dok tolak syariat Allah, jangan diikut.

TAMAT AUDIO KITAB CINTA 6

No comments: