Thursday, August 18, 2016

Tiada Jemu Berkorban Demi Agama

Allah SWT sudah sedia tahu, bahkan Dialah yang pada azali lagi sudah menentukan bahawa Abu Jahal dan Abu Lahab tidak akan beriman, yakni tidak akan menerima usaha dakwah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw. Dia Maha Mengetahui, Dia Maha Mengatur.

Namun begitu, Allah tetap memerintahkan Rasulullah saw untuk buat kerja-kerja agama untuk mendapatkan mereka berdua. Samalah halnya dengan Nabi Musa dan Nabi Harun yang berusaha gigih berdakwah untuk mendapatkan Fir’aun.

Baik Nabi Muhammad saw, Nabi Musa atau Nabi Harun, mereka sentiasa gagal, tidak pernah berjaya sehinggalah ke akhirnya dalam kerja-kerja yang disebutkan di atas tadi. Bukan banyak kali gagal, semua kali pun gagal. Namun setiap kali gagal, mereka terima dengan hati yang teguh, kerana hal itu sudah ketentuan Allah.

Adakah selepas gagal itu mereka berhenti? Tidak! Usaha - gagal - terima. Kemudian usaha lagi, gagal lagi, terima lagi. Usaha - gagal -terima. Bukannya usaha - gagal - berhenti. Maksudnya mereka tetap berusaha walaupun berulang kali buat kerja, berulang kali gagal dan berulang kali terima ketentuan Allah dengan penuh keredhaan dan hati yang terbuka. Tidak boleh kita katakan perbuatan mereka itu sebagai membuang masa, sia-sia, tidak bersyukur, tidak menerima ketentuan Tuhan, tidak ada redha, menolak takdir, merugikan, tidak bijaksana, buat susah diri dan umat, atau sebagainya.

Sikap sebeginilah yang mesti kita contohi. Teruskan usaha berulang kali walaupun gagal berulang kali tetapi menerima ketentuan Allah dengan bijaksana berulang kali juga.

Contohnya - kita memohon kerja. Kita cari temuduga, dapat temuduga dan pergi temuduga. Keputusannya = gagal mendapatkan kerja tersebut. Kita akui dan terima bahawa kegagalan itu adalah ketentuan daripada Allah. Kemudian? Kita pun teruslah berhenti daripada mencari pekerjaan? Alasannya - buang masa, sia-sia, seolah-olah tidak bersyukur dengan apa yang ada, tidak menerima ketentuan Tuhan, tidak ada redha, menolak takdir, merugikan, tidak bijaksana, buat susah diri, keluarga dan kawan-kawan...... Beginikah jalan yang diredhai oleh Allah? Ataupun jalan yang diredhai Allah itu sepatutnya kita terus berusaha berulang kali berkorban mencari pekerjaan?

Iblis dan syaitan pun tidak pernah jemu-jemu berusaha dan berkorban buat kerja-kerja untuk menjahanamkan umat, maka kita juga jangan pernah jemu-jemu berusaha dan berkorban untuk buat kerja-kerja menyelamatkan diri dan umat. Malu kita kalau kalah dengan Iblis dan syaitan. Ringkas cakap, Iblis dan syaitan tidak kisah orang suka atau tidak, orang terima atau tolak kerja-kerja dakyah mereka. Orang suka atau tidak, orang terima atau tolak, kerja-kerja agama kita juga mesti diteruskan. Kita usaha, kita harap, kita tawakkal, kita redha, kita yakin.

Semoga Allah memilih kita untuk berada pada jalan ini dan diistiqamahkan-Nya sehinggalah ke akhirnya. Amin ya Allah.

(*Tulisan ini merupakan jawapan kepada seorang hamba Allah yang memohon pandangan sahaya. Hamba Allah ini baru berhijrah daripada kehidupan lamanya. Tak baru jugalah, sudah lebih dua tahun. Dalam tempoh dua tahun itu, banyak jugalah hal ehwal agama Islam yang dipelajarinya kerana dia jenis yang agak tekun mendalami ilmu-ilmu agama. Masalahnya, dia cuba untuk berdakwah kepada keluarganya khususnya ibu bapanya sendiri tetapi mendapat penolakan dan ada juga tentangan. Jadi akhir-akhir ini dia seakan-akan sudah putus asa dan bercadang untuk ‘stop’ semua usahanya ke atas ibu bapanya untuk dia tumpukan sepenuhnya kepada kerja-kerja agama yang lain. Wallahua’alam)


Abu Zulfiqar
18 Ogos 2016

No comments: