Wednesday, August 31, 2016

Meriahkan Kembali Kitab Ihya di Pusat2 Pengajian Agama

Suka untuk mencadangkan agar pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin dihidupkan semula di pusat-pusat pengajian khususnya di pondok-pondok/pesantren dan umumnya di seluruh pusat pengajian agama Islam, sama ada secara terperinci ataupun sekurang-kurangnya secara ringkasan. Berikut adalah saranan kami tentang tempoh waktu pembelajarannya secara lebih kurang (dengan mengambil kira hari-hari cuti).

Sekiranya kitab Ihya' 'Ulumuddin disyarahkan secara TERPERINCI setiap hari selama 1 ke 1 1/2 jam, berapa lama boleh khatam?
Agakan kami insya-Allah dalam masa 2 setengah tahun ke 3 tahun. Ini satu tempoh waktu yang sangat cantik untuk sekolah-sekolah pondok atau institusi pengajian agama yang lain. Jika sekadar 1 jam ke 1 1/2 jam sehari, rasanya tidaklah mengganggu perjalanan sukatan tarbiyyah institusi berkenaan, apatah lagi jika dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran keseluruhan.

Sekiranya disyarahkan secara RINGKASAN ( 1 jam ke 1 1/2 jam sehari) setiap hari?
Insya-Allah dalam tempoh 8-9 bulan. Maksudnya sekolah-sekolah pondok atau institusi pengajian yang lain boleh ambil 1 tahun (biasanya dua penggal/semester) untuk diselitkan pengajian kitab Ihya' ‘Ulumuddin secara ringkasan.

Sekiranya disyarahkan secara RINGKASAN seminggu sekali?
Mungkin mengambil masa 5 tahun. Tempoh waktu ini juga masih sangat sesuai untuk pondok-pondok.

Sekiranya disyarahkan secara TERPERINCI seminggu sekali?
Sekitar 20 tahun. Tidak sesuai untuk orang-orang zaman ini kerana terlalu lama.

Apabila dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran, biasanya dalam seminggu boleh dapat 2 atau 3 hari. Bagaimana?

Katakanlah 3 kali seminggu :
Secara RINGKASAN = Ambillah 2 tahun. Untuk semua institusi pengajian agama pun sesuai.
Secara TERPERINCI = Ambillah 6-7 tahun. Untuk sekolah pondok memang sangat sesuai. (*Sebenarnya kami sangat mencadangkan yang ini).

Katakanlah 2 kali seminggu :
Secara RINGKASAN = Ambillah 3 tahun. Sesuai.
Secara TERPERINCI = Ambillah 9-10 tahun. Agak lama.

Sebenarnya banyak kitab-kitab lain yang diajarkan kepada generasi hari ini adalah ringkasan atau saduran daripada kitab Ihya’ ‘Ulumuddin sendiri. Contohnya :

1. Bidayatul Hidayah (oleh Imam Al-Ghazali).
2. Hidayatus Salikin (huraian kitab Bidayatul Hidayah oleh Syeikh Abdus Samad Al-Falimbani).
3. Minhajul ‘Abidin (ringkasan Ihya’ ‘Ulumuddin oleh Imam Al-Ghazali).
4. Siyarus Salikin (ringkasan Ihya’ ‘Ulumuddin oleh Syeikh Abdus Samad al-Falimbani).
5. Mau’izatul Mu’minin (ringkasan Ihya’ ‘Ulumuddin oleh Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dimasyqi)).
6. Bimbingan Mu’min (terjemahan Mau’izatul Mu’minin, ringkasan Ihya’ ‘Ulumuddin).
7. Mutiara Ihya’ ‘Ulumuddin (terjemahan Bimbingan Mu’min dalam bahasa Melayu, ringkasan Ihya’ ‘Ulumudin).
8. Tazkiyyatun Nafs (intisari Ihya’ ‘Ulumuddin oleh Syeikh Sa’id Hawa).
9. Buku Putih Ihya’ ‘Ulumuddin (saringan dan ringkasan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin).
10. Minhaj al- Qasidin (saringan dan ringkasan Ihya’ ‘Ulumuddin oleh Ibnu al-Jauzi).
11. Mukhtasar Minhaj al-Qasidin (ringkasan kepada Minhaj al-Qasidin).
12. Pelbagai kitab kecil yang lain.


Abu Zulfiqar
31 Ogos 2016

No comments: