Tuesday, August 23, 2016

Mengharap Syurga

SATU PERSOALAN DALAM WHATSAPP :

Assalamualaikum ustaz. Semoga ustaz sihat dan dirahmati Allah.
Sedikit pertanyaan dari saya.

1. Saya ada terdengar dari ceramah ustaz lain yang mengatakan kita beribadat berdoa kena mengharapkan syurga dan dijauhkan dari neraka. (Katanya jika tak mengharapkan syurga, kita sesat).

2. Manakala dari ustaz lain dan pembacaan saya (tasawuf), kita beribadat mengharapkan redha Allah dan tak mengharapkan syurga dan sebagainya.

Soalan saya, mana satu yang betul dan tidak sesat?
Minta juga ustaz beri sedikit penjelasan... Insya-Allah.

(*Kemudian penanya menambah satu video yang di dalamnya ada seorang penceramah mengatakan : “Pandangan sesetengah ahli tasawuf : “Syurga syurga ni tok sah fikir dah”. Ini ahli tasawuf sesat.”)

Minta komen ustaz.


JAWAPAN RINGKAS DI WHATSAPP :

“Kita beribadah dan berdoa kenalah mengharapkan syurga dan dijauhkan daripada neraka.”
Kenyataan yang ini betul.

“Jika kita tidak mengharapkan syurga, maka kita sesat.”
Kenyataan yang ini tidak betul.

“Tidak mengharapkan” syurga bukan bermaksud tidak mahu akan syurga, menolak syurga, membenci syurga dan yang seumpamanya. Yang sesat ialah apabila kita tidak mahu akan syurga, menolak syurga, membenci syurga dan yang seumpamanya. Dalam hal ini, yang kita kena teliti betul-betul adalah perbezaan antara kalimah “tidak mengharapkan” dengan kalimah “tidak mahu, menolak, membenci dll”.

Contoh : Pasukan bolasepak Malaysia BERHARAP dapat menyertai Piala Dunia buat pertama kali dan dapat masuk ke peringkat suku akhir. Dengan potensi pasukan Malaysia selama hari ini, rasa-rasanya pada pusingan pertama lagi kita akan keluar. Tapi kita BERHARAP dapat sampai ke pusingan suku akhir. Tiba-tiba menang peringkat suku akhir dan dapat ke separuh akhir. Adakah kita akan berhenti setakat itu sahaja walaupun sudah menang di peringkat suku akhir. Tentulah kita sangat teruja untuk bermain di peringkat separuh akhir pula. Mana boleh pulang begitu sahaja padahal sudah layak.

Jadi, TIDAK BERHARAP dapat ke peringkat separuh akhir bukan bererti kita menolak, membenci dan tidak mahu ke peringkat separuh akhir.

Dalam persoalan yang dikemukakan, TIDAK MENGHARAPKAN syurga bukan bermaksud menolak syurga.

“Pandangan sesetengah ahli tasawuf : “syurga syurga ni tok sah fikir dah.” Ini ahli tasawuf tak betul.”

Jika “tok sah fikir dah” itu bermaksud tak mahu, menolak, membenci dan lain-lain, maka ini pegangan yang salah. Tapi jika “tok sah fikir dah itu” bermaksud lebih memberi tumpuan kepada Allah sendiri sehingga cerita tentang syurga pun sudah jadi kecil dalam dirinya sebaliknya kebesaran Allah yang jadi besar dan menguasai hatinya, itu bukan kesalahan.

Wallahua’alam.


Abu Zulfiqar
23 Ogos 2016

2 comments:

Anonymous said...

Kita taat kpd Allah swt, kerana itulah tanggungjawab kita sbg hambaNya.
Kita mengharap Syurga Allah swt, kerana itulah ganjaran, kurniaan Allah swt kpd hamba hambaNya yg taat.
Moga dijauhkan kita dr memperkecil kecilkan pemberian kurniaan Allah swt.
Sebaik baik setaqwa taqwa manusia mengajar kita mengharapkan Syurga Allah swt, sebaik baik Kalam, Kalam Allah swt juga mengajar kita meminta Syurga, siapa pulak orgnya yg berdarjat lbh tinggi dr Nabi saw yg tidak mengharapkan Syurga ?

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

Sebenarnya ini bukan bicara wilayah taat dan wilayah tanggungjawab, tetapi lebih kepada bicara wilayah mahabbah (cinta Allah) dan rindu Allah. Sekiranya tidak ada syurga neraka dan pahala dosa sekalipun, ahli2 tasawuf tetap akan berabdi kepada Allah (solat, puasa, berhaji dll yang Allah suka) kerana pencetus utama kepada amalan mereka ialah cinta kepada Allah dan rindu untuk memandang-Nya di akhirat nanti, iaitu kenikmatan yang teragung hinggakan kenikmatan syurga pun ketika itu sudah tidak dihiraukan. Ringkasnya, orang yang mencinta sudah pasti akan taat dan sudah pasti akan menyelesaikan tanggungjawabnya. Tetapi, orang yang taat dan menyelesaikan tanggungjawabnya, belum tentu orang yang mencinta. Jadi orang2 yang diasuk dna didik dengan cinta Allah, mereka lebih mudah untuk taat dan menyelesaikan tanggungjawab. Sebaliknya orang2 yang diasuh dengan taat dna tangunggjawab, sukar untuk mereka mencapai maqam cinta Allah apatah lagi maqam rindu Allah.

Ringkasnya, mana-mana ahli sufi pun tetap akan berdoa : "Rabbana atina fiddunya hasanah, wafil akhirati hasanah (tentunya termasuk syurga), wa qina 'azabannar (dijauhkan daripada neraka)". Betul kan? Kalau benar mereka tidak mengharapkan dapat surga dan dijauhkan drpd neraka, apa guna doa di atas tu? Cuba kita fikir-fikirkan.

Sebenarnya kata-kata yang dibicarakan dalam tulisan itu adalah penetapan matlamat dalam sukatan pelajaran/tarbiyyah para sufi. Matlamat teragung mereka bukanlah syurga (yang makhluk) dan neraka (yang juga makhluk) tetapi Tuan Punya Syurga dan Neraka itu sendiri iaitu Allah (Khaliq). Jadi mereka diasuh supaya beribadah kerana Allah semata-mata, bukannya kerana makhluk. Ini tidak bermakna mereka menolak syurga dan tidak mengharapkan syurga. Juga bukan bermaksud mereka memperkecil-kecilkan pemberian kurniaan Allah sebagaimana yang disangkakan oleh orang2 yang tidak melalui sukatan tarbiyyah para sufi. Sehelai rumput pun tidak akan sengaja dicabut oleh ahli2 sufi kerana sangat menghargai milik Allah, apatah lagi syurga.

Kita fikir begini. Untuk mendapatkan kelazatan teragung iaitu memandang Allah, di mana ya? Bukankah kena masuk syurga, untuk ahli syurga sahaja? Maksudnya, apabila seseroang itu bermatlamatkan Allah, bermatalamatkan kelazatan teragung iaitu memandang Allah, secara automatik dia tahu yang dia kena masuk syurga terlebih dahulu, dia akan dapat nikmat syurga terlebih dahulu. Jadi, bagaimana kita boleh katakan mereka sebagai tidak mengharapkan syurga, memperkecilkan pemberian kurniaan Allah, menyangka diri lebih tinggi daripada Nabi saw? Merekakah yang silap ataupun kita yang sebenarnya tidak punya pengetahuan yang memadai tentang isi kandungan sukatan tarbiyyah mereka tetapi kita tetap mahu bersuara?

Pada ayat terakhir dalam tulisan itu sudah ada jawapannnya yang juga jawapan bagi beberapa perkara lain, bagi yang mahu mendalami dan berjaya memahaminya. Sekiranya masih gagal untuk memaham, abaikan sahaja kerana untuk setiap ilmu itu ada ahlinya dan ada yang tidak direzekikan Allah sebagai ahlinya. Kita tumpukan usaha2 kita dalam bidang yang kita direzekikan berkeahlian di dalamnya sahaja, dan biarkan bidang2 lain untuk yang berkeahlian dengannya. Semoga kita diberi pemahaman oleh Allah SWT dan sentiasa dalam rahmat-Nya. Wassalam.