PERSOALAN :
Dalam wall tu (*salah satu wall Facebook) nampak macam tak bertepatan penerangannya
dengan kehakikatan.
Contoh kalau tak silap ada terbaca dikata bahawa Yang menghijab adalah Allah.
Contoh kalau tak silap ada terbaca dikata bahawa Yang menghijab adalah Allah.
Sedangkan dalam Hikam, Sheikh Ato'illah kata yang
menghijab adalah nafsu diri manusia dan Allah tidak pernah menghijab dirinya.
Wallahu a'lam
PENJELASAN :
Yang satu pihak mengatakan : “Yang menghijab ialah ALLAH”.
Satu pihak lagi mengatakan : “Yang menghijab adalah NAFSU MANUSIA dan Allah
tidak pernah menghijab diriNya.”
Sebenarnya tidak ada apa-apa masalah pada kedua-dua
pandangan tersebut, cuma mereka berbeza sudut pandangan. Pihak yang pertama
memandang dari sudut hakikat (haqiqat), sedangkan pihak kedua memandang dari
sudut syari’at. Kedua-duanya betul.
Memandang dari sudut hakikat maksudnya kita memandang apa
yang berlaku itu dari sudut pekerjaan Tuhan. Memandang dari sudut syariat pula
maksudnya kita memandang apa yang berlaku itu dari sudut pekerjaan makhluk.
Contohnya : kita jemur pakaian di ampaian lalu pakaian
itu kering.
Orang yang memandang dari sudut HAKIKAT (dari sudut
pandangan kerja Tuhan) akan mengatakan bahawa Allahlah yang mengeringkan
pakaian itu, bukannya mana-mana makhluk kerana makhluk langsung tidak ada
kuasa.
Orang yang memandang dari sudut SYARIAT pula (dari sudut
pandangan kerja makhluk) akan mengatakan bahawa matahari, atau cahaya matahari,
atau bahang matahari, atau anginlah (semuanya makhluk) yang mengeringkan
pakaian itu.
Dalam kes yang sedang diperkatakan di atas tadi, jika kita
memandang dari sudut hakikat, sememangnya Allahlah yang menghijab, kerana semua
makhluk langsung tidak punya kuasa untuk menghijab termasuklah nafsu (yang juga
sejenis makhluk).
Jika kita memandang dari sudut syariat (dari sudut
pandangan pekerjaan makhluk), maka nafsulah yang menghijab, bukannya Allah.
Kesimpulannya, tidak ada apa-apa yang tidak kena dengan
kedua-dua pernyataan tersebut.
Sebagai tambahan, dalam kitab Hikam juga ada dinyatakan
sebegini : “Tidak ada sesuatu pun yang dapat MEMBERIKAN MANFAAT KEPADA HATI
sebagaimana ‘uzlah…”
Dari segi syariatnya, memanglah ‘uzlah yang memberi
manfaat kepada hati, namun dari segi hakikatnya, uzlah langsung tidak ada
apa-apa kuasa untuk memberi manfaat kepada hati melainkan Allahlah yang
berkuasa memberikan manfaat kepada hati.”
Oleh itu, dalam usaha untuk mengelakkan salah faham,
eloklah terlebih dahulu kita kenal pasti bahawa orang yang sedang berkata-kata
dengan kita itu sedang berbicara (sedang memandang) dari sudut syariat ataupun
dari sudut hakikat. Jika kita membaca artikel, kenal pasti terlebih dahulu sama
ada penulis artikel itu sedang berbicara dari sudut pandangan syariatkah
ataupun hakikatkah? Insya-Allah dengan cara ini dapat menghindarkan perbezaan
pandangan.
Pada saya ada 3 versi kitab Hikam. Satu versi Tok Pulau
Manis, satu lagi versi Syeikh Said Hawa dan satu lagi saya ‘save’ dari internet
lama dahulu. Saya cuba cari (sepintas lalu je) tadi kenyataan “Yang menghijab
adalah NAFSU MANUSIA dan Allah tidak pernah menghijab diriNya.” (ataupun kalimah
yang lebih kurang begitu bunyinya) tapi belum terjumpa. Jika ada maklumat, mungkin boleh kongsikan
dengan saya kalimat asal daripada Hikam ataupun lokasinya dalam kitab itu.
Tapi saya ada terjumpa kalimah ini : “Di antara hal yang
menunjukkan kepadamu tentang kekuasaan Allah Yang Maha Suci ialah ALLAH MENGHIJABMU
DARI-NYA dengan sesuatu yang tidak ada wujudnya di sisi Allah.”
Maksudnya Allah memang ada menghijab.
Wallahua’lam.
Kebetulan pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumiddin sekarang
memang sedang menyentuh persoalan syariat dan haqiqat. Sudah tiga kali kuliah
saya perjelaskan lagi kalam Imam Al-Ghazali tentang hal ehwal syariat dan
haqiqat ini.
Semoga bermanfaat.
Abu Zulfiqar
26 April 2013
No comments:
Post a Comment