Kepada sesiapa pun yang memerintah negara selepas PRU 13
ini nanti, tanpa mengira pihak mana yang diwakilinya, suka dicadangkan hal-hal
berikut kepada mereka.
PERANG POSTER
Berusaha untuk menamatkan perang bendera, poster,
sepanduk, papan tanda dan seumpamanya antara parti-parti politik pada musim
pilihanraya. Sangat jelas kepada kita bawa perang sebegini melibatkan
berbelanjaan yang sangat besar. Adalah lebih baik jika perbelanjaan ini
dihalakan kepada kebajikan rakyat ataupun sekurang-kurangnya kepada kebajikan
ahli-ahli sesuatu parti politik itu. Banyak negara-negara maju yang tidak
mengamalkan perang sebegini.
Perang bendera juga menghabiskan banyak masa manusia,
seringkali juga menimbulkan perbalahan, pernah mendatangkan kecederaan dan kehilangan
nyawa, menjadi sampah bertebaran apabila tidak terjaga, menjadi panji-panji
yang menyedihkan apabila terperosok ke longkang atau dipijak-pijak orang, malah
boleh membawa kepada wujudnya sifat-sifat mazmumah tertentu kepada sebilangan
orang.
Sebagai gantiannya, apabila tiba musim pilihanraya, cukuplah
jika diletakkan papan tanda besar (atau seumpamanya) yang memaparkan gambar
semua calon yang bertanding di kawasan itu, lambang parti yang diwakili mereka,
dan satu cogan kata masing-masing. Papan tanda besar ini diletakkan di
lokasi-lokasi strategik dan tidak perlu banyak. Tujuan kita hanya untuk
memperkenalkan calon dan pihak yang diwakilinya, maka tidak perlu berperang
bendera. Bendera-bendera (dan seumpamanya) eloklah diletakkan di bilik-bilik
gerakan, tempat ceramah, marakas , tempat perkhidmatan atau seumpamanya sahaja,
dan boleh dibawa pada hari penamaan calon, mengiringi calon dan pada hari
pengundian. Tak perlu banyak, cukup sekadar ada sahaja.
Pembiayaan papan tanda yang dimaksudkan di atas tadi
boleh sahaja menggunakan wang SPR, atau pihak-pihak yang bertanding, atau
hadiah daripada parti yang sebelum itu menjadi pemerintah, atau lain-lain yang
dirasakan wajar.
Nilai agama yang kita perjuangkan – berjimat, bijaksana,
saling hormat-menghormati, bekerjasama, bersaing secara sihat, kebajikan,
tenang, memelihara panji kebesaran masing-masing.
PEMBERIAN SEPANJANG TEMPOH BERKEMPEN
Berusaha untuk menghentikan segala bentuk pemberian terutamanya yang berbentuk kebendaan oleh
parti-parti politik ataupun yang tidak berparti sekurang-kurangnya pada
sepanjang tempoh berkempen iaitu antara penamaan calon sehinggalah ke hari
pilihanraya. Kita sedia maklum, sangat banyak masa lain yang boleh digunakan
untuk menghulurkan wang atau barangan sebelum menjelang pilihanraya, maka
mengapa mesti kita tunggu pada musim pilihanraya baru hendak menunjukkan bakti
dan jasa? Jika tergelincir niat, silap-silap boleh menjadi “rasuah politik”.
Oleh itu perlulah diwujudkan peraturan yang melarang
sebarang bentuk pemberian sebegini pada sepanjang tempoh berkempen, sama ada
melalui majlis rasmi ataupun secara tidak rasmi. Mana-mana pihak yang melanggar
peraturan ini hendaklah dikenakan tindakan yang sewajarnya.
Nilai agama yang kita perjuangkan – ikhlas.
SAGUHATI PENGUNDI PULANG MENGUNDI
Berusaha untuk menyediakan perbelanjaan perjalanan pulang
mengundi (ataupun sekuarng-kurangnya saguhati) bagi pengundi-pengundi yang
tinggal jauh tanpa mengira parti politik, contohnya dalam bentuk pemberian
terus ataupun secara tuntutan, ataupun cara lain yang difikirkan wajar. Hal ini
bersesuaian dengan niat kita yang mahu setiap warganegara ambil peduli dan mahu
sama-sama bertanggungjawab terhadap negara. Saguhati perjalanan pulang ini dapat
meningkatkan peratusan pengundi membuang undi.
Apa yang berlaku sekarang, pihak-pihak yang bertanding
pula yang memberi saguhati kepada para pengundi untuk pulang, untuk
mengurangkan perbelanjaan pulang mereka.
Nilai agama yang kita perjuangkan – memudahkan,
menggalakkan yang baik, ikhlas, mahu sama-sama bertanggungjawab.
RUANG BERKEMPEN DI MEDIA ELEKTRONIK
Berusaha untuk memberikan peluang berkempen kepada semua
parti melalui siaran televisyen dan radio, jika sekalipun tidak sampai ke
peringkat sama berat (sama banyak ruang) tetapi biarlah lebih berbanding apa
yang diberi selama ini.
Nilai agama yang kita perjuangkan – adil, berani.
MASALAH HUTANG NEGARA
Berusaha keras untuk menyelesaikan masalah hutang negara,
ataupun mengurangkan, ataupun menyekat kenaikan, ataupun paling kurang pun melambatkan kadar kenaikan hutang
negara dengan sesegera mungkin. Hal ini kerana dalam beberapa tahun
kebelakangan ini jumlah hutang negara meningkat dengan banyaknya dalam masa
yang singkat. Dari RM 250 billion pada tahun 2008 kepada RM 550 billion pada
tahun 2013. Bayangkan “bunga”nya. Hutang membuatkan kita diperhambakan oleh
pihak yang memberi hutang tanpa mengira sebanyak mana harta simpanan kita dan
pendapatan kita. Jika dibiarkan berterusan, negara kita akan tergadai seperti
negara Greece. Anak cucu kitalah yang akan menanggung hutang-hutang ini.
Walaupun kadar hutang negara belum sampai ke tahap yang berbahaya, namun jika
dibiarkan berterusan tentunya akan masuk ke zon berbahaya juga. Oleh itu kita
mengharapkan agar dapat segera dikurangkan daripada 53 % daripada GDP
(pendapatan negara kasar) pada hari ini kepada 50 % sahaja.
Nilai agama yang kita perjuangkan – bertanggungjawab,
menyelamatkan, berusaha gigih, bermatlamat dan berobjektif, berpandangan jauh.
ETIKA DALAM PARLIMEN
Berusaha mewujudkan peraturan agar persidangan Dewan
Rakyat berjalan dalam lebih suasana orang-orang yang beriman dan beradab menurut
agama Islam. Hal ini selaras juga dengan nilai-nilai dalam agama Hindu, Buddha,
Tao, Kristian dan lain-lain. Segala bentuk kutukan, makian, ejekan, “booo”an, budaya
ala samseng, lawak jenaka murahan dan merendah-rendahkan lawan, dan seumpamanya
hendaklah dikekang. Sebaliknya gantikan dengan persidangan yang berisi hujahan berfakta,
saranan-saranan, penilaian, bertukar-tukar fikiran, saling menghormati, kurang
meninggi suara dan sebagainya.
Nilai agama yang kita perjuangkan – bina sifat-sifat
mahmudah dan tundukkan sifat-sifat mazmumah, qudwah hasanah.
KETUA NEGARA
Berusaha meletakkan seorang yang mampu dan layak menjadi
imam solat sebagai ketua negara (Perdana Menteri). Sudah lama umat Islam negara
ini merindukan pemimpin yang seperti Rasulullah, Khulafa Ar-Rasyidin, Sultan
Muhammad Al-Fateh dan lain-lain yang selalu memimpin mereka dalam ibadah solat.
Nilai agama yang kita perjuangkan – pemimpin yang
bertanggungjawab, menjadi contoh ikutan yang baik, memimpin rakyat untuk dunia
dan akhirat, berani.
Berusaha melantik ketua negara yang gigih memperjuangkan
(bukan sekadar mengakui tapi tidak memperjuangkan bersungguh-sungguh, apatah
lagi jika menolak) penutupan aurat khususnya bagi ibu-ibu orang-orang Islam,
isteri-isteri orang-orang Islam, gadis-gadis Islam, anak-anak Islam, kaum
lelaki juga, dan yang lebih utama ialah diri, keluarga dan orang-orang di bawah
ketua negara itu sendiri.
Nilai agama yang kita perjuangkan – patuh perintah/larangan
Tuhan tanpa soal, menyelamatkan diri dan umat, berani, menjadi contoh yang
hasanah.
Bukan ini sahaja, banyaklah lagi. Jadi kepada mana-mana
pihak pun yang menang dan membentuk kerajaan selepas ini, tolonglah
mengusahakan hal-hal di atas dengan bersungguh-sungguh.
Abu Zulfiqar
2 Mei 2013
No comments:
Post a Comment