Seorang hamba Allah bertanyakan pandangan saya tentang
slogan "Melayu Sepakat, Islam Berdaulat". Pada saya, satu slogan yang
bagus tetapi secara peribadi saya lebih suka jika dalam konteks Malaysia,
slogannya berbunyi : “Muslim Malaysia Sepakat, Islam di Malaysia Lebih
Berdaulat”. Itu lebih tepat dan lebih
berkesan. Jika dalam konteks global pula : “Muslim Sepakat, Islam Lebih Berdaulat.”
Setiap perkataan itu berperanan penting.
Sebenarnya slogan ini digunakan oleh Ikatan Muslimin
Malaysia (ISMA), sebuah NGO dalam kempen pilihanrayanya di bawah nama Parti
Berjasa.
Beberapa hari kemudian, seorang sahabat dari ISMA sendiri
(saya pernah aktif dengan ISMA selama 7-8 tahun, jadi ramai kawan baik di
dalamnya yang pernah susah senang sekali) pula bertanya tentang bunyi seruan
dalam kempen ISMA yang sering kedengaran
iaitu “Undilah calon Muslim berwibawa”.
Sama juga, saya katakan ia satu seruan yang baik, tapi
masih boleh dimurnikan. Hal ini kerana walau sewibawa manapun seseorang calon
Muslim itu tetapi jika tidak kena dengan tempatnya, mana boleh kita seru orang
lain untuk mengundinya? Kenalah calon Muslim itu KENA DENGAN TEMPATNYA/situasinya/keadaannya.
Oleh itu seruan itu boleh kita murnikan lagi kepada : “Undilah calon Muslim
berwibawa, yang kena dengan tempatnya.”
Selamat maju jaya kepada seluruh jemaah Islam,
termasuklah ISMA. Begitulah antara seruan dakwah Tajdid Segar, Tajdid Sebenar.
Apabila cerita ini saya kongsikan di Facebook,
sahabat-sahabat bertanya pula : “Macam mana boleh terlibat dengan ISMA dulu?” Panjang
cerita.
Ringkas ceritanya (walaupun tidaklah ringkas benar), saya
memang tidak ada niat untuk aktif dengan ISMA, tapi telah diminta untuk
membantu ISMA yang ketika itu baru berubah temanya daripada satu perkumpulan
siswazah (asal namanya ialah Ikatan Siswazah Muslim Malaysia) kepada perkumpulan
yang terbuka untuk orang ramai. Oleh itu ISMA perlukan satu lonjakan untuk membuka
sel-sel usrah baru bagi menarik orang ramai kepada ISMA, juga mempromosikan
ISMA khususnya kepada remaja dan golongan dewasa. Apabila saya dan kawan-kawan
menolak, permintaan ditukar kepada seakan-akan arahan. Sebahagian menurut dan
sebahagian sebaliknya. Mahu tak mahu kami yang menurut pun berjuanglah
bersama-sama ISMA.
Ada antara yang menolak terus bertindak memisahkan diri
(dengan cara baik, kami tak pernah bermusuh). Maksudnya ada yang bersama-sama
JIM (Jemaah Islah Malaysia) yang kini bernaung di bawah IKRAM, ada yang bersama
PAS (Parti Islam Se-Malaysia), ada yang bersama Hizbut Tahrir (dengar-dengar
khabarnya begitu, tapi tak tahulah sejauhmana kebenarannya kerana sahabat yang seorang ini agak
berahsia), ada yang jadi geng mengaji kitab dari masjid ke masjid, dan entah
macam manalah ada seorang sahabat yang terlorong jalan ke majlis-majlis kaum
Salafi Wahhabi. Tapi sahabat ini bukan jenis yang membid’ahkan sesama umat
Islam kerana dalam majlis-majlis yang biasanya
ditolak oleh kaum Salafi Wahhabi, dia masih boleh turut serta. Dan sepanjang kenal dengannya, dia tidak
pernah menghentam kita yang tidak berfaham Salafi Wahhabi, cuma katanya dia
lebih selesa dengan “dakwah salaf”, katanyalah.
Selepas lebih kurang 3-4 tahun bersama-sama ISMA dan ISMA
pun berkembang pesat lagi stabil, datang berita bahawa ‘arahan’ kepada
sahabat-sahabat ‘underground’ sudah pun ditarik balik. Maksudnya , sesiapa yang
mahu bersama-sama ISMA boleh teruskan, dan sesiapa yang tidak mahu boleh mendapatkan
tugasan lain. Oleh kerana sudah rapat sangat dan selesa dengan ikhwan ISMA,
saya pun mengekalkan diri walaupun saya sudah lama punya perjuangan yang
tersendiri bersama-sama beberapa orang sahabat, iaitu Dakwah Tajdid Sebenar.
Lebih kurang pada tahun ke-6, timbul seruan untuk sahabat-sahabat
‘underground’ bersatu semula sebagaimana sebelum zaman ISMA. Saya menolak kerana
sudah ada perancangan lain dan sefaham saya usaha itu kurang berhasil. Tak
tahulah kalau-kalau di luar pengetahun saya jadi sebaliknya. Wallahua’lam.
Lebih kurang dalam tempoh itu jugalah bertiup kencang
angin yang membawa benih-benih perjuangan Ikhwan aliran Syria dan Jemaah An Nur
(dari Turki) yang diasaskan oleh Badiuzzaman Said Nursi ke negara ini. Memang
sudah jadi tugas kami untuk menyemarakkan semua jemaah Islam yang benar, namun
saya menolak dengan baik pelawaan yang pertama memandangkan di negara ini sudah
lama bertapak Ikhwan aliran UK dan kemudiannya Ikhwan aliran Mesir. Saya tak
nampak keperluan untuk mewujudkan aliran Syria. Namun saya tetap akan membantu
sekiranya benar-benar mahu diwujudkan. Akhirnya
tak jadi pun usaha itu. Pelawaan Jemaah An-Nur pun saya tolak dengan baik, kerana
tidak nampak pun yang mereka mahu membesarkan perkumpulan mereka melainkan
hanya mahu kita menyertainya sahaja. Jika
kami masuk pun, tidak dapat banyak membantu.
Selepas 7 atau 8 tahun bersama ISMA, saya pun memisahkan
diri dengan baik. Sampai sekarang pun hubungan saya dengan sebahagian teman
dalam ISMA dulu masih rapat.
Ketika bersama-sama ISMA, kami sempat membuat satu
risalah bulanan setebal lebih kurang 20 mukasurat dengan nama “Ikmalia”.
Walaupun edarannya terhad di sekitar negeri Perak, tetapi pernah juga sampai ke
Pulau Pinang dan Selangor, dibawa oleh “students”. Isi kandungannya tidak
bercerita tentang ISMA secara langsung, tetapi para pembaca khususnya remaja
memang dipandu secara senyap ke arah itu. Melalui risalah ini saya dan
rakan-rakan berjaya menarik ramai remaja kepada ISMA. Nama “Ikmalia” itu
seolah-olah nama bunga atau wanita, tetapi sebenarnya ialah “Ikatan Muslimin
Malaysia” (terbuka rahsianya hari ini). Sempatlah dalam 30 keluaran. (Sebelum
itu ketika membantu perjuangkan Jemaah Islah Malaysia, kami pernah menghasilkan
risalah dengan tajuk “Pusaka Serigala” tetapi edarannya terhad di sekitar
Taiping sahaja).
Ada juga sebuah blog yang saya sendiri hasilkan tetapi
sudah lupa namanya kerana sudah dipadam pada sekitar tahun 2010. Isi blog ini
juga sebenarnya untuk menarik pembaca ke arah ISMA, secara tidak langsung/secara
senyap-senyap. Blog ini secara keseluruhannya kurang berjaya kerana saya sangat
kekurangan masa untuk mengendalikannya kerana dalam masa saya turut menguruskan
beberapa belas blog lain yang juga bersangkutan hal ehwal agama.
Rehatnya saya daripada aktiviti-aktiviti ISMA, maka dapatlah
saya memberi lebih masa untuk mendalami dan mengamalkan ilmu perubatan nabawi, ilmu
perubatan alternatif, ilmu hakikat, ilmu tasawuf, ilmu tafsir mimpi, ilmu perbandingan
agama, ilmu tentang agama-agama dunia dan kitab-kitabnya, sejarah, mengajar
kitab-kitab dalam kuliah-kuliah umum, mencipta lagu-lagu Islami, gerakkan team
menentang ajaran-ajaran sesat dan sebagainya yang sukar untuk saya sediakan
masa untuk mendalami dan mengamalkannyanya jika terus sibuk dalam
aktiviti-aktiviti ISMA yang padat.
Sekitar dua tahun yang lalu, pernah anak kepada Presiden
ISMA bertanya sebab-sebab saya tidak aktif lagi dengan ISMA. Perenggan di atas
tadilah lebih kurang jawapan ringkas saya. Saya mahu mempelajari dan
mempraktikkan perkara-perkara yang sukar untuk saya pelajari dna praktikkan
jika masih terus aktif dengan ISMA. Soal jawab itu berlaku di Facebook (di akaun
“Abu Zulfiqar Amsyari”), maka seringkas itulah jawapan saya. Dan pada hari ini,
dengan artikel ini maka terjawablah secara panjangnya pula.
Rehat daripada ISMA, tidak bererti rehat sepenuhnya daripada
membantu dakwah kumpulan-kumpulan Islam. Sekurang-kurangnya ada dua lagi jemaah
yang saya terlibat membantu selepas berehat daripada ISMA. Oleh kerana masih
baru, maka belum sesuai untuk diceritakan. Insya-Allah suatu hari nanti kita
cerita. Tapi rakan-rakan saya yang masih muda-muda memang terus aktif. Cuma sebagaimana
salah satu saranan Tajdid Segar, kami memang tidak terlibat membantu mana-mana
perkumpulan yang JELAS-JELAS membawa 6 Virus Dalaman iaitu :
1. Syi’ah.
2. Salafi
Wahhabi (Wahabi).
3. SIPLIS/Siplisme
(Sekularisme,Pluralisme, Liberalisme)
4. Ajaran-ajaran
sesat.
5. Golongan
Anti-Hadith.
6. Ahmadiyyah
Qadiyyani.
…….. terkenang zaman kami membantu menyemarakkan
usaha-usaha dakwah jemaah Tabligh (sekitar 1993), Parti Islam (sekitar 1999),
satu aliran Tariqat Naqsyabandiyyah (sekitar 2000), Jemaah Islah Malaysia
(sekitar 1998-2002), satu halaqah yang tidak ada nama khusus (sekitar 1998),
satu lagi halaqah seorang ulama yang ketika itu baru hendak dikenali, sekarang
sudah top (2007)……..
Memang pengalaman yang menarik lagi bermanfaat.
Selamat maju jaya kepada seluruh jemaah-jemaah Islam.
Para pejuang Tajdid Sebenar (Tajdid Segar) akan terus menyokong dan membantu. Pandang global, mari bergerak
sebagai satu umat.
http://www.youtube.com/watch?v=HIdCUw8vfYs
Fahami dan hayati liriknya.
Lagu ini saya siapkan sejurus selepas berehat daripada
ISMA. Dah ada masa, bolehlah curi2 ruang untuk buat sekalipun tidak sesempurna
mana. Sekurang-kurangnya ia dapat menceritakan sedikit daripada harapan dan matlamat kita.
Abu Zulfiqar
2 Mei 2013
Tambahan (sebuah puisi lama saya, 2007) :
Pabila kupetik untaian puisi Ustaz Ashaari
Pabila kulilit serban hitam di kepala
Pabila mataku dihiasi celak
Pabila kusering mencontohi al-Banna
Pabila tazkirahku bernada tazkirah Dato’ Nik Aziz
Pabila tasauf kesufian menjadi bualan harianku
Pabila aku mengendalikan usrah
Pabila anak-anakku berpakaian tentera
Pabila kusokong Lasykar Jihad
Pabila kukagumi Syeikh Bahauddin
Pabila kuberbaik dengan pimpinan dan ahli UMNO
Aku…
“PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT”
Abu Zulfiqar
Tambahan (sebuah puisi lama saya, 2007) :
PABILA KUAMBIL
SESUATU…
Pabila kupetik untaian puisi Ustaz Ashaari
Itu bukan bermaksud temanmu ini ahli
Rufaqa’
Jika kunyatakan kebaikan poligami
Bukan hujahnya
aku pengikut al-Arqam
Pabila kulilit serban hitam di kepala
Itu bukan bererti aku pengikut Syiah
Kalau kaulihat aku menyokong Saidina Ali
Tidak bermakna
temanmu ini pendokong Syiah Imamiah
Pabila mataku dihiasi celak
Apa buktinya aku seorang karkun?
Kaulihat jubahku seperti jubah Maulana
Mustaqim
Jangan kauhukum
aku ahli jemaat Tabligh
Pabila kusering mencontohi al-Banna
Tidak semestinya aku banyak menyetujui
Qardhawi
Memang buku-buku Ikhwan rujukanku
Mana kalian tahu
aku salah seorang saudara mereka?
Pabila tazkirahku bernada tazkirah Dato’ Nik Aziz
Mestikah aku bertaqlid penuh Ustaz Hadi
Awang?
Kelibat aku selalu ada di ceramah
Tidak semestinya
PAS platform perjuangan utamaku
Pabila tasauf kesufian menjadi bualan harianku
Tidak semestinya aku orang tariqat
Penampilanku yang biasa berjubah dan
berserban
Jangan anggap
kumenolak tali leher dan t-shirt
Pabila aku mengendalikan usrah
Bukan ABIM dan JIM saja yang berusrah
Ma’thurat menjadi aurad harianku
Adakah ISMA
naunganku?
Pabila anak-anakku berpakaian tentera
Takkanlah aku terus menjadi al-Qaeda?
Ketika kumenulis kebaikan Taliban
Mestikah aku
pendokong gerakan mereka?
Pabila kusokong Lasykar Jihad
Tidak kusokong wadah Wahhabi
Kalau kusokong beberapa fatwa Saudi
Ketahuilah
temanmu ini bukan Salafi Lapok
Pabila kukagumi Syeikh Bahauddin
Takkanlah itu menunjukkan aku pentaksub
Syeikh Nazeem
Kaulihat hatiku berzikir khafi Allah Allah
Bukan maksudnya
kudatang dari Naqsyabandiyyah
Pabila kuberbaik dengan pimpinan dan ahli UMNO
Janganlah anggap temanmu ini pengundi
Barisan
Seandainya kusokong langkah-langkah baik
pemerintah
Jauh sekali
untuk aku berfaham sekular
Aku…
Mengambil apa yang baik dan relevan
Yang berkesan
buat diriku dan umat Islam
“PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT”
Abu Zulfiqar
3 JUN 2007
No comments:
Post a Comment