Thursday, May 9, 2013

Perihal Sambutan Hari Jadi


Selalu orang bertanya tentang tarikh hari lahir saya, setiap tahun ada. Sememangnya saya tidak suka menulis tarikhnya kerana sejak kecil saya tidak menyambut hari ulangtahun kelahiran, kecualilah jika dikehendaki untuk menulisnya pada borang-borang tertentu. Cuma selepas berkahwin, tentunya isteri suka untuk meraikan suaminya, maka disambutlah juga, asal ada. Dengan kehadiran anak-anak ke dalam hidup kami, mereka pun suka untuk meraikan bapa mereka, maka jadilah ia upacara tahunan, tetapi sekadar ada sahajalah.

Mengapa tidak sambut hari lahir pada waktu kecil, remaja dan dewasa? Berdosakah sambut hari ulangtahun kelahiran? Tidak. Sebenarnya kerana dulu hidup susah. Apabila sudah biasa tidak menyambut hari lahir (kadang-kadang terlupa, terlepas tarikh baru teringat), lama kelamaan hal itu sudah menjadi perkara biasa. Sehinggalah dewasa, saya tidak berasa apa-apa pun apabila tiba tarikh hari lahir. Tidak berasa kurang apa-apa pun jika tidak menyambutnya.

Susah yang bagaimanakah sampaikan tidak sambut langsung hari lahir semasa kecil? Saya ceritakan tentang makanan harian kami, dari situ para pembaca boleh mengagak susah yang bagaimana.

Saya dan sepupu saya tinggal dengan opah sejak kecil. Bertigalah kami serumah. Kalau hari ini opah goreng ikan masin, hari ini kami makanlah ikan dan minyak gorengannya. Ikan pun dua tiga ekor sahaja, habislah untuk hari itu. Untuk esok dan lusa? Kami berlaukkanlah lebihan minyak goreng ikan masin dalam kuali sahaja dengan nasi. Hari keempat, opah goreng lagi dua tiga ekor ikan masin. Biasanya begitulah seterusnya berulang-ulang, selama bertahun-tahun. Air paling hebat yang ada? Air teh. Air sirap pun beberapa kali sahaja dibancuh dalam setahun.

Dalam keadaan sebegitu, hendak buat kenduri, hendak beli kek, hendak beri hadiah…..memang tak ada peluang. Opah pula tidak pernah bersekolah, tidak tahu membaca, mana dia ambil tahu sambutan “birthday”. Tarikh lahir kami pun tidak diketahuinya, termasuklah tarikh lahirnya sendiri. Oleh itu kami sudah biasa tidak ambil endah tentang sambutan hari ulangtahun kelahiran. Ucapan “Selamat Hari Jadi” pun tidak menjadi budaya kami.

Sebab itulah sehingga dewasa saya tidak hiraukan kedatangan tarikh ulangtahun kelahiran. Sampai sekarang pun saya kurang ambil hirau. Dan saya tidak terasa hati langsung jika orang tidak memberi ucapan selamat ataupun terlupa tarikh lahir saya. Namun begitu, tarikh lahir isteri dan anak-anak memang saya ingat dan buat sambutan kecil, untuk memperkasakan kasih sayang sesama kami. Dan yang paling penting ialah doa selamat yang saya baca dan diaminkan oleh isteri dan anak-anak.

Abu Zulfiqar
9 Mei 2013

No comments: