Wednesday, December 1, 2010

Saya Tidak Mahu Berkahwin!

KES PERTAMA

Pernah seorang wanita memberitahu saya yang DIA TIDAK MAHU BERKAHWIN. Berikut ialah dialog kami (lebih kurang).

WANITA : Saya tidak mahu berkahwin.

ABU ZULFIQAR : Kenapa?

WANITA : Saya mahu mencontohi idola saya, Rabiatul Adawiyah (yang terkenal sebagai seorang ahli sufi wanita pada zaman dahulu). Saya kagum dengan dia. Saya nak jadi soleh macam dia.

ABU ZULFIQAR : Oh begitu....... Tapi... mengapa mesti hendak mencontohi Rabiatul Adawiyah? Fatimah (anak Rasulullah), Khadijah (isteri Rasulullah), A’ishah (isteri Rasulullah) dan lain-lain jauh lebih tinggi maqam mereka berbanding Rabiatul Adawiyah. Dan... mereka semuanya berkahwin! Dah ada contoh yang lebih baik, mengapa hendak ikut contoh yang kurang daripada itu?

WANITA : (Terdiam)

Tamat dialog kami.

Alhamdulillah, syukur. Hati wanita ini terbuka dan setahun lebih kemudiannya dia berjaya mendirikan antara sunnah paling utama di dunia ini yang juga merupakan jalan para anbia’, iaitu berumahtangga. Dah dapat anak pun. Semoga dia dan keluarganya mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.

Pesan Nabi yang kita kasihi:

“Nikah adalah sunnahku (jalanku), maka barangsiapa yang cintakan agamaku hendaklah dia menjalankan sunnahku itu”. (Abu Ya’la)


KES KEDUA

Dalam kes lain, ada pula seorang wanita berkerjaya dan bergaji agak lumayan yang buat endah tak endah tentang perkahwinan, sedangkan umurnya sudah meningkat. Baginya, jika tidak berkahwin pun tidak ada masalah. Kalau tidak ada orang meminangnya, baginya hal itu “sudah tak ada jodoh”. Disangkanya jodoh itu boleh datang menggolek TANPA BERUSAHA KERAS.

Tapi, keluar rumah bekerja dan MENCARI WANG, HARTA dan KEDUDUKAN DI MATA ORANG pandai pula dia berusaha keras. Bertungkus-lumus sejak zaman persekolahan mengejar kerjaya, berhabis duit belajar, masuk universiti, berpisah jauh dari keluarga, sambung belajar lagi, pening kepala mencari kerja dan akhirnya berjaya menduduki satu kerjaya yang bergaji lumayan serta mampu beli kenderaan yang baik. Usaha ini memakan masa berbelas tahun! Dalam hal ini, tidak pula dia duduk saja di rumah dan berkata : “Apa yang Tuhan berikan/tentukan untuk aku sudah tentu yang terbaik. Tak perlu aku berusaha keras mencarinya.” Kan pelik?

Untuk MENCARI KERJAYA YANG DIPANDANG ELOK oleh orang ramai, wang gaji dan harta dunia... dia sanggup berusaha keras berbelas tahun. Untuk menemukan jodoh?

“Barangsiapa yang mempunyai KELUASAN REZEKI hendaklah berkahwin”. (Ibnu Majah)

"Barangsiapa yang MAMPU UNTUK BERKAHWIN, tetapi dia tidak (berusaha mencari jalan untuk) berkahwin, maka bukanlah dia dari golonganku". (Baihaqi)

Menolak usaha seperti ini silap-silap boleh berkait soal aqidah, kerana i’tiqad Ahli Sunnah wal Jamaah ialah tidak MENIDAKKAN USAHA. Bergantung penuh kepada TAKDIR tanpa usaha keras untuk mencapai sesuatu dengan alasan “apa yang Tuhan tentukan/beri kepada kita adalah yang terbaik... BUKAN AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH. Silap-silap boleh masuk dalam fahaman Jabbariyyah yang sesat. Oleh itu, berawas! Persoalan aqidah bukan perkara main-main. Rosak aqidah, rosaklah seluruh keagamaan kita. Carilah kuliah-kuliah aqidah, bergurulah dengan orang-orang yang berahlian dalam soal aqidah ini, nescaya faham kedudukannya.

Saya pernah kuliahkan hal ini. SECARA RINGKASNYA, apa yang Tuhan berikan kepada Iblis, Firaun, seorang sahabat Nabi yang berpindah ke agama Nasrani, Haman, Abu Jahal dan lain-lain itu... apakah itu yang terbaik untuk mereka? Ataupun sebenarnya usaha dan ikhtiar mereka sendiri (yang diberikan oleh Tuhan) yang membuatkan nasib mereka begitu? Fikir-fikirkan...

(* Bahagian ini panjang huraiannya dan agak berbelit sebelum sampai kepada kesimpulannya. Maka tidaklah saya mahu memanjangkannya di sini. Kena hadir kuliah beberapa kali baru boleh faham sepenuhnya. Mohon maaf.)

Hendak tahu mengapa wanita ini seolah-olah tidak mahu berkahwin langsung? SEBAB UTAMAnya (ada beberapa SEBAB SAMPINGAN yang lain) ialah dia khuatir kalau-kalau mendapat suami yang tidak baik DAN WANGNYA AKAN BANYAK MENGALIR KEPADA SI SUAMI. Maklumlah zaman sekarang, lelaki ramai tetapi yang baiknya kurang. Wanita pun begitu juga.

Renungkanlah lama-lama, atas dasar wang ringgit dan harta benda, wanita ini dengan mudah-mudah MENOLAK ANTARA SUNNAH PALING UTAMA (iaitu perkahwinan), yang diperjuangkan secara begitu gigih oleh para nabi, Rasulullah dan para sahabat! Macam mana boleh mendakwa diri mencintai Nabi? Bercakap dan menulis tentang agama bukan main lagi, tapi betulkah diri sudah mencapai tahap MENCINTAI NABI?

Pernah Abu Razin Al ‘Uqaili bertanya: “Wahai Rasulullah. Apakah iman itu?”

Rasulullah SAW menjawab: “(Iman itu ialah) Allah dan Rasul-Nya LEBIH KAMU CINTAI DARIPADA yang lain.” (Ahmad)

“TIDAK BERIMAN seorang dari kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya LEBIH DICINTAINYA daripada yang lain-lain.”

(Bukhari & Muslim)

“TIDAK BERIMAN seorang hamba sebelum aku (Rasulullah) LEBIH DICINTAI daripada isterinya, hartanya dan sekelian manusia.” (Bukhari & Muslim)

“Cintailah Allah kerana Dia memberi kamu makanan daripada nikmat. Dan cintailah aku kerana Allah mencintai aku.”

(Tirmizi)

Dan kita sedia maklum, salah satu elemen penting sebagai bukti mencitai Nabi ialah dengan MENCINTAI SUNNAH-SUNNAHNYA. Kita juga sedia maklum, berkahwin ialah antara SUNNAH UTAMA yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw. Benarkah kita sudah ataupun ke arah mencintai Nabi?

Alhamdulillah syukur, wanita ini juga akhirnya mendirikan rumahtangga. Agaknya dia sudah sedar betapa jauh bezanya antara seorang muslimah yang berkahwin dengan yang tidak berkahwin di sisi Allah SWT... wang ringgit, kerjaya dan harta benda bukan tandingannya. Berkemungkinan juga dia berubah hati ke arah yang lebih baik setelah membaca tulisan saya di internet sebelum itu.

WaAllahua’lam.

“Ya Allah Tuhanku. Anugerahilah (agar) aku mencintai Engkau, MENCINTAI ORANG YANG MENCINTAI ENGKAU (terutamanya Rasulullah) dan mencintai apa (jua) yang mendekatkan aku kepada mencintai Engkau.” (Abu Naim


KES KETIGA

Saya tidak terlibat dengan kes ini, sekadar dengar-dengar cerita. Ada wanita yang sudah stabil dengan kerjayanya sengaja tidak mahu berkahwin. Antara alasannya, dengan bersendirian begitu dirinya lebih bermanfaat kepada umat (melalui kerja-kerja dakwah, peranan dan kerjayanya), yang secara tidak langsung akan mencerahkan peluang dirinya menuju redha dan syurga Allah.

Benarkah begitu?

Apa kata Rasulullah saw?

“Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan (aurat dan maruah) dan TAAT KEPADA SUAMI, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Ahmad)

"Apabila seorang isteri mengerjakan solat lima waktu, mengerjakan puasa sebulan (Ramadhan), memelihara kehormatannya (aurat dan maruah) serta MENTAATI SUAMINYA, nescaya dia akan masuk syurga". ( al-Bazzar)

Alangkah beruntungnya jadi wanita! Alangkah cerahnya peluang wanita untuk ke syurga! Hanya 4 perkara utama yang perlu diselesaikan oleh wanita (berbanding pelbagai tanggungjawab lelaki yang berlambak) untuk menuju redha dan syurga Allah!

Sengaja tidak mahu berkahwin? Terlepaslah peluang untuk mendapatkan syarat terakhir daripada 4 syarat tiket perjalanan segera ke syurga iaitu TAAT KEPADA SUAMI. Mengejar kerjaya berbelas tahun sejak di bangku sekolah kita sanggup, mengejar syurga?


RIWAYAT-RIWAYAT TENTANG PERKAHWINAN

Dikatakan Sufyan bin Uyainah berkata: “Memperbanyakkan isteri bukanlah dari perkara dunia yang sia-sia kerana Saidina Ali r.a. merupakan seorang sahabat yang paling zuhud, mempunyai 4 orang isteri dan 17 orang jariah. Perkahwinan merupakan jalan para anbia’ dan akhlak mereka. “

Dikatakan Imam Ahmad bin Hanbal r.a. berkahwin pada hari kedua kematian isterinya. Katanya: “Aku tidak suka bermalam dalam keadaan bujang.”

Dikatakan Saidina Ali berkahwin selepas tujuh malam kematian isterinya Saiyidah Fatimah (anak Rasulullah).

Dikatakan Abdullah bin Masud pernah berkata:
“Seandainya umurku hanya tinggal 10 hari sahaja untuk aku hidup, nescaya yang kusukai ialah berkahwin, supaya aku tidak menemui Allah s.w.t. (mati) dalam keadaan aku bujang.

Dikatakan dua orang isteri Saiyidina Muaz meninggal dunia akibat penyakit taun. Muaz yang ketika itu turut terkena penyakit taun berkata: “Kahwinkanlah aku. Aku tidak suka menemui Allah s.w.t. (mati) dalam keadaan aku bujang.”

Riwayat-riwayat ini menunjukkan betapa beratnya perhatian mereka akan perkahwinan. Ulama pewaris para nabi. Apakah kita mencontohi para ulama?


KES-KES TERPENCIL

Yah, memang ada kes-kes terpencil yang membuatkan seseorang wanita itu dibolehkan tidak berusaha untuk berkahwin. Ada kerana masalah kesihatan, ada kerana masalah gangguan jin dan sihir, ada yang terlibat dalam bidang perisikan tertentu, kerana kemudaratan-kemudaratan tertentu dan lain-lain. Namun begitu, jangan jadikan hal-hal di atas sebagai alasan untuk anda tidak mahu berusaha keras ke arah perkahwinan kerana kes-kes yang dicontohkan ini bukan bersifat umum. Maksudnya masalah yang sedang dihadapi itu benar-benar BERAT.



KESIMPULANNYA

Berusaha gigihlah untuk mendirikan rumahtangga. Selepas berusaha sekian lama dan masih juga belum berjaya, ketika itu barulah boleh dikatakan “MUNGKIN belum ada jodoh” dan bukannya dikatakan “DAH TAK ADA JODOH... apa nak buat.” Jodoh kita dalam kekuasaanTuhan’, jangan kita melampaui ilmu Tuhan dengan mengesahkan yang kita “dah tak ada jodoh”. Dari mana kita tahu yang kita ‘confirm’ tak ada jodoh di dunia ini?

Tidak mustahil esok pagi sampai jodoh kita walaupun kita sudah tua. Tidak mustahil : )

Yang penting... doa dan usaha. Jangan doa sahaja tanpa usaha.


Abu Zulfiqar

1 Disember 2010

# “Bagaimana jika berkahwin nanti saya dapat suami yang tidak baik dan rumahtangga saya tidak bahagia?”

Insyaallah artikel yang menghuraikan persoalan ini akan saya usahakan, tapi... tak tahulah bila hendak dimulakan dan bila hendak disiapkan : ) Minggu depan? Bulan depan? Tahun depan? WaAllahua’lam.



PENTING!


Yang dipandang negatif oleh agama (sebagaimana juga isi kandungan artikel ini) HANYALAH DUA GOLONGAN wanita yang tidak berkahwin sahaja, berbanding pelbagai golongan wanita tidak berkahwin. 2 GOLONGAN yang dimaksudkan dalam artikel ini ialah:


1. golongan yang mampu dan layak berkahwin, tetapi sengaja tidak mahu berkahwin (menolak perkahwinan)

2. golongan yang berserah kepada takdir tanpa berusaha untuk berkahwin.


Golongan-golongan (wanita yang tidak berkahwin) yang lain tidaklah termasuk. Harap tidak ada salah faham.



14 comments:

~* Raudhotuz Zahra *~ said...

jodoh dan pertemuan adalah urusan Allah.. manusia hanya sekadar mampu berusaha dan berdoa.. usaha ada macam2.. datang hasilnya mungkin cepat atau lambat.. tibanya adalah tepat mengikut hitungan Tuhan.. wallahu'alam

naurah alwani said...

Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah, saya ketemu blog ini.
di kala saya menaip di goggle 'tidak mahu berkahwin'. dan terjumpa blog ini.
sejak akhir2 ini trlintas di hati & fikiran saya tentang 'tidak mahu berkahwin'. rentetan daripada kekecewaan saya. (saya mengharapkan org lain, tapi orang lain yg sentiasa memburu cinta saya, hinggakan saya berkata pada diri, daripada saya terima si polan sipolan itu sbg suami saya lebih baik saya tak berkahwin sampai tua. dan saya malas utk fikir hal jodoh lagi.
umur saya 25, dan saya berharap dapat berkahwin pada tahun ini, sedangkan saya juga tidak berusaha ke arah itu. sebagai perempuan pastinya saya ada perasaan malu utk menjadi perigi yang mencari timba. kerana itu saya pasrah, menunggu dan berserah.
membaca blog ini buat saya berfikir dan muhasabah diri sendiri. t.kasih atas pencerahan yang diberikan.

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

RAUDHOTUZ ZAHRA ... Memang benar apa yang diperkatakan tu. Yang penting, kita sebagai makhluk berusaha. Hasilnya kita serahkan kepada Tuhan. Ada hasil atau tidak, dalam ilmuNya.

Terima kasih atas komen yang diberi.

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

NAURAH ALWANI... Semoga Allah mudahkan segala urusan anda, dan akan cepat beroleh jodoh yang soleh, dan seterusnya melahirkan pejuang-pejuang baru untuk agama Allah. Amin.

Anonymous said...

saya sudah hampir 26 tahun. dah ada calon tapi lelaki itu taku untuk meminang... coz.. (citernya begini) semasa saya masih belajar d U saya ngan dia hnya kawan biasa. then tamat belajar, dia luah perasaan kat dia. then saya cakap kat dia, saya x mahu bercinta, kalau mahukan saya pergilah jumpa bapa saya. dia pun pergilah tetapi ditolak hanya kerana dia orang jauh (orang kelantan).. then dia mahu mencuba lagi..kali kedua pun ditolak juga. saya sedih la juga sebab saya kenal dia dah lama. kami masih berhubung lagi tetapi dia takut untuk berjumpa bapa saya buat kali ketiga. soalan saya, apa usaha bagi orang perempuan ni dari sudut islam? dan tindakan saya yang sewajarnya?

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

Jika ibu bapa tidak setuju dan sudah menolak pinangannya dua kali, memang susah juga hendak dijayakan. Antara langkah yang boleh anda usahakan:

1. Sekiranya anda memang mahu dia menjadi suami anda, maklumkan kepada ibu bapa yang anda memang suka orang itu menjadi suami anda. Mungkin selama ini ibu bapa anda tidak tahu yang anda setuju/ suka. Dengan cara ini mungkin ibu bapa anda akan bersetuju.

2. Jika anda berharap ada orang lain selain dia masuk meminang, antara caranya ialah anda war-warkan kepada rakan2 wanita anda yang anda sudah bersedia hendak berkahwin. Biasanya rakan-rakan anda akan sampai-menyampai dan boleh jadi ada ibu bapa,saudara atau kenalan mereka yang berminat untuk menjadikan anda isteri. Mungkin ada yang orang dekat yang akan diterima oleh ibu bapa anda.

3. Cara lain, tidak salah jika anda minta ibu bapa anda tolong carikan bakal suami. Jelaskan ciri-ciri suami yang anda mahukan. Tentulah tak semua ciri yang dikehendaki dapat dipenuhi, tapi sekurang2nya ada juga ebberapa ciri yang melekat nanti.

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Sekadar pandangan saya. Mungkin kes-kes yang diceritakan itu melibatkan wanita-wanita yang ada masalah peribadi sehingga tidak mahu berkahwin, cth pernah didera atau mungkin dah disahkan mandul dan tidak boleh beranak, dan dalam kes itu macamana? adakah makruh/haramkah berkahwin kerana jika kahwin pun tidak ada zuriat dan mungkin lebih membawa mudharat kepada keluarga dll? minta pandangan

inaara cahaya said...

Baru jumpa blog saudara terus terpanggil untuk menulis komen. Umur saya beberapa tahun lagi masuk 50,belum berkahwin, kerjaya profesional. Saya punyai ramai kawan yang umur lanjut tetapi belum bertemu jodoh. Tiada seorang pun dari mereka yang sengaja tidak mahu berkahwin. Ada yang tidak cantik (mengikut ukuran manusia) seperti saya, ada yang cantik. Kami sering berbincang tentang kemungkinan sebab-sebab kami tidak bertemu jodoh. Kebanyakan kami berpendapat bahawa kami tidak menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh lelaki Melayu Islam. Sebab yang lain mungkin ketiadaan saudara kaum keluarga yang mengambil berat dan cuba membantu golongan seperti kami mendapatkan jodoh. Untuk meminang lelaki yang disukai bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Adat itu tidak wujud dalam budaya orang Melayu dan bila kita lakukan sesuatu yang diluar budaya, saya rasa saudara boleh fahami kut akibatnya. Tiada seorang pun di antara kami mempunyai kekuatan jiwa/mental yang cukup untuk melakukan perkara seperti itu.
Jadi, terus-terusanlah kami seperti begini; beraksi seolah status andartu tidak memberi kesan sedikit pun kepada hati dan perasaan kami dan hanya berani merintih kepada mereka yang senasib kerana takut/malu diketawakan oleh mereka yang lebih bernasib baik.

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

Terima kasih kerana berziarah dan sudi meninggalkan komen.

Alhamdulillah, syukur. Umur anda dipanjangkan Tuhan sehingga kini sudah mencecah separuh abad, dan mempunyai kerjaya yang bagus pula. Ramai orang di sekeliling kita yang meninggal dunia dalam usia muda, dan ramai juga yang tidak berpeluang mendapat pekerjaan yang bagus. Alhamdulillah.

Tidak sengaja untuk tidak berkahwin bermaksud mereka memang mahu berkahwin dan terus berusaha, tetapi masih belum ada jodoh. Tidak mengapa, kata orang, Tuhan lebih memandang usaha dan doa berbanding hasil. Semuanya berada dalam ketentuan-Nya.

Dengan usaha dan doa, insyaAllah jodoh akan datang walaupun kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang cantik. Kan biasa kita lihat si suami kacak tapi isterinya tidak cantik. Ada juga yang isterinya cantik tetapi suaminya tidak kacak. Jangan berasa rendah diri kerana rupa paras kita. Kecantikan hanya bonus, bukan cirri utama yang dicari oleh lelaki yang soleh.

Tentang ciri-ciri yang dikehendaki oleh lelaki Melayu Islam, saya tidak ada maklumat yang jelas tentangnya. Jadi bahagian ini tidaklah saya ulas panjang. Tapi jangan pula berputus asa, kerana setiap manusia itu punya kesukaan yang berbeza-beza. Mana mungkin semua lelaki Melayu Islam mahukan ciri-ciri yang sama pada seseorang wanita. Lain orang lain citarasanya.

Memang tidak patut kalau keluarga dan saudara-mara tidak peduli tentang jodoh kita, lebih-lebih lagi ahli waris seperti bapa, datuk, abang, adik lelaki dan lain-lain. Mereka bertanggungjawab menguruskan nikah kahwin ahli wanita mereka. Usaha kita dalam hal ini ialah cuba bawa berbincang dengan mereka. Boleh jadi mereka tidak tahu dan boleh jadi juga terlupa akan tanggungjawba mereka. Kita yang ingat ini tolonglah peringatkan mereka.

Tentang wanita meminang lelaki, istilah meminang itu mungkin kita tersalah faham sedikit. Meminang itu tidak semestinya pergi hantar rombongan ‘buka mulut’. Apabila seseorang wanita itu melahirkan hasratnya kepada seseorang lelaki sama ada secara terus ataupun melalui wakil sama ada orang, surat, SMS dan sebagainya, itu sudah dikira meminang. Contohnya, si wanita berkata kepada seorang lelaki : “Encik, saya bercadang untuk berumahtangga, tapi saya belum ada calon pasangan. Saya lihat encik orang yang sesuai. Mahukah encik berkahwin dengan saya?” Itu sudah dikira meminang.

Kalau dia bersetuju, kita berbincanglah dan uruskan mengikut adat yang dikehendaki.
Kalau dia tidak bersetuju, terus tutup kes. Tanyakan kepada orang lain pula.
Kalau dia perlukan masa untuk berfikir, berikan masa tapi janganlah terlalu lama.

Kesimpulannya, sama ada dapat berkahwin ataupun tidak di dunia ini, yang penting kita istiqamah berusaha dan berdoa. Hasilnya berada dalam urusan Tuhan, urusan kita ialah berusaha dan berdoa.

WaAllahua’lam.

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

Wlksm Anonymous,

Terima kasih kerana sudi memberikan pandangannya.
1. Memang benar, ada wanita yang tidak mahu berkahwin kerana ada masalah peribadi.
2. Sekiranya pernah didera, wanita jenis ini sebaiknya dibawa atau pergi sendiri mendapatkan khidmat nasihat/kaunseling dari orang-orang soleh. Dari situ si wanita akan dapat panduan lebih jelas untuk meneruskan kehidupannya sama ada lebih baik berkahwin ataupun lebih baik tidak berkahwin.
3. Matlamat perkahwinan yang utama bukanlah untuk mendapatkan zuriat, tetapi untuk membuktikan kecintaan kita kepada Allah SWT dengan cara melaksanakan apa yang Dia suka, dan untuk menyahut, mengamal dan mendakwahkan sunnah-sunnah Rasulullah saw. Permasalahan zuriat boleh diatasi dengan cara mengambil anak angkat (Rasulullah sendiri mengambil anak angkat), atau mengamalkan poligami (sebahagian isteri-isteri Rasulullah pun tidak melahirkan anak dengan Rasulullah) , atau memilih suami yang mandul juga, dan lain-lain.
4. Yang pentingnya, kena berusaha. Jangan mengambil keputusan ‘putus asa’ sedari awal. Jika sepanjang berusaha itu masih tidak berjaya, tidak mengapa.

WaAllahua’lam.

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

Wlksm Anonymous,

Terima kasih kerana sudi memberikan pandangannya.
1. Memang benar, ada wanita yang tidak mahu berkahwin kerana ada masalah peribadi.
2. Sekiranya pernah didera, wanita jenis ini sebaiknya dibawa atau pergi sendiri mendapatkan khidmat nasihat/kaunseling dari orang-orang soleh. Dari situ si wanita akan dapat panduan lebih jelas untuk meneruskan kehidupannya sama ada lebih baik berkahwin ataupun lebih baik tidak berkahwin.
3. Matlamat perkahwinan yang utama bukanlah untuk mendapatkan zuriat, tetapi untuk membuktikan kecintaan kita kepada Allah SWT dengan cara melaksanakan apa yang Dia suka, dan untuk menyahut, mengamal dan mendakwahkan sunnah-sunnah Rasulullah saw. Permasalahan zuriat boleh diatasi dengan cara mengambil anak angkat (Rasulullah sendiri mengambil anak angkat), atau mengamalkan poligami (sebahagian isteri-isteri Rasulullah pun tidak melahirkan anak dengan Rasulullah) , atau memilih suami yang mandul juga, dan lain-lain.
4. Yang pentingnya, kena berusaha. Jangan mengambil keputusan ‘putus asa’ sedari awal. Jika sepanjang berusaha itu masih tidak berjaya, tidak mengapa.

WaAllahua’lam.

Ana Suhaimi said...

as salam..
sy sukakan dia sj...sy suka sgt2 kt dia...sebelum ni mmg sy rs sy xnk kawin...tp sjk sy kenal dia n suka dia, sy rs nk kawin...dia la laki pertama yg wat sy rs yakin nk kawin...tp sy xnk org lain sy nk dia sj...sy dh luah persaan sy...tp sebelum tu pon dia mmg dh bgtao mak dia dh carikan jodoh utk dia....kitorg masih belajar lg....student u...skarg sy dh nk habis blajar....skarg dia dh mengelak contact dgn sy...mak dia pon mcm xnk contact ngn sy dh....sy dh try risik kt mak dia psl dia...n mak dia balas kata dlm masa terdekat ni in shaa Allah nk tunangkn dia...skarang usaha yg sy ada ialah berdoa ja...masih ada lg ke peluang sy nk dirikn rumah tgga ngn org yg sy cinta...sy xkisah pon kalau sebelum ni dia dh ada org yg dia suka, sbb sy cuma nk kawin dgn dia sj...apa yg sy perlu buat supaya dpt ambik ht mak dia n dia semula? sbb sy rs frust sgt n dh xnk suka mn2 laki dh...

Anonymous said...

http://shadiqahmujahidah.wordpress.com/2010/06/08/wanita-tidak-wajib-berkahwin/

Anonymous said...

Saya sukakan lelaki ini sudah 8 tahun, kami bercinta tapi sayang sesuatu terjadi disebabkan khilaf saya yang terlalu banyak walaupun saya cuba untuk memujuknya kembali. Dia mungkin akan kahwin dengan pilihan keluarganya atau orang lain tetapi yang pasti dia tidak akan memilih saya lagi.

Disebabkan itu, saya sudah tawar hati untuk menerima orang lain dan saya tidak kisah kalau tidak berkahwin. Mungkin bukan takdir saya untuk hidup berpasangan tetapi untuk menjaga keluarga saya sekarang memandangkan ayah saya sudah meninggal dunia, saya di antara yang sulung dan paling diharap dan masih mempunyai ramai adik yang kecil dan bersekolah. Jadi ini adalah takdir saya.

Saya menganggap cinta ni sesuatu yang istimewa. Saya tidak suka bertukar cinta. Walaupun dia bersama orang lain, walaupun dia sudah tidak mempunyai perasaan terhadap saya, tapi saya masih dengan perasaan ini. Saya pilih untuk setia walaupun tidak berbalas.

Ya, saya seorang yang menyedihkan dan saya sangat tetap dengan pendirian saya. Adakah saya salah dan berdosa. Saya tidak memandang rendah perkahwinan tetapi saya tidak mahu melepaskannya dan saya akan tetap berdoa dan berharap Allah mempertemukan kami jodoh kembali. Walaupun saya sudah berusia ataupun mungkin menjodohkan kami di syurga. Adakah salah saya pilih untuk setia. Apakah Allah tidak suka apa yang saya lakukan?