Tuesday, December 28, 2010

Ilmu & Dakwah Umpama Makan & Buang Air

Saya berpandangan... menuntut ilmu dan berdakwah itu seumpama makan dan buang air.

Sebagaimana pada setiap hari kita mesti makan, mesti ada benda masuk ke dalam tubuh jasmani kita, seperti itu jugalah pada setiap hari mesti ada ilmu yang masuk ke dalam tubuh rohani kita. Sehari tanpa makanan, kita tak tertahan. Seperti itulah sepatutnya kita usahakan... tak tertahan sekiranya sehari tanpa input ilmu, khususnya ilmu agama.

Banyak jenis makanan masuk ke perut kita, tetapi makanan ruji mesti ada. Jika rujinya beras, nasilah. Jika rujinya gandum, rotilah umpamanya. Jika rujinya jagung, jagunglah. Ilmu agama ialah makanan ruji kepada tubuh rohani kita. Kita tak sepatutnya berpuas hati sekiranya dalam sehari tiada ilmu-ilmu agama yang masuk, walaupun pelbagai 'makanan tidak ruji' lain sudah banyak yang masuk. Istiqamahlah dengan rutin sebegini.

Dakwah pula ibarat buang air. Ada sesiapa yang tidak buang air berupa air kecil, air besar ataupun berpeluh dalam sehari? Buang air ialah proses mengeluarkan sesuatu daripada dalam tubuh jasmani kita, dan ia mesti dilakukan pada setiap hari.

Semestinya dakwah begitu juga. Pada setiap hari hendaknya kita keluarkan sesuatu daripada diri rohani kita dan sebarkannya kepada orang lain, walaupun sekadar satu perkataan ataupun satu gerakan.

Pastinya kita tak sedap badan jika dalam sehari tidak makan dan buang air. Maka wajarlah berasa tak sedap badan (demam rohani) kalau sehari tanpa input ilmu dan output dakwah... mengikut kemampuan masing-masing.

"Ilmu dan dakwah itu umpama makan dan buang air, yang setiap hari ia mesti masuk ke dalam diri dan keluar daripada diri."


Abu Zulfiqar
28 Disember 2010
22 Muharram 1432

*Para sahabat yang berfaham Tajdid Segar mestilah mengusahakan perkara ini.

2 comments:

Anonymous said...

Maasya Allah .... anda mengajarkan saya akan fitrah Allah dalam memberi makan pada rohani.

Sejak akhir-akhir ini, ana selalu terfikir akan fitrah-fitrah allah dalam setiap penciptaan. Rohani manusia juga adalah penciptaan. Ia perlu berfungsi sebagaimana fitrah ciptaanNya. Fitrah mengisi ... perlu dibuang pula. Yang dibuang tu pula ... akan dikitarkan kembali. Maka jadilah ia suatu rantaian kitaran rohani sebagaimana fitrah kitaran makanan dalam ilmu sains.

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

Huraian yang menarik dari anonymous. terima kasih.