Sunday, October 11, 2026

Penampilan Diri Ikhwah Tarekat Ghazaliyah

 

Bagaimanakah penampilan diri yang zahir bagi seseorang pengamal Tariqah Ghazaliyah?

Tariqah Ghazaliyah tidak mempunyai sebarang perkara yang khusus atau ciri yang khas dari segi penampilan. Tidak disyaratkan jenis pakaian atau perhiasan tertentu seperti jenis serban, cara lilitan serban, bentuk kopiah, reka bentuk jubah, bertongkat tertentu, cincin tertentu, selendang tertentu, selempang, tasbih, warna tertentu atau sebagainya. Pakaian ikhwah TG ialah pakaian biasa sehari-hari, asalkan selari dengan aturan agama Islam serta mahmudah penampilannya. Sebegitulah pakaian Imam Al-Ghazali dan ikhwah Tariqah al-Ghazaliyah.

 

Para sahabat Rasulullah saw pun tidak ada pakaian khusus tertentu. Namun kita memang sangat digalakkan/ dianjurkan supaya membiasakan memakai kopiah, memakai serban dan jubah apabila berpeluang dan sesuai. Pakaian dan perhiasan yang kekasih kita Nabi Muhammad SAW biasa pakai, eloklah jika kita cuba merasai memakainya juga.

 

Sunnah yang besar2 kita usaha buat, sunnah yang kecil2 kita cuba buat, dan sunnah yang seni2 (estetik) pun kita cuba buat. Kita mencintai kesemua sunnah Rasulullah saw. Umumnya, kebiasaan Rasulullah SAW terhadap sesuatu mengisyaratkan keafdhalannya.

 

Rasulullah saw diutus untuk seluruh umat. Nabi2 terdahulu, selepas berkembangnya manusia ke merata bumi, umumnya mereka diutuskan untuk kelompok dan wilayah tertentu sahaja. Jadi, apa yang ada pada Rasulullah saw itu secara umumnya adalah untuk seluruh umat manusia sehingga ke Hari Kehancuran nanti. Itulah antara sebabnya tidak ada lagi rasul atau nabi yang diutus selepas baginda saw.

 

 

Petikan Majlis Penerangan, Pengijazahan & Bai’ah Tariqah Ghazaliyah (secara atas talian) bagi tahun 2026, 3 Oktober 2026

No comments: