Tuesday, April 27, 2021

Habib Ali Jufri, Memantau dan Mentajdid Tasawuf

 

Habib Ali al-Jufri dalam ucapannya yang menyentuh tentang mengkitabkan ilmu-ilmu kesufian berkata, "Hal ini pun memerlukan kepada tajdid. Kalian tahu bahawa ahli bidang (kesufian) ini (pada kurun pertama dan kedua) tidak pernah meletakkan ilmu-ilmu mereka di dalam kitab (kerana belum ada keperluan untuk berbuat demikian pada zaman itu)? Bahkan ia dipelajari daripada generasi kepada generasi, dari hati ke hati."


Sambungnya, "Tetapi Imam al-Qusyairi ketika mengarang "Risalah"nya (kitabnya Risalah al-Qusyairiyyah), beliau menyebut pada permulaannya, beliau mengakui bahawa (ilmu sufiyyah) ini asalnya di sisi ahlinya (tanpa dikarang) tetapi katanya beliau terpaksa mengarang (melakukan tajdid) ketika melihat ramainya mereka yang bersandar kepada ahli bidang ini dan munculnya mereka yang mendakwa sebagai ahli bidang ini (sedangkan mereka tidak berkemahiran dalam bidang sufiyyah ini). Maka beliau perlu mengarang supaya pembaca dapat mengenalpasti (membezakan antara) mereka yang benar daripada yang sekadar mendakwa bersandarkan kepadanya. Inilah tajdid yang berlaku pada zaman tersebut (iaitu) lebih kurang pada kurun ke-3 Hijrah. Buatlah perbandingan dengannya."


Katanya lagi, "Sepanjang masa (dari zaman ke zaman) terdapat tajdid (dalam kesufian). (Contohnya) munculnya pihak pemantau dalam sufiyyah (yang memantau kelemahan dan kerosakan yang berlaku dalam tasawuf sufi lalu berusaha melakukan pembaharuan/tajdid). Pemantau bagi sufiyyah(iaitu) Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali dalam ungkapannya mengenai mereka yang mendakwa, di dalam Ihya' 'Ulumuddin dan kitabnya yang lain. Beliau menyebut hal itu di dalam kitabnya Al Kasyf wa at-Tabyin an Ghurur al-Khalq Ajma'in."


Sambungnya lagi, "Muncul juga pemantau dalam hal ini iaitu al-Imam asy-Sya'rani di dalam kitabnya Tanbihul Mughtarin dan di dalam kitabnya al-'Uhudul Muhammadiyyah. Muncul juga pemantau daripada mereka melalui penulisan asy-Syaikh Ahmad Zarruq di dalam al-Qawa'id. Daripada ulama terkini yang memperbaharui pemantauan itu ialah guru kami al-muhaddith al-'allamah asy-Syaikh Muhammad Zakiyuddin Ibrahim yang berada di Mesir - pimpinan 'Asyirah Muhammadiyyah. Beliau mempunyai kitab untuk mengengkari mereka yang mereka-reka dalam perjalanan ulama-ulama terdahulu dalam beberapa hal tidak diterima oleh jalan ini."


Katanya lagi, "Sekarang kita memerlukan kepada pembaharuan/ tajdid. Kita memerlukan kepada pelbagai perbincangan dalam pembaharuan tersebut."

No comments: