Wednesday, July 24, 2019

Kelebihan Menyampaikan Ilmu Agama


Apa pula untungnya menyampaikan ilmu-ilmu agama?

Firman Allah swt : “Siapakah yang lebih baik kata-katanya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan dia melakukan amalan yang soleh?” (Al-Fussilat : 33)

Allah Taala berfirman : “Serulah ke jalan Rabb kamu dengan bijaksana dan pengajaran yang baik.” (An-Nahl : 125)

Antara hadis yang menerangkan tentang keutamaan menyampaikan ilmu ialah sabda Nabi saw kepada Mu’az ketika mahu diutusnya ke Yaman : “Dengan sebab engkau maka diberi petunjuk oleh Allah kepada seseorang, (hal itu) adalah lebih baik bagi engkau daripada dunia dan isinya.” (Ahmad)

Bersabda Nabi saw : “Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah amal perbuatannya selain daripada tiga perkara, (salah satunya ialah) ilmu yang dimanafaatkan.” (Muslim)

Kata Saiyidina Umar ra : “Sesiapa yang menceritakan suatu hadis lalu diamalkan orang, maka baginya pahala sama seperti pahala yang diperoleh oleh orang yang mengamalkannya.”

Kata sebahagian ulama : “Ulama itu lampu segala zaman. Masing-masing ulama itu menjadi lampu pada zamannya. Orang-orang sezaman denganya mendapat nur (cahaya) daripadanya.”

Kelebihan Menuntut Ilmu Agama


Apa untungnya kita menuntut ilmu-ilmu agama?

Sabda Nabi saw : “Sesiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, dianugerahkan oleh Allah kepadanya jalan ke jannah.” (Muslim)

Sabda Nabi saw : “Sesungguhnya malaikat membentangkan sayapnya kepada penuntut ilmu sebagai tanda redha dengan usahanya itu.” (Ahmad, Ibnu Hibban, Al-Hakim)

Kata Abu Darda’ : “Aku lebih suka mempelajari suatu masalah daripada mengerjakan solat satu malam.”

Kata Abu Darda’ : “Hendaklah engkau jadi orang yang berilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang mendengar ilmu. Dan janganlah engkau menjadi jenis yang keempat (iaitu tidak termasuk dalam tiga golongan tadi), maka binasalah engkau.”

Kata Imam Asy-Syafi’i : “Menuntut ilmu adalah lebih utama daripada melakukan ibadah sunat.”

Kata Abu Darda’ : Sesiapa yang berpendapat bahawa pergi menuntut ilmu itu bukan jihad,maka dia ialah orang yang kurang fikiran dan akal.”

Monday, July 22, 2019

Lafaz Zikir vs Ingat


Sekadar percontohan ....

Ada orang yang melafazkan "Laa Ilahaillallah" (sama ada di mulut atau di hati) 3000 kali dalam masa 1 jam. Tetapi dalam masa 1 jam itu qalbunya sekejap ingat (sekejap memandang) dan sekejap tidak ingat (tidak memandang) akan Allah. Dicampur semua masa yang qalbunya ingat akan Allah.... adalah 5 minit sahaja.

Orang kedua pula melafazkan "Laa Ilahaillallah" 10 kali sahaja ketika terbangun daripada tidur, tetapi dia berterusan ingat (memandang) akan Allah sejak lafaz pertama tadi sehinggalah dia pergi mandi, pakai baju, solat subuh dan sarapan. Dalam tempoh satu jam itu, hampir2 satu jam jugalah qalbunya sentiasa ingat akan Allah.

Jenis pertama, lafaznya (di mulut atau di hati) banyak, tetapi ingatnya (memandangnya) akan Allah itu sedikit.
Jenis kedua, lafaznya itu sedikit sahaja, tetapi ingatnya (memandangnya) akan Allah itu banyak.

Jenis kedua adalah lebih bagus daripada jenis pertama.

Utamakan kualiti, keduakan kuantiti. Kedua2nya perlu..


Sebab itulah dalam Tariqah Ghazaliyyah ini tidak ada lafaz zikir yang ribu-ribuan dalam sehari-hari. Begitulah jalan Al-Ghazaliyyah.

Abu Zulfiqar Al-Amsyari
1 Julai 2019