Dalam akhbar Harakah bilangan 1342 keluaran 1-15 September 2007, terdapat satu wawancara dengan Ustaz Nasruddin Tantawi (Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat). Antara perkara yang diperkatakan ialah tentang pemakaian serban. Kita ikuti petikan daripada temuramah tersebut.
SOALAN:
Ustaz selalu dilihat memakai serban, bila bermulanya memakai serban dan bagaimana serban itu sinonim dengan ustaz?
USTAZ NASRUDDIN:
Saya mula memakai serban sejak saya menuntut di Pondok Pasir Tumboh Kelantan. Saya melihat IANYA ADALAH SEBAHAGIAN DARI PAKAIAN RASULULLAH SAW.
Maka saya cuba praktiskan pemakaian serban ini dalam kehidupan saya kerana IA MENGINGATKAN SAYA dan MENIMBULKAN RASA KASIH YANG MENDALAM KEPADA RASULULLAH SAW selain dari MENGAMALKAN SUNAH BAGINDA yang lain.
Warna serban kegemaran saya ialah PUTIH dan HITAM. Di kala saya memakai SERBAN BERWARNA PUTIH, saya rasa diri saya sebagai seorang ustaz atau guru yang perlu menjaga kehormatan diri dan sahsiah. Ini cukup bermakna bagi saya agar konsisten dalam pembentukan peribadi yang mulia.
Apabila saya memakai SERBAN HITAM pula, saya rasa gagah dan perkasa untuk meneruskan kelangsungan perjuangan tanpa gentar lagi berhadapan musuh biar siapa pun mereka.
Laksana memakai pakaian perang dan ini penting untuk saya tabah dan sabar mengenderai perjuangan yang getir ini.
TAMAT.
ULASAN ABU ZULFIQAR
Petikan ini bagaikan magnet menarik perhatian saya kerana apa yang diperkatakan oleh Ustaz Nasruddin umumnya sama dengan pandangan saya. Saya membiasakan memakai serban (bukan sentiasa berserban) jika ada kesempatan dan sesuai dengan keadaan. Ada ketika saya berkopiah sahaja, ada ketika saya bertopi dan ada ketika tidak menutup kepala dengan apa-apa.
Saya mula berserban pada usia dua puluh empat tahun. Sebelum itu saya memang sudah terdedah dengan jemaah Darul Arqam, jemaah Tabligh dan pelajar-pelajar pondok tetapi hati tidak terbuka untuk berserban lagi. Ketika itu baru bekerja dan tinggal di tempat orang. Di kampung itu memang tidak ada orang yang berserban kecuali seorang pakcik tua. Orangnya warak dan mulutnya boleh dikatakan tidak berhenti-henti berzikir jika tidak makan minum, tidur ataupun bercakap. Kenderaannya sebuah basikal tua. Kurus tinggi orangnya dan berkulit putih. Setahu saya dia tidaklah bergiat dengan apa-apa jemaah, wallahualam. Saya pula seorang yang berat mulut, lebih suka berfikir daripada bersembang. Sebab itulah saya tidak berkesempatan kenal lebih rapat dengan si pakcik hinggalah ke akhir hayatnya.
Secara tiba-tiba saya terasa teringin sangat hendak berserban dan berjubah. Sehelai demi sehelai jubah dan kemudiannya serban dibeli. Saya tidak kisah apa kata masyarakat sekeliling. Yang pasti pemakaian begitu mempercepatkan proses mentarbiah hati nurani saya. Biarlah ia menjadi bahan cakapan orang ramai.
Serban pertama berwarna putih, kain licin dan panjangnya tujuh hasta. Khabarnya serban Rasulullah yang terpanjang ialah tujuh hasta dan yang terpendek dua hasta (wallahualam)- hendak ikut sunnahlah kononnya. Serban kedua berwarna hitam, kain licin sepanjang lima hasta. Seterusnya serban biasa bercorak warna merah tua, serban al-Maunah (merah putih), serban coklat, serban corak berwarna coklat putih, serban biru dan serban hitam kain kasar (sebenarnya selendang perempuan)- entah yang mana dulu saya pun sudah lupa.
Saya sangat meminati serban Darul Arqam ketika itu tetapi gagal mendapatkannya di mana-mana berikutan pengharaman Darul Arqam sedang di kemuncaknya. Khabarnya hanya jemaah Darul Arqam yang menjual serban jenis itu yang dibawa dari luar negara, kalau tidak salah dari Syria ataupun Jordan. Ketika itu saya melihat corak yang ada pada serban Darul Arqam seolah-olah melambangkan nilai-nilai kemelayuan.
Mengapa saya mula berserban?
Pertamanya kerana gerak daripada Allah hasil istikharah yang saya lakukan.
Keduanya kerana saya rasa yakin ‘membiasakan’ memakai serban itu satu sunnah. Mempertahankan satu sunnah di kala orang lain tidak berminat mempertahankannya akan mendapat ganjaran seratus pahala syahid. Ewahhh!
Ketiganya (sepatutnya yang ini kedua) apabila berserban saya terasa sangat rapatnya kasih sayang saya dengan Rasulullah, entahlah mengapa. Seandainyalah memakai serban ini tidak mendapat apa-apa ganjaran daripada Allah pun, pasti akan saya selalu memakainya juga kerana ia membuatkan saya berasa sentimental dengan kekasih saya- Rasulullah SAW. Saya juga akan terasa betapa besarnya kerja-kerja Rasulullah dulu yang diwariskan kepada kita dan kini menghempap di atas kepala saya. Pahala bukanlah matlamat utama kerana rasa sedap berserban mencontohi Rasulullah adalah lebih sedap daripada berserban kerana mendapat seratus pahala syahid. Itu yang saya rasa.
Yang keempatnya tentulah untuk lebih memelihara diri dan melonjakkan proses mentajdid roh saya yang memang banyak rosak.
Sungguhpun jemaah terakhir yang saya anggotai (hingga kini) tidak menjadikan serban sebagai salah satu perjuangan mereka, itu tidak menjadi masalah. Ketika melibatkan diri dengan program jemaah, saya berkopiah sahaja. Jika ada urusan sendiri, saya berserban kalau mahu. Amal jemai’e mesti dijaga dan pimpinan mesti diakur- itu prinsip saya. Lagipun, akan nampak peliklah sekiranya saya seorang saja yang berserban. Apatah lagi majoriti mereka merupakan lulusan dari Timur Tengah sedangkan saya orang biasa saja. Nampak lebih-lebih pulak orang biasa berbanding lulusan Timur Tengah. : )
Anda takut berserban? Takut berserban kerana khuatir tidak akan mendapat jodoh? Khuatir orang perempuan tak mahu? Khuatir kerana wanita-wanita cantik yang ada hari ini majoritinya tidak minat lelaki muda berserban? Takut bakal pak mertua ibu mertua tak terima pinangan?
Jika itu pandangan anda, terpulanglah. Boleh jadi anda betul. Tapi berdasarkan pengalaman saya, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ye lah… lain orang lain rezekinya, kan? : )
Ketika mula berserban, saya pun beranggapan begitu. Oleh kerana saya bukan jenis ‘berpasangan’ seperti muda-mudi lain, maka tidaklah saya kisahkan hal tersebut. ‘No women no cry’ kononnya saya zaman itu… hi hi. Kebetulan semangat untuk pergi berjihad (ke Kashmir) mula naik sedikit demi sedikit, ketika itu saya kuranglah fikir sangat ‘takut tak dapat jodoh dan tak sempat kahwin’. Tak ada jodoh pun tak kisah. Jadi kepercayaan yang diperkatakan tadi tidaklah menjadi penghalang kepada saya untuk selalu berserban.
Namun kuasa Allah siapa yang dapat menduga. Wanita-wanita yang pernah tertarik dengan saya menjadi lebih terpaut hati mereka apabila mereka terjumpa saya berserban. Yang belum terpikat pun ada yang jadi terpikat. Pakcik makcik di sekeliling pun ada yang membuat tawaran untuk anak-anak buah mereka walaupun mereka bukan jenis yang minat dengan serban dan tidak ke arah keagamaan pun. “Pelik betul! Aku ingat apabila aku mula pakai serban orang akan cabut lari, rupa-rupanya makin dok rapat pulak! Besarnya kuasa Tuhan…!”
Dan yang paling penting… ini yang saya nak kongsi sangat dengan sahabat-sahabat yang belum berumahtangga...
Wanita-wanita yang jauh dari agama boleh dikatakan hampir kesemuanya (99%) tidak terfikir untuk mengambil lelaki berserban sebagai suami mereka. Betul tak? Betul! Ini kenyataan! Mereka mengimpikan lelaki yang secorak dengan mereka juga.
Jadi, siapa yang sanggup mengambil lelaki berserban sebagai pasangan hidup? Siapa menurut pandangan anda? …
Tidak lain hanyalah mereka yang sanggup mengikut telunjuk agama! Jenis ini mudah untuk akur dengan agama sekalipun dunia sekelilingnya menolak. Dia sanggup mengambil risiko rugi keduniaan dalam mencari agama.
Bukankah jenis ini yang kita cari? Bukankah jenis ini yang kita impikan sebagai penghulu-penghulu bidadari kita di syurga nanti?
Apabila kita mula berserban, automatik wujud satu TENAGA PENAPIS YANG HEBAT, yang menapis dan menolak keluar wanita-wanita yang tidak ada hati untuk hidup dalam suasana keagamaan daripada mendekati kita. Dengan rela hati mereka meenjauhkan diri.
HASILNYA, yang masih menunjukkan minat terhadap kita semuanya jenis yang sanggup akur dengan agama ataupun yang mahu berubah ke arah hidup keagamaan sahaja. Apa macam? Untung tak? : )
Kita kiaskan dengan wanita pula. Sebahagian wanita menyangkakan dengan menyimpan aurat seperti bertudung, bertudung labuh, berjubah, berpurdah, berbicara sopan-santun ataupun memakai pakaian yang kurang warna dan corak akan menipiskan peluang mereka mendapat pasangan. Sebab itu ada pelajar aliran agama sendiri yang pakaiannya terikut-ikut pakaian wanita-wanita di jalanan. Berpakaian menyimpan aurat (dengan sempurna) dianggap menutup terus perhatian para lelaki.
Keluar dari isu utama sebentar… ahli-ahli ilmu hakikat memang kecewa benar dengan perlakuan di atas. Hal ini menunjukkan betapa lemahnya pemahaman kebanyakan manusia hari ini kerana menyangkakan kuasa untuk menarik dan mendapat pilihan pasangan terbaik ada pada diri mereka. Padahal kuasa untuk menarik dan mendapat pasangan terbaik ada pada Allah sahaja.
‘Siapa yang berkuasa untuk menarik perhatian lelaki ataupun keluarga lelaki kepada anda? Anda ataupun Tuhan?”
Sambung semula…
Semua wanita mahukan pasangan terbaik. Wanita-wanita yang berfahaman agama ataupun yang mahu mengubah diri ke arah berfahaman agama tentulah lebih lagi mahukan pasangan yang terbaik buat mereka dari sudut agamanya. Sekiranya anda menyimpan aurat sebagaimana yang disebutkan tadi, secara automatik anda telahpun menapis keluar lelaki-lelaki yang tidak anda harapkan untuk menjadi suami anda. Yang melepasi tapisan tentu saja mereka yang memang berfahaman agama ataupun sekurang-kurangnya yang mahu ke arah agama. Akhirnya walau siapapun yang anda pilih daripada mereka yang masih tertinggal ini, risiko anda untuk mendapat suami yang tidak diharapkan menjadi lebih rendah. Peluang anda untuk mendapat suami yang menghampiri ciri-ciri ‘suami impian’ semakin cerah.
Ketika memakai serban putih, saya rasa terdorong untuk mengekal bahkan menambahkan kesucian jasmani, rohani dan roh. Ketika mengenakan serban hitam pula saya rasa terdorong untuk berasa berani dan gagah seolah-olah seorang pahlawan. Serban biru saya pula mendorong saya untuk berkelakuan lebih lemah-lembut, bertolak-ansur, sabar dan tenang. Serban-serban lain kurang saya rasa apa-apa seperti serban putih, hitam dan biru. Memakai serban ketika berhadapan dengan jin-jin yang mengganggu memang memberikan kekuatan dan keyakinan bonus kepada saya. Berdasarkan pengalaman saya juga, jin-jin yang mengganggu cukup benci dengan orang berserban. Kebencian dan penghinaannya dinyatakan secara terang-terangan melalui mulut orang yang sedang mereka rasuki. Jadi, janganlah kita ikut perangai jin ye. Kalau tak teringin hendak memakai pun, janganlah dikata kepada yang yang memakai, raikan saja. : )
Wallahualam.
Abu Zulfiqar Amsyari @ Alexanderwathern
30-31 OGOS 2007
‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’
‘BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD’
Bersama Dakwah Tajdid Segar…
*Tips 'MENAPIS CALON' dalam tulisan ini hanya relevan dalam suasana Malaysia sahaja. Jika anda berserban di tempat lain seperti di beberapa bahagian negara Afghanistan, tapisan tersebut tidak akan berfungsi kerana semua orang di sana berserban termasuklah penyamun dan para penjenayah lain. Jadi sementara masih relevan ni, bolehlah dipraktikkan. : )
2 comments:
ustaz,keep up a good work.!
wassalam
Salam ana nak beli serban arqam ni. Dimana nak beli?
Post a Comment