Tuesday, October 6, 2009
Lilitan Serban Pilihanku
"Kenapa pakai serban cara macam ni, bukan cara yang lain-lain?"
Begitulah lebih kurang bentuk soalan yang biasa dilahirkan. Sebenarnya, ketika saya mula-mula berserban 11 tahun dahulu, saya suka mengenakan seakan-akan cara sebahagian orang Sudan (tidaklah sama 100%). Setahu saya, cara berserban mereka adalah antara yang paling hampir dengan cara serban Rasulullah saw yang kita cintai.
Untuk mendapatkan lilitan yang lebih kurang begitu, panjang serban yang sesuai ialah 7 hasta. Diberitakan serban Rasulullah yang panjang pun ukurannya 7 hasta. Filem 'The Message' dan Wali Songo mungkin boleh memberikan kita sedikit gambaran tentang serban Rasulullah dan para sahabat pada zaman mereka.
Timbul sedikit masalah kerana cara lilitan serban mereka memang khusus untuk bergerak di padang pasir. Biasanya telinga ditutup dan ekor serban panjang hingga ke punggung. Ekor yang panjang itu akan dililit di muka dan leher sebagai pelindung daripada panas dan pasir, juga sewaktu tidak mahu diri dikenali. Jika tidak menutup muka, ia dibiarkan melilit dada lalu dilabuhkan hujungnya ke belakang. Telinga juga ditutup untuk mengelakkan debu-debu berterbangan yang ditiup angin kencang.
Cara begitu tentunya mendatangkan sedikit masalah untuk kita bergerak di alam Melayu ini. Orang pelik melihat telinga kita bertutup, bahkan ada yang menyamakan serban kita dengan serban kaun sikh. Mereka juga memerhati lama kerana ganjil melihat sebahagian ekor serban terselepang di depan dada. Ekor yang terlalu panjang juga kurang baik untuk keselamatan diri kerana ia boleh dimanfaatkan oleh musuh-musuh kita. Al maklumlah, orang Melayu ni banyak yang tahu bersilat. Oleh itu saya memohon gerak daripada Allah untuk mendapatkan cara lilitan serban yang paling relevan untuk diri saya.
Alhamdulillah syukur, Tuhan 'tunjukkan' saya. Itulah cara lilitan yang selalu saya guna hingga ke hari ini. Cara ini ada persamaan dengan serban Syeikh Nuruddin al-Banjari dan serban Darul Arqam.
Mengapa ia paling sesuai untuk saya?
Pertama- lilitannya mudah dan ringkas.
Kedua- rupanya menarik, tidak terlalu kecil dan tidak terlalu tebal. Sesuai untuk semua jenis pakaian sama ada tradisional mahupun yang moden.
Ketiga- lilitannya kemas dan kuat. Sesuai untuk pelbagai aktiviti bersilat, menunggang kuda, berlari, mendaki bukit, melakukan kerja-kerja buruh dan sebagainya. Boleh berguling-guling di tanah, malah jika lilitannya kuat, terjun buyung ke dalam air pun masih berada di kepala dalam keadaan yang kemas. Ringkas cakap- sesuai untuk berjihad di muka bumi alam Melayu yang sempit dan berhutan tebal. Pada saya, ia sesuai untuk banyak keadaan.
Sungguhpun ia menjadi pilihan utama, sesekali saya mengubat rindu juga dengan mengenakan cara Rasulullah, dan juga cara lilitan jemaah Tabligh untuk serban-serban yang pendek.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
assalam tuan,
boleh kongsi di mana nak dapatkan kain serban sepanjang 7 hasta?
assalamualaikum , sedap baca kisah dari antum , herm jika berminat pakai serban terus link dari ustaz hasnul diwani , apa perkembangan serban dari turky , ana sudah pesan , sebelu 30 hb n sampai insyallah
Post a Comment