Monday, June 2, 2008

Apa Itu 'Saka'?

*Berikut adalah salah satu persoalan yang saya jawab di internet.

SOALAN:
Apakah sebenarnya saka. Tanda-tandanya. Adakah orang yang ada saka boleh memberi kesan kepada rumah atau orang yang diziarahinya. Bagaimana merawat masalah ini?


PANDANGAN SAYA:


APA ITU SAKA?

Ringkasnya ‘saka’ adalah jin atau jin-jin yang diwarisi daripada seorang manusia kepada seorang manusia lain sama ada secara disedari atau tidak, biasanya melibatkan keturunan.

Sebenarnya, apa saja jin/ jin-jin yang diwarisi adalah saka tidak kira jin keturunan, segala hantu-hantu seperti hantu raya, jin silat, jin tariqat, jin perubatan/ perbomohan, jin nenek moyang dan sebagainya.

Namun bagi masyarakat Melayu, ‘saka’ lebih difahami sebagai jin/ nenek moyang yang turun daripada orang tua (datuk, nenek, bapa, bapa saudara dll) kepada orang yang lebih muda yang ada pertalian darah dengannya (seperti anak, cucu, anak saudara dsb).

Dan lebih khusus lagi ia disebut ‘saka’ apabila jin itu mengganggu anak cucu kerana ada perkara-perkara tertentu yang sepatutnya berlaku tetapi tidak berlaku. Jika tiada kekecohan, maka masyarakat Melayu jarang menyebutnya sebagai saka.

Jin-jin silat/ seni beladiri dan perubatan tradisional tidak disebut saka oleh kebanyakan masyarakat. Melayu. Jin-jin yang soleh dan jin Islam juga biasanya tidak disebut saka.


Manusia zaman dahulu suka mengambil jin-jin sebagai pembantu mereka untuk menjaga rumah, keluarga, ladang, perubatan, persilatan dsb. Sudah menjadi budaya bahawa setiap keluarga zaman dahulu mendapatkan pembantu dari kalangan jin, kalau tak ada seolah-olah tak lengkap.

Umur jin lebih panjang drpd umur manusia, ada yang ratusan (yang umur pendek) dan biasanya ribuan tahun. Oleh kerana telah ada persetujuan antara jin dengan tuan punya jin tadi, maka jin itu akan terus mendampingi tuannya buat selamanya selagi tidak dibuang (dinamakan buang saka). Setelah tuan punya tadi meninggal, jin itu akan mendampingi pula keturunannya sampailah entah berapa keturunan selagi jin itu tidak mati ataupun dibuang. Sekiranya jin itu jenis yang banyak atau beranak-pinak, maka selagi tak dibuang selagi itulah mereka akan mendampingi keluarga tersebut.

Jadi, saya percaya (berdasarkan bentuk soalan yg dikemukakan) bahawa ‘saka’ yang dimaksudkan oleh yang bertanya ini adalah saka sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan masyarakat Melayu. Maka saka jenis itulah yang akan saya “hi-lite” kan. Jika tersilap faham harap dimaafkan.


TANDA-TANDA SAKA

Saka yg disedari- biasanya keturunan itu akan memelihara adat-adat tertentu seperti membuat kenduri pada masa-masa tertentu, melakukan upacara-upacara tertentu pada masa-masa tertentu, menyimpan barang pusaka khas (seperti kain berwarna, alat perhiasan, barang kemas, senjata dsb), yakin diri dan keluarga mereka masih dalam penjagaan nenek moyang (walaupun nenek moyang itu tinggal jauh ataupun telah meninggal dunia), ada mentera tertentu ataupun lain-lain.

Saka yg tak disedari-tiba-tiba ada anggota keluarga yang terkena penyakit teruk, atau penyakit ganjil, atau mimpi yg menakutkan… kemudian dibawa berubat, kemudian diberitahu oleh perawat bahawa itu semua akibat saka/ nenek moyang/ jin keturunan.


ADAKAH ORANG YANG ADA SAKA BOLEH MEMBERI KESAN KEPADA RUMAH ATAU ORANG YANG DIZIARAHINYA?

Kesimpulannya- boleh memberi kesan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung bergantung kepada jenis saka.
  1. Orang yg tahu dia ada saka dan mampu menggunakan sakanya- dia boleh menyuruh sakanya berbuat sesuatu (biasanya yang tidak baik). Ini adalah kesan secara langsung dan sering berlaku.
  2. Orang yang tahu dia ada saka tetapi tidak tahu cara memanupulasikannya- rumah atau orang yang diziarahinya boleh terkena sesuatu akibat perbuatan saka secara tidak langsung, tetapi ini jarang berlaku.
  3. Org yang tak tahu dia ada saka- biasanya tak memudaratkan orang lain.

Saka boleh memberi kesan atas keizinan Tuhan, bukan bermaksud si saka itu ada keupayaan sendiri sejak azali.

Samalah seperti tuan anjing, dia boleh mengarahkan anjingnya memudaratkan orang lain. Begitu juga dengan tuan saka, ia boleh menyuruh sakanya memudaratkan orang lain. Bezanya anjing itu nampak sementara saka itu ghaib-tak nampak. Cara beroperasi sama saja.

Di sini kita kena beriman dengan perkara-perkara ghaib. Antaranya percaya jin itu wujud, ia mampu bergerak pantas, ia mampu memudaratkan manusia, ia berusia panjang, jasad kasarnya lemah dsb dan semua itu dengan keizinan Tuhan.


BAGAIMANA MERAWAT MASALAH INI?

Bagi yang tahu dan menjaga saka- tak perlu dirawat kerana biasanya saka itu tidak mendatangkan masalah kepadanya.

Bagi yang tahu tetapi tak mahu lagi saka itu- kena melalui proses pembuangan saka atau rawatan.

Bagi yang tak tahu- apabila dah tahu biasanya tak mahu, maka kena lalui proses pembuangan atau rawatan


Cara rawatan pastinya melalui kaedah tradisional. Rawatan doktor moden setahu saya tak mampu menghilangkannya (boleh jadi ada kajian terbaru yang membuktikan boleh). Namun ada juga sedikit-sebanyak kaedah rawatan sains moden (bukan ilmu kedoktoran) yang berupaya membuang saka seperti melalui getaran, pernafasan, kuasa minda dan seumpamanya, cuma kaedah ini belum popular di kalangan masyarakat awam.


Kaedah tradisional:

Antaranya menggunakan khidmat pawang, bomoh, pakar perubatan tradisonal, tabib, sami dan seumpamanya. Golongan ini biasanya ada jin pendamping mereka sendiri. Jika jin mereka lebih kuat daripada jin saka, maka mudahlah diusir dengan cara-cara tertentu. Tapi ada juga jin saka yang agak kuat di mana mereka boleh kembali- berjaya dijauhkan buat sementara saja.

Jika jin saka lebih kuat, biasanya ia tidak berjaya dihalang daripada terus mendekati si sakit/ orang yang nak buang. Malah mampu memudaratkan si perawat pula.


Ada perawat yang berpendamping melibatkan sama cara rawatan menggunakan doa dan ayat-ayat Al Quran. 2 dalam 1.

Ada juga perawat yang berpendamping menggunakan ayat Quran dan doa sebagai “cover” sahaja tetapi sebenarnya dia bergantung sepenuhnya kepada kekuatan jin/ jin-jin pembantunya.

Ada juga perawat yang berpendamping tapi tidak menggunakan pendampingnya, dia menggunakan ayat Quran, doa dan petua .

Ada pula perawat yang sepenuhnya bergantung kepada ayat suci, doa dan petua semata-mata.


Saka/ jin yang kuat sangat sukat untuk dibuang. Terutamanya jika yang ‘perjanjian’ dengan tuan punya saka yang mula-mula membuat perjanjian yang berat.

Jin jenis hantu raya boleh dibuang dengan tipu helah. Jenis pelesit juga mudah dibuang. Jenis bajang agak sukar. Jin jenis Ifrit lagi sukar kerana ia kuat. Jenis polong saya kurang pasti. Jenis toyol jarang dijadikan saka kerana ia lebih digunakan untuk kerja-kerja mencuri. Banyak lagi jenis-jenis jin yang dipanggil dengan pelbagai nama ‘hantu’ oleh masyarakat Melayu.

Yang penting, barang-barang tumpangan saka itu seperti alat perhiasan, kain berwarna, adat-adat/ upacara tertentu, mentera-mentera . sebarang bacaan dan seumpamanya mestilah dibuang. Tapi tak boleh dibuang sembarangan, kena ada ahli yang tahu cara-caranya. Jika dibuang sembarangan ditakuti saka itu akan mengamok pula, lagi teruk.

Saya mencadangkan cara rawatan Islam Darus Syifa oleh DR Haron Din dan anak buahnya. Tetapi kaedah rawatan mereka memerlukan sama usaha orang yaag nak dirawat, bukan usaha perawat sahaja. Org yang dirawat mesti meningkatkan ilmu,iman dan amal mereka sendiri untuk membuang dan seterusnya menghalang daripada si saka kembali. Ini lebih baik.

WA.


Alexanderwathern
2006

2 comments:

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

20 tahun diganggu saka
Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my



'Saya dan adik beradik selalu terlihat lembaga hitam yang besar seakan manusia setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah siling'

"SAYA menerima qada dan qadar ini serta reda atas setiap ujian Allah SWT tetapi kadang-kadang saya terfikir mengapa seseorang itu sanggup 'mengorbankan' keluarga sendiri demi mewarisi adat nenek moyang yang jelas bertentangan dengan Islam."

Begitulah luahan seorang wanita selepas membaca rencana mengenai angkara Saka yang disiarkan dalam Dimensi, tiga minggu lalu. Wanita yang hanya mahu menggelar dirinya Alia, menghantar emel untuk berkongsi pengalamannya lebih 20 tahun dihantui Saka yang diwariskan datuk kepada ayahnya. Berikutan itu, Alia menetap di luar negara untuk mengelak pelbagai gangguan mistik dan menyeramkan angkara saka itu. Ikuti luahannya:

Datuk meninggal dunia ketika saya masih kecil, baru darjah dua. Sebelum meninggal, datuk sebelah ayah lumpuh selama setahun.

Sejak kematian datuk, selalu ada kesan lebam di badan saya terutama paha ke bawah tetapi ibu anggap ia perkara biasa kerana kanak-kanak sering bermain, kerap jatuh dan terlanggar.

Ketika saya di sekolah rendah, ayah bekerja di negeri lain menyebabkan kami tinggal berasingan. Ketika ketiadaan ayah, saya dan adik beradik lain selalu terlihat kelibat lembaga hitam yang amat besar dan berbentuk seakan manusia di rumah kami. Lembaga hitam itu setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah siling. Saya selalu demam terkejut melihat lembaga berkenaan. Saya beritahu ibu tapi ibu kata itu hanyalah khayalan kanak-kanak.

Disebabkan ayah bekerja di negeri lain, dua minggu sekali barulah dia pulang melihat kami. Dua atau tiga hari sebelum ayah pulang, saya dan ibu pasti terdengar suara ayah memanggil tetapi apabila berlari ke pintu dan membukanya, saya hanya terlihat kelibat lembaga hitam.

Ibu selalu mengadu sakit pinggang dan bisa di kaki. Badannya terasa seperti dicucuk jarum halus apabila ayah pulang. Dalam rumah pula, selalu muncul serangga seperti belalang bersaiz empat hingga lapan sentimeter panjang, berwarna hijau keperang-perangan dan merah malah serangga itu berbunyi sungguh kuat dan berdesing.

Ketika kami berpindah tinggal bersama ayah apabila saya di sekolah menengah, keadaan menjadi bertambah teruk. Saya selalu lewat bangun ke sekolah kerana setiap malam, badan terasa dihimpit lembaga hitam yang besar.

Apabila bangun tidur, lebam sebesar syiling 50 sen atau lebih besar kelihatan di kaki dengan kesan gigitan. Pinggang terasa seperti paku mencucuk. Sebelum datang haid, saya ada lebam di paha dan kitaran haid juga tidak normal malah kadang-kadang tiada langsung.

Sebelum muncul lebam, serangga seperti belalang muncul dalam rumah bersama bau bangkai yang amat busuk selain bau darah hanyir. Perkara ini kerap berlaku pada malam Jumaat dan badan saya akan berasa panas. Saya sering mengadu kepada ayah sebaliknya dimarahi dan memberi pelbagai alasan.

Disebabkan terlalu kerap menghidap penyakit itu, saya, ibu dan adik-beradik lain mengambil ujian darah kerana khuatir menghidap leukimia. Ujian darah bagaimanapun mengesahkan kami sihat.

Disebabkan keadaan kami semakin mudarat dan pemeriksaan kesihatan moden gagal mengesan sebarang penyakit, kami cuba berubat tradisional dan ramai pengamal perubatan mengatakan kami terkena sihir.

Ada antara mereka menyuruh kami mandi air garam, air daun, air tujuh masjid, tujuh kolah, tujuh perigi, air zamzam, meletak jala dalam rumah dan pelbagai kaedah lain tetapi lebam, bisa badan dan sakit pinggang tidak berkesudahan malah semakin teruk.

Perangai ayah juga berubah sejak kami tinggal bersamanya. Setiap malam Jumaat, dia bergegas ke rumah nenek tapi sebelum itu akan mengamuk dan naik berang tanpa sebab hingga kami ketakutan.

Kami terus berubat tradisional dan daripada seorang pengamal perubatan, kami diberitahu masalah ibu dan saya berpunca daripada �belaan� keluarga suami. Dia menyatakan lebam itu akibat jin belaan memakan darah sebagai perjanjian menjaga harta benda dan anak cucu yang dibuat lama dulu oleh keturunan ayah.

Beliau menyuruh ibu membawa ayah berjumpa dengannya jika hendak berubat. Pengamal perubatan menjelaskan sendiri kepada ayah tapi sebaik mendengar penjelasan itu, ayah benar-benar marah dan tidak percaya. Dia menuduh keluarga ibu terbabit.

Kali ketiga kami datang untuk berubat, pengamal perubatan itu tidak lagi mahu menerima kedatangan kami kerana keluarganya kacau bilau dan isteri pengamal perubatan itu dirasuk lembaga hitam dan berbulu. Yang peliknya, sesiapa saja termasuk pengamal perubatan yang hendak menolong saya dan ibu pasti dilanda musibah pelik-pelik.

Sejak itu, saya dan ibu sakit bertambah teruk - selalu demam, tidur malam terasa dihimpit dan bermimpi dirogol lembaga hitam besar.

Sehinggalah kami bertemu seorang ustaz untuk berubat. Selepas diperiksa, ustaz itu mula menerangkan dengan terperinci perkara sebenar:

�Keturunan sebelah ayah dulu ada membuat perjanjian dengan makhluk itu melalui perantaraan seseorang yang dianggapnya sebagai �wali� ketika menuntut. Wali itu menghadiahkan �khadam� untuk menolong menjaga harta benda dan keturunan anak cucunya, membuka kebun selain menjadikan orang lain melihatnya gagah, kuat dan berasa gerun.

�Selepas datuk meninggal, makhluk itu terbiar lama, tidak diberi layanan dan ganjaran seperti janji tuannya dulu menyebabkan ia mengamuk dan mahukan layanan. Sebelum kehadiran makhluk jin besar keturunan Ifrit jantan atau digelar hantu raya dalam budaya Melayu itu, akan ada bau busuk dan serangga seperti belalang atau serangga lain.

�Makhluk itu berbulu seperti mawas, amat ganas dan memakan darah dan air mani manusia untuk hidup, akan menggigit dan meninggalkan tanda kepada semua keturunan keluarga ayah,� katanya.

Ustaz itu juga menerangkan, makhluk itu kadang-kadang menyerupai ayah dan sering merogol ibu dan saya ketika tidur. Apabila kami tidur, kadangkala bermimpi melahirkan anak kecil.

Makhluk itu juga berupaya mengacau-bilau dan memecah belahkan keluarga jika tuntutannya tidak dipenuhi. Ustaz itu menambah, jika tidak berhati-hati, kemungkinan ada kematian kerana makhluk itu mahukan makanannya (darah) yang banyak. Saya tidak tahu betul atau tidak, tetapi ramai keluarga di sebelah ayah yang mati pada usia muda. Wallahualam.

Kami berubat tapi masalah lebam masih berterusan dan mimpi dirogol masih berterusan. Saya juga kerap bermimpi anak kecil selain bermimpi melahir dan menyusukan bayi. Pernah sekali antara sedar dan tidak, saya melihat lembaga hitam menyerupai ayah mengaku yang �ia� sudah mati dan hendak memeluk saya.

Apabila saya sedar, saya menjerit dan lembaga itu hilang. Dua tiga hari selepas insiden itu, bau hanyir darah memenuhi bilik. Semua cadar dicuci tetapi bau masih ada. Insiden pelik lain ialah bunyi sesuatu menghempap bumbung dan mencakar siling terutama pada tengah hari dan malam.

Kelakuan ayah juga pelik apabila membiarkan sekeping bumbung (atap) rumah terbuka pada setiap bilik, meletakkan parang atau sebilah pisau kecil di bawah permaidani, katil atau kerusi dan makan dalam kuantiti yang banyak malah berpinggan-pinggan.

Ayah juga ada menyimpan keris kecil yang katanya, pusaka yang harus dijaga rapi selain sehelai kain putih berbentuk gelang yang dililit.

Setiap malam Jumaat atau malam Rabu, ayah memakai wangian yang baunya sungguh kuat dan membuka semua tingkap dengan luas. Ayah juga tidak mahu tidur dengan ibu dan mengunci diri dalam bilik keseorangan.

Pernah saya mengintai dan melihat dia bercakap seorang diri dan ketika itu di luar rumah ada bunyi serangga seperti belalang yang berdesing kuat.

Ustaz yang kami temui juga pernah berkata, datuk saya itu tidak boleh meninggal dunia selagi �amalannya� diturunkan kepada waris keturunannya menyebabkan ustaz itu menasihatkan saya dan ibu memutuskan hubungan dengan ayah dan duduk sejauh mungkin bagi mengelakkan gangguan berterusan.

Alhamdulillah, kami mengikuti nasihat itu. Kini saya menetap di luar negara dan dalam proses membawa ibu tinggal bersama-sama. Masalah lebam masih ada tetapi sudah tidak seteruk dulu.

Buat masa ini, saya mengamalkan bacaan beberapa ayat suci al-Quran dan bersolat lebih tekun untuk mengelak diganggu. Bisa di badan dan mimpi dirogol atau dihempap makhluk hitam, Alhamdulillah sudah tiada.

Memang sukar untuk masyarakat mempercayai perkara ini, tetapi pada hakikatnya inilah masalah yang melanda masyarakat Melayu hingga kini.

Mungkin ada sesetengah pihak menganggap perkara ini remeh tetapi amalan saka jika tidak dibendung membawa mudarat - perpecahan rumah tangga, perceraian suami isteri, syak wasangka, pergaduhan antara saudara dan masyarakat, sakit misteri berlanjutan dari segi fizikal dan mental serta hidup tidak lagi tenang.

Saya berharap jika ada sesiapa yang menghadapi masalah saka, berubatlah dan buanglah perkara jahil ini. Bertaubat serta kembalilah ke jalan Islam yang sebenar dan percayalah kepada kekuasaan Allah dan amalan Nabi dan Rasul.

INFO: Saka


# Saka adalah amalan mewarisi jin atau syaitan untuk membolehkan makhluk halus itu memberikan pemiliknya pelbagai kekuasaan ghaib seperti kekuatan luar biasa, kecantikan, pengaruh dalam masyarakat dan pelbagai lagi.

# Hukum mewarisi dan menggunakan saka adalah syirik dan haram di dalam Islam.

# Jin yang menjadi saka boleh memperdaya tuannya seperti menjelma di dalam mimpi sebagai seorang yang warak dan kuat beribadat. Akan tetapi ia bagi memastikan manusia itu terpedaya dengannya seterusnya sesat dari Islam.

# Saka tidak semestinya diwariskan kepada saudara sedarah tetapi kepada sesiapa saja dan cara mewariskan saka pula pelbagai antaranya menerusi perbuatan seperti bersalaman, menerusi lafaz atau menyerahkan barang tertentu seperti keris, cincin, azimat termasuk kertas bertulis ayat al-Quran.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dimensi/20070916084520/Article/index_html [www.bharian.com.my]

sutera~unggu said...

Salam...maaf..boleh tak saya nak minta nama dan alamat ustaz yg boleh berubat tu.... Sbb saya mengalami masaalah yg sama. Terimakasih. Sila hubungi saya di milee.said@yahoo.com