Wednesday, January 25, 2012

Tazkirah Facebook 14 (23.1.2012)

Taat/patuh (kepada perintah Tuhan) itu satu nikmat yang sangat lazat, tetapi syaitan dan nafsu menyalutnya dengan pelbagai dongengan, sehinggakan kita berasa taat/patuh itu suatu bebanan.

Kita lebih yakin... bahawa ketaatan dan kepatuhan itu akan membuatkan kehidupan kita tidak selesa, dan terlepas begitu banyak kenikmatan dunia.

Kita juga awal2 lagi sudah tidak yakin, bahawa ketaatan/kepatuhan akan membuatkan hidup kita selesa, hati kita tenang dan hidup kita bahagia.

Sebab itu ramai manusia memilih untuk tidak taat/patuh. Mereka memilih-milih. Jika perkara yang disuruh ditaat/patuh itu 'menyedapkan' mereka, mereka akan taat dan patuh. Jika perkara yang disuruh taat/patuh itu tidak 'menyedapkan' mereka, mereka suka memilih untuk tidak taat/patuh.

Terimalah Islam secara keseluruhan, bukan secara memilih-milih.

Wednesday, January 18, 2012

Pabila Kuambil Sesuatu

Puisi lama saya ini (tahun 2007) termuat dalam blog lama saya yang sudah terhapus. Banyak juga artikel-artikel yang tidak sempat diselamatkan termasuklah puisi ini. Hari ini sahabat saya Ustaz Ikhram Almukminun menyiarkan semula puisi ini di Facebook. Alhamdulillah, syukur. Ribuan terima kasih kepada Al-Fadhil Ustaz Ikhram. Dapat semula puisi lama ini.


PABILA KUAMBIL SESUATU…


Pabila kupetik untaian puisi Ustaz Ashaari

Itu bukan bermaksud temanmu ini ahli Rufaqa’

Jika kunyatakan kebaikan poligami

Bukan hujahnya aku pengikut al-Arqam


Pabila kulilit serban hitam di kepala

Itu bukan bererti aku pengikut Syiah

Kalau kaulihat aku menyokong Saidina Ali

Tidak bermakna temanmu ini pendokong Syiah Imamiah


Pabila mataku dihiasi celak

Apa buktinya aku seorang karkun?

Kaulihat jubahku seperti jubah Maulana Mustaqim

Jangan kauhukum aku ahli jemaat Tabligh


Pabila kusering mencontohi al-Banna

Tidak semestinya aku banyak menyetujui Qardhawi

Memang buku-buku Ikhwan rujukanku

Mana kalian tahu aku salah seorang saudara mereka?


Pabila tazkirahku bernada tazkirah Dato’ Nik Aziz

Mestikah aku bertaqlid penuh Ustaz Hadi Awang?

Kelibat aku selalu ada di ceramah

Tidak semestinya PAS platform perjuangan utamaku


Pabila tasauf kesufian menjadi bualan harianku

Tidak semestinya aku orang tariqat

Penampilanku yang biasa berjubah dan berserban

Jangan anggap kumenolak tali leher dan t-shirt


Pabila aku mengendalikan usrah

Bukan ABIM dan JIM saja yang berusrah

Ma’thurat menjadi aurad harianku

Adakah ISMA naunganku?


Pabila anak-anakku berpakaian tentera

Takkanlah aku terus menjadi al-Qaeda?

Ketika kumenulis kebaikan Taliban

Mestikah aku pendokong gerakan mereka?


Pabila kusokong Lasykar Jihad

Tidak kusokong wadah Wahhabi

Kalau kusokong beberapa fatwa Saudi

Ketahuilah temanmu ini bukan Salafi Lapok


Pabila kukagumi Syeikh Bahauddin

Takkanlah itu menunjukkan aku pentaksub Syeikh Nazeem

Kaulihat hatiku berzikir khafi Allah Allah

Bukan maksudnya kudatang dari Naqsyabandiyyah


Pabila kuberbaik dengan pimpinan dan ahli UMNO

Janganlah anggap temanmu ini pengundi Barisan

Seandainya kusokong langkah-langkah baik pemerintah

Jauh sekali untuk aku berfaham sekular


Aku…

Mengambil apa yang baik dan relevan

Yang berkesan buat diriku dan umat Islam


“PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT”


Abu Zulfiqar

3 JUN 2007