Tuesday, August 5, 2025

Nota Live : Adab2 Seorang Suami

 

ADAB-ADAB SEORANG SUAMI                     

 

Pertama : Buatlah majlis perkahwinan walaupun kecil. Sekurang-kurangnya dengan seekor kambing (atau yang setara dengannya), Pesan Nabi SAW kepada Abdur Rahman bin ‘Auf : “Adakanlah kenduri sekalipun dengan hanya seekor kambing.” (Bukhari, Muslim)

 

Kedua : Bersabar dan berbelas kasihan kepada isteri. Sabda Nabi SAW : “Takutlah akan Allah dalam hal wanita. Mereka adalah pembantu dalam tanganmu. Kamu ambil mereka sebagai amanah Allah dan kamu halalkan faraj mereka dengan kalimah Allah.” (An-Nasa’i, Ibnu Majah)

 

Ketiga : Hendaklah ada gurau senda, berkelakar dan bermain-main yang selayaknya dengan isteri kerana semua itu dapat membaikkan hati wanita.

 

Sabda Nabi SAW : “Orang beriman yang lebih sempurna imannya ialah mereka yang berbudi baik dan berlemah-lembut dengan isterinya.” (Turmizi, Nasa’i)

 

Sabda Nabi SAW : “Yang terbaik dalam kalangan kamu ialah orang yang terbaik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap isteriku.” (An-Nasa’i, Turmizi)

 

Keempat : Suami janganlah tunduk tidak kena dengan tempat kepada isterinya (elakkan kena queen control). Suami hendaklah bertegas dalam hal-hal yang sepatutnya ditegasi.

 

Kata Al-Hasan : “Demi Allah, tidaklah seorang lelaki yang menurut sahaja kehendak isterinya itu melainkan dimasukkanlah oleh Allah dia ke dalam naar.”

Umar ra berkata : “Bertegaslah kamu dengan isterimu dalam hal-hal yang menyalahi agama kerana pada perselisihan sebegitu terdapat keberkatan.”

 

Kelima :  Suami jangan terlalu cemburu dan jangan pula tidak cemburu. Biarlah pertengahan dan bersesuaian. Cemburu kena ada. Jika tidak ada cemburu langsung, berbahaya.

 

Keenam : Hendaklah bersederhana dalam berbelanja, yakni tidak kedekut tetapi tidak pula boros.

 

Allah SWT berfirman : “Dan makan dan minumlah tetapi janganlah berlebih-lebihan.” (Al-‘Araf : 31)

 

Ketujuh : Suami hendaklah mempelajari ilmu tentang haid dan hukum-hakamnya, begitu juga dengan istihadah. Suami juga kena mengajarkan isterinya ilmu solat yang berkaitan dengan haid tadi (sekiranya ilmu si isteri belum memadai).

 

Suami juga mestilah mengajar isterinya tentang i’tiqad (‘aqidah) Ahlus Sunnah dan menghilangkan daripada hati si isteri akan bid’ah-bid’ah dalam ‘aqidah (sekiranya ada keperluan).

 

Sekiranya suami tidak mampu atau kurang mampu untuk mengajar, suami hendaklah bertanya kepada orang-orang yang tahu. Sekiranya si suami tidak mampu berbuat demikian, si isteri bolehlah pergi bertanya (belajar) tentang hal-hal yang fardhu dan wajib. Berdosa jika suami melarangnya. Bagi hal-hal yang bukan fardhu atau wajib, si isteri mestilah mendapatkan kebenaran suami sebelum pergi belajar.

 

Kelapan : Sekiranya si suami mempunyai beberapa orang isteri, dia mestilah berlaku adil. Adil yang dimaksudkan dan diisyaratkan ini adalah dari segi pemberian dan giliran bermalam.

 

Kesembilan : Si suami hendaklah bertindak apabila isterinya derhaka (nusyuz)

 

Sekiranya berlaku perselisihan yang puncanya daripada pihak suami, ataupun daripada pihak suami dan isteri, hendaklah ada dua orang tengah iaitu seorang daripada keluarga suami dan seorang daripada keluarga isteri untuk berbincang dan mencari jalan pembaikan.

 

Sekiranya si isteri yang nusyuz, maka si suami lah yang kena bertindak secara beransur-ansur.

Contohnya isteri meninggalkan solat. Mulakan dengan nasihat dan gertakan, Jika tidak berhasil, suami bolehlah membelakangkan isterinya di tempat tidur, atau tidur berasingan, atau tidak bercakap-cakap dengannya ketika di dalam rumah, sehingga 3 malam. Sekiranya tidak berhasil juga, si suami bolehlah memukul si isteri dengan pukulan yang ringan, sekadar untuk pengajaran. Tidak boleh melukakan isteri, membuatkan tulangnya patah, berdarah, dan tidak boleh memukul bahagian mukanya. Rasulullah saw sendiri pernah memulaukan isteri-isterinya selama sebulan kerana kesalahan mereka, sebagaimana dalam riwayat Bukhari dan Muslim.

 

Kesepuluh : Hendaklah suami melaksanakan jimak menurut adab-adabnya. Jangan mendatangi isteri ketika isteri sedang haidh, ataupun selepas habis haidh tetapi belum mandi wajib. Jika selepas jimak itu kita mahu tidur dan belum mahu mandi, disunatkan berwudhuk.

 

Live streaming channel Tele : Ilmu2 Imam al-Ghazali (Petikan, Ringkasan & Rumusan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin)

No comments: