Pertanyaan : Ustaz, saya nak tanya pasal Risalah Burung. Ia cerita tentang apa? Kalau tak dapat citer panjang, pendek pun ok.
Jawapan : Risalah Burung atau Risalah ath-Thayr karangan Al-Ghazali mengisahkan tentang sebahagian manusia yang mahu mendekati Allah tetapi mereka tidak ada ilmu tentang hakikat af’al. Akhirnya sebahagian daripada mereka berjaya mempelajari ilmu hakikat lalu jiwa mereka pun berasa tenang untuk berusaha dan bertindak menuju maqam2 seterusnya.
Perinciannya pula :
1. Ada banyak manusia yang mengakui kewujudan Tuhan (Rabb, Ilah), dan yang layak sebagai Tuhan hanyalah Allah.
2. Mereka berhajat untuk “mendekati” Allah dengan “sedekat2”nya, menyembah, membesarkan dan meninggikan-Nya.
3. Namun kehendak tidak baik di dalam diri masing2 (bisikan2 syaitan) cuba mempengaruhi mereka untuk membatalkan niat tersebut. Kononnya mereka akan menghadapi pelbagai kesusuahan dan mengalami pelbagai kerugian (dari segi hayat, masa, tenaga, belanja, perasaan, rumah kediaman, kerehatan, kesenangan bersama2 keluarga, dan sebagainya), jika mereka belajar dan beramal.
4. Sungguhpun begitu, mereka tetap memulakan usaha mereka (mereka berguru, belajar, beramal, berkorban, bermujahadah dsb) kerana keinginan mereka terhadap Allah sangat kuat.
5. Banyak antara mereka yang gagal di awal usaha, di pertengahan usaha, dan di penghujung usaha. Hanya sedikit sahaja manusia yang berjaya sampai ke maqam banyak ilmu dan banyak amal. (Pada tahap ini, mereka belum tahu dan faham akan hakikat)
6. Apabila mereka berjaya sampai ke maqam tersebut, mereka terasa yang mereka sudah berjaya menjadi hamba yang baik kepada Allah lalu mereka layak untuk berada “rapat” dengan-Nya. (Pada tahap ini, mereka belum tahu dan faham akan hakikat)
7. Tetapi kemudiannya baru mereka dapat tahu dan dapat memahami bahawa segala ilmu dan amal mereka yang banyak itu tidak terkesan langsung kepada Allah. Sama ada mereka berusaha menyembah, meninggikan-Nya dan membesarkan-Nya atau tidak, Allah sudah sedia Maha Besar dan Maha Tinggi, dan Dia akan tetap sebegitu selama-lamanya. Segala usaha mereka langsung tidak ada nilai bagi Allah. (Pada tahap ini, mereka belum tahu dan faham akan hakikat)
8. Maklumat yang baru dipelajari dan difahami itu membuatkan mereka terfikir - apa gunanya untuk mereka berjuang menambahkan lagi amal dan mengkualitikan amal? Kerana semua itu tidak memberi sebarang kesan kepada Allah pun. Lebih baiklah mereka kembali jadi seperti dahulu kala. (Pada tahap ini, mereka belum tahu dan faham akan hakikat)
9. Setelah mereka faham situasi ini, mereka pun diajarkan bahawa sebenarnya Allah sedang membuka lebih peluang kepada mereka untuk mendekati-Nya. Hal ini berlaku apabila seseorang itu sudah merasa dirinya kosong dan faqir, maka ketika itulah Allah akan mengangkatnya “lebih tinggi”. (Pada tahap ini, mereka belum tahu dan faham akan hakikat)
10. Pelajaran baru ini membuatkan semangat mereka naik kembali. Alang2 sudah banyak berusaha dan berkorban, maka lebih baiklah mereka teruskan usaha dengan menambahkan ilmu2 dan amal2 agar dapat lebih “dekat” dengan Allah. (Pada tahap ini, mereka belum tahu dan faham akan hakikat).
11. Mereka juga diberi pelajaran baru bahawa sungguhpun ada manusia2 lain yang tersangkut setakat pada awal perjalanan, pertengahan perjalanan, atau di pengujung perjalanan, tetapi mereka semua tetap disukai oleh Allah dan diberi-Nya pahala. Yang penting bukanlah hasil atau keputusan, tetapi usaha dan tindakan. (Pada tahap ini, mereka belum tahu dan faham akan hakikat).
12. Mereka sangkakan yang mereka berjaya dekat dengan Allah itu adalah kerana usaha gigih mereka. Tetapi kemudiannya barulah mereka mendapat pelajaran baru bahawa pada hakikatnya, usaha mereka langsung tidak ada nilai. Hal ini kerana pada hakikatnya mereka berjaya sampai dekat dengan Allah itu adalah atas kehendak Allah. Allah yang membawa mereka. (Pada tahap ini, barulah mereka diajar tentang hakikat. Barulah mereka tahu, faham dan sedar tentang hakikat).
13. Mereka juga diberi pelajaran baru bahawa manusia lain yang tidak berusaha pun pada jalan ini sebenarnya memang kerana Allah tidak mahu akan mereka. Pada hakikatnya, Allah yang tidak mahu membawa mereka dekat kepada-Nya. (Pada tahap ini, lagilah jelas kepada mereka tentang hakikat. Tetapi mereka belum sampai ke maqam “menyaksikan” Raja Burung di dalam istana lagi. Mereka setakat tahu tentangnya tetapi belum mengenal-Nya).
14. Setelah mencapai ilmu hakikat, barulah qalbu mereka jadi tenang. Lalu mereka pun meneruskan usaha dan tindakan mereka dengan lebih gigih lagi (untuk mencapai maqam ma’rifat pula iaitu dengan terus memohon masuk ke istana untuk menghadap Raja Burung, dan ”menyaksikan” Raja Burung itu sendiri sehingga ma’rifahlah atau kenallah mereka akan Raja Burung itu)
Secara keseluruhannya, Risalah Burung ini bercerita tentang mi’raaj ke-3 daripada 7 petala tasawuf (syariat – tarekat – HAKIKAT – ma’rifat / awwal ad-diin – nisf ad-diin, akhir ad-diin, kamal ad-diin) iaitu HAKIKAT. Setelah berjaya mencapai hakikat, barulah kemudiannya mendapat ma’rifat. Wallahua’lam.
22/12/24
No comments:
Post a Comment