Sunday, December 22, 2024

Pihak Yang Menzalimi Memang Boleh Berlakon Tenang

 

Pihak yang menganiaya memang boleh berlakon jadi tenang, manis muka lagi alim cara gaya kerana biasanya dia tidak mengalami sebarang kerugian. Pihak yang dianiayalah yang biasanya akan nampak tertekan dan bersusah-payah kerana dia berada di pihak yang mengalami kerugian. Lebih2 lagi jika yang menganiaya itu ramai manakala yang dianiaya itu sedikit atau berseorangan. Maka kita janganlah mudah2 terpedaya dengan menyangkakan bahawa si tenang, si manis muka lagi kelihatan warak itu yang benar atau lebih benar berbanding yang kelihatan cemas, tertekan, dan kelam-kabut.


Contoh 1 : Alif datang ke rumah Zaid ketika ketiadaan Zaid lalu melarikan isteri Zaid. Selepas itu Zaid pun pergilah mencari Alif lalu bertemu dengannya di tengah2 orang ramai. Memanglah Zaid kelihatan kurang tenang, kurang manis muka dan agak kelam-kabut kerana dia berada di pihak YANG SEDANG KERUGIAN dan mahu mencari penyelesaian. Al-maklumlah, isterinya dilarikan orang.


Kata Si Alif :

"Engkau nampak macam orang agama wahai Zaid. Yakinlah dengan rezeki dan ketentuan Allah. Takkan orang agama lemah al-yaqin, kan?

"Banyak2 bersabar. Insya-Allah ada jalan penyelesaiannya. Istighfar banyak2."

"Relax le Zaid. Semua yang berlaku ni Allah punya kerja. Dia yang tetapkan macam tu. Kita redha je la dengan qada' dan qadar Dia. Allah berkuasa, kita makhluk tak dak kuasa."


Memanglah si Alif cakap pandai kerana bukan dia yang sedang berada di pihak yang mengalami kerugian dan tertekan. Dia boleh sahaja berlagak tenang, bercakap lemah-lembut, menyuruh bersabar dan banyakkkan istighfar, menyuruh ingat akan Allah dan bertawakal, manis muka, menyakitkan hati Zaid secara lembut, dan sebagainya untuk menunjukkan kepada orang ramai kononnya dia seorang yang budiman sedangkan Zaidlah seorang yang tidak mengikut lunas2 agama. Hal itu kerana Alif tidak sedang berada pada pihak yang mengalami kerugian lagi tertekan.


Maka sebahagian daripada orang ramai yang menyaksikan perbualan itu akan cenderung untuk meletakkan kebenaran pada diri Alif dan meletakkan keburukan pada diri Zaid, lebih2 lagi jika Alif bersama beberapa orang sedangkan Zaid bersendirian.


Contoh 2 :

Alif mengambil kambing peliharaan Zaid tanpa keizinan Zaid lalu menyembelih, menggulai dan memakannya bersama rakan-rakannya. Zaid yang baru dapat tahu, tentulah mahukan penjelasan. Mereka terserempak di surau. Zaid pun cuba bertanya kepada Alif tetapi Alif asyik mengelak. Kata Alif, "Sabar. Nanti kita bincang. Bertawakallah. Berserahlah. Isnya-Allah." Dah seminggu waktu diminta penjelasan, tiada sebarang tindakan. Lepas sebulan pun begitu juga. Tapi jika kemudiannya Zaid bertegas untuk minta penjelasan, dialah yang akan dipandang sebagai tidak tenang dan lebih mudah dicop sebagai pihak yang bersalah.


Kita yang beraqal dan berqalbu, jangan sesekali terpedaya dengan “permainan” sebegitu.

 

"Dan orang2 yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim, (lalu) mereka (berusaha dan berikhtiar untuk) membela diri mereka." (Asy-Syura : 39)


"Tetapi orang2 yang membela diri setelah dizalimi, tidak ada alasan untuk menyalahkan mereka." (Asy-Syura : 41)


"Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang2 yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di bumi tanpa (mempedulikan) kebenaran. Mereka itu mendapat seksaan yang pedih." (Asy-Syura : 42)

 


22/12/24

No comments: