Wednesday, February 14, 2024

Alangkah Bahayanya Hasad Dengki

 

Sifat2 mazmumah (yang keji pada syarak) itu ada banyak. Contohnya boros, bakhil (kedekut), terpesona dengan dunia (cinta dunia), ujub, riak, buruk makan minum, kotor lidah, sombong bongkak, pemarah, melampau sensitif, gilakan pujian, dan bermacam-macam lagi. Tapi arwah mursyid saya dulu lebih kerap tekankan tentang satu sifat mazmumah iaitu hasad (dengki, iri hati) dalam pengajaran dan kata-katanya. Ketika itu saya pun berasa pelik juga memandangkan sifat2 mazmumah yang lain pun sangat berbahaya dan mungkin lebih berbahaya. Lalu mengapa sifat hasad itu pula yang seolah-olah lebih ditekankan? Ketika itu usia saya 20-an. Maka saya pun berusahalah agar sifat ini jika tidak hilang pun daripada diri, sekurang2nya ia terhenyak dan jadi sangat minima. Sebagai manusia biasa, memanglah sifat2 mazmumah sentiasa cuba memikat jiwa kita.


Suatu ketika sampailah saya ke usia 40-an. Pada masa itu barulah amat jelas lagi yakin betapa sifat dengki itu memang antara yang paling berbahaya. Saya tafakurkan pengalaman2 diri sendiri, pengalaman orang2 lain, dan peristiwa2 sejarah, bolehlah jika mahu dikatakan bahawa sifat iri hati itulah yang paling banyak berperanan menimbulkan masalah. Terlalu banyak hal buruk yang bermula dengan hasad (dengki, iri hati).


Bermula dengan kisah Iblis dan Adam, seterusnya kisah Habil dan Qabil, Yahudi menolak kerasulan Nabi Muhammad, Hang Tuah difitnah, dan sebagainya. Terlalu banyak. Ditambah dengan pengalaman2 yang dialami sendiri yang memang cukup banyak, juga dengan mengambil iktibar daripada pengalaman orang2 lain. Jelas sangat betapa berbahayanya sifat hasad dengki ini dan betapa besar kesan buruknya. Terkena ‘ain atau penyakit ‘ain juga berkait rapat dengan dengki.


Akan selalu ada orang2 yang hasad (dengki, iri hati) akan kita, tetapi kita jangan ada hasad terhadap orang lain. Segala rezeki dan kelebihan yang diperoleh oleh orang lain itu, Allah yang kurniakan. Adakah kita tidak berpuas hati dengan Allah? Sepatutnya kita turut ada rasa suka dan mempunyai hati yang meraikan apabila orang2 lain mendapat sesuatu rezeki, kegembiraan, kelebihan, kelepasan, keselesaan dan sebagainya.


Marilah kita melapangkan kepala dan hati qalbu kita dengan cara menghilangkan dan menjauhkan diri daripada sifat mazmumah hasad (dengki, iri hati) itu. Insya-Allah akan berasa lapang, tenang, bahagia, selesa dan sukacita.


*Hendak menundukkan sifat hasad itu, kenalah kenal apa itu hasad, apakah bahaya2nya, apakah tanda2 kita sudah terkena, bagaimanakah cara menghilangkannya, apakah tanda2 ia sudah menghilang dan seumpamanya? Dalam kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin ada. Jika disyarahkan lagilah bermanfaat.


12/2/24

No comments: