Sunday, February 5, 2023

Bakal Suami Kenalah Berilmu Juga

 

ANTARA (bukan satu2nya dan bukan semestinya) penyebab rumah tangga tidak bahagia atau kurang bahagia adalah kerana si isteri berilmu dan beramal agama tetapi si suami kurang berilmu dan beramal agama. Biasanya si suami ada egonya lalu tidak suka dianggap kurang tahu atau tidak tahu. Jadi, keilmuan dan keagamaan si isteri lebih sukar untuk "tertempias" atau "menjangkiti" si suami. Kadang2 ada pula isteri yang memandang rendah si suami atas kekurangan dan kelemahan si suami itu. Hal itu menambahkan lagi masalah.


Sebaliknya jika si suami pula jenis yang berilmu dan beramal agama, walaupun si isterinya kurang atau memang tidak berilmu dan beramal agama, biasanya keilmuan dan keagamaan si suami agak lebih mudah "tertempias" atau "menjangkiti" si isteri sedikit-sebanyak. Biasanya pihak isteri lebih mudah untuk merendah dan mengikut suami berbanding suami hendak merendah dan mengikut si isteri.


Keadaan yang diceritakan ini adalah berdasarkan kebanyakan kes berkaitan yang pernah diajukan kepada saya dan isteri sejak suku abad yang lalu sehinggalah sekarang. Dalam kata lain, berdasarkan pengalaman jugalah walaupun lebih kepada pengalaman para pengadu. Lain orang yang menerima aduan, mungkinlah lain pula dapatan mereka. Saya sekadar kongsikan hal ini kerana memandang ada manfaat yang besar sebagai panduan kepada orang lain. Banyak situasi sebegini berlaku Dalam tempoh terdekat ini pun ada dua kes.


Oleh sebab itu, sangat pentinglah untuk orang lelaki agar melengkapkan diri dengan ilmu dan amal agama sebelum mendirikan rumahtangga. Antara ilmu yang pasti tentulah 4 fardhu atau 4 tungku ad-diin sebagaimana dalam hadith Jibril iaitu :

1. ilmu al-iman

2. ilmu al-islam

3. ilmu al-ihsan

4. ilmu al-sa'ah


Jika kedua-dua lelaki dan wanita itu sama-sama lebih kurang sama naik ilmu dan amal agama mereka, yang itu tentunyalah lebih bagus. Wallahua'lam.


TINDAKAN


Sangat bagus jika pihak lelaki dapat berusaha dan berikhtiar dengan gigih agar dapat melebihi bakal pasangannya dalam 4 tungku agama ini atau sekurang-kurangnya setara dengan pihak wanita. Malu jika lelaki kurang. Dan jika kurang, BIASANYA akan datang masalah. Cuma masa sampainya masalah itu nanti ada yang segera dan ada yang setelah sekian lama.


Bagi pihak wanita (termasuklah wali dan kaum keluarganya) juga hendaklah bijak dalam berusaha dan berikhtiar dengan gigih untuk menerima bakal pasangan si wanita. Usaha dan ikhtiarlah dengan gigih untuk mendapatkan pembimbing bagi si wanita.


Allah yang menentukan segala-galanya, dan kita sebagai ASWJ mestilah berusaha dan berikhtiar dengan gigih. Kerja-Nya tidak akan dipersoal dan diminta pertanggungjawaban, tetapi kerja kitalah yang akan dipersoal dan diminta pertanggungjawaban.


Semoga bermanfaat.


1/2/23

No comments: