Monday, June 11, 2018

Ulasan UITG2 - Sentiasa Ada Yang Melebihi Kita


Dalam Ucaptama Ijtima’ Tarekat Ghazaliyyah 2018 ada dinyatakan : “Selalulah beringat, bahawa akan sentiasa ada orang yang lebih daripada kita. Ingatan yang sebegini akan membantu menyelamatkan kita daripada terkena kotoran sifat-sifat mazmumah.”

Apakah maksud ingatan ini?

Ingatan ini berkisar tentang pencapaian ilmu, pencapaian iman, pencapaian amal, kedudukan/ maqam di sisi Allah dan yang seumpama dengannya. Perasaan aku atau kami paling tahu, paling ma’rifah, paling baik, paling dekat di sisi Allah, paling tinggi maqam dan seumpamanya akan datang sebagai ujian daripada Allah kepada setiap ahli dan perkumpulan sufi.

Dalam usaha untuk mengelak daripada terjebak ke dalam fitnah ini, maka kita diperingatkan siap-siap agar sentiasa berbekalkan pegangan bahawa “akan sentiasa ada orang yang lebih daripada aku, kami dan kita”. Dengan itu hati kita akan berasa lapang, senang hati dan selamat daripada perlumbaan yang tidak sihat dalam kalangan sesama sufi dan pihak-pihak lain.

Orang-orang atau perkumpulan-perkumpulan yang terkena fitnah ini akan tenggelam dalam sifat mazmumah berasa diri paling tinggi dan semua pihak lain lebih rendah daripada diri dan perkumpulan mereka. Mereka akan terhijab dengan keinginan mahu menjadi nombor 1, mahu dipandang tertinggi, mahu dianggap paling mulia dan sebagainya. Banyak masa akan dihabiskan dalam usaha mereka untuk mencari bukti dan alasan bagi menyokong rasa-rasa itu. Untuk apa semua itu?

“Selalulah beringat, bahawa akan sentiasa ada orang yang lebih daripada kita.”

Abu Zulfiqar Al-Amsyari
9 Jun 2017

No comments:

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails