Sunday, November 25, 2012

Tazkirah Facebook 43 (Oktober 18, 2012)


Zaman dahulu…

Anak kita hendak pergi merantau jauh, entah kembali entah tidak. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kita bekalkan anak kita dengan peta, kompas dan teropong. Sekalipun dia tidak mahu benda-benda itu, kita tetap masukkan ke dalam begnya. Sekalipun dia keberatan, kita ajarkan juga cara-cara menggunakan alat-alat itu.

Dalam perjalanan meredah hutan belantara dan lautan, anak kita tersalah jalan. Sekali pun tersesat jalan, dia tetap meneruskan perjalanannya. Hinggalah pada suatu hari, dia sedar yang dia perlu berpatah balik ke pangkal jalan, iaitu ke negeri asalnya. Dapatkah dia berpatah balik?

Kemungkinan besar dia berjaya kembali ke pangkal jalan kerana di dalam begnya ada peta untuk pulang ke negerinya, ada kompas sebagai penunjuk arah dan ada teropong untuk melihat benda-benda yang jauh. Tapi bagaimana kalau ibu bapanya tidak memasukkan peta, kompas dan teropong serta tidak mengajarkannya cara-cara menggunakannya? Kemungkinan besar dia gagal berpatah balik.

Begitulah halnya dengan ilmu dan pemahaman agama. Dari anak-anak masih kecil, ibu bapa mestilah berusaha keras menerapkan ilmu-ilmu dan pemahaman agama, sekalipun anak-anak tidak menggemarinya. Hal ini kerana, sekiranya anak-anak tersalah haluan hidup apabila dewasa kelak, dan kemudiannya dia terfikir untuk berubah ke arah kebaikan (hidup beragama), dengan mudah dia dapat berpatah balik kerana dia sudah tahu membaca Al-Quran, ilmu bersuci, cara solat, ilmu berpuasa, cara berinteraksi dengan hadis-hadis dan sebagainya.

Tapi kalau insaf ketika sudah berumur sudah 50 tahun (sekadar contoh), ada jawatan dan kedudukan (dipandang tinggi oleh orang-orang), kesihatan semakin menurun…… baru hendak belajar alif ba ta, cara mandi wajib, cara mendirikan solat….. memang susah untuk dia hendak berpatah balik.

Orang yang sudah ada ‘alat’ untuk pulang dan tahu cara menggunakannya, biasanya berjaya pulang dengan segera dan selamat.
Orang yang tidak ada ‘alat’ untuk pulang, biasanya sangat sukar untuk pulang, ataupun mungkin tidak sempat pulang, ataupun dia berputus asa lalu membatalkan hasratnya untuk pulang.

Kepada ibu bapa, sediakan ‘alat’ untuk anak-anak sekalipun mereka tidak minat, sekalipun kita sendiri mungkin tidak minat.
Kepada individu, sediakan ‘alat’ yang sewajarnya untuk diri masing-masing.

1 comment:

Unknown said...

As Salam, i am currently conducting a survey about mosque in Malaysia for my master thesis. it would be a big help if u could help me to answer the survey. Thanks in advance.
https://docs.google.com/spreadsheet/viewform?formkey=dGhMa19JeDlpZ04xajZTVnROYVl2cWc6MQ#gid=0