Wednesday, November 7, 2012

Tazkirah Facebook 32 (Oktober 10, 2012)


Andaikan kita sedang dalam perjalanan berpindah ke sebuah negeri yang sangat jauh. Perjalanannya memakan masa 60 tahun. Wang dan gaji yang ada pada kita memang sudah cukup untuk memulakan kehidupan baru di negeri itu, tidak perlu untuk ditambah lagi.

Di sepanjang perjalanan sesekali kita terjumpa pokok liar di tepi-tepi jalan (yang mudha untuk kita menggapainya) yang membuahkan 1 sen, 5 sen atau 10 sen. Pada sebatang pokok adalah satu syiling. Memang tidak akan kaya dan tidak banyak menambah wang sedia ada kita kalau kita memetiknya pun. Lagi pun wang sedia ada kita sudah mencukupi, gaji pun naik setiap tahun. Hendak memetiknya pula terpaksa memijak rumput-rumput di tepi jalan. Biarlah.

Ada seorang sahabat kita yang bersama-sama kita dalam perjalanan itu. Wangnya juga sudah mencukupi, tapi dia begitu rajin memetik syiling-syiling itu. Kita tersenyum sahaja melihat telatahnya yang sesekali nampak bersungguh memetik syiling yang dilihatnya. Kita memandang perbuatannya itu bagus, tapi kita sendiri tidak berminat pun untuk melakukannya. Biarlah. Setakat RM 3 sehari, apalah sangat. Gaji harian kita dan dia pun RM 150 sehari, setiap tahun sama-sama naik gaji, hendak apa lagi kan? Buat apa susah-susah hendak menambah RM 3 sehari?

Dalam pada itu, ada juga orang-orang lain dalam rombongan kita itu yang memandang sinis akan perlakuan sahabat kita itu. Malah ada yang kata sia-sia. Macamlah tak cukup duit. Kalau tak petik pun, tetap sampai juga ke negeri baru. Buang masa dan tenaga. Orang tak pandanglah RM 3 sehari itu. Kata mereka.

Akhirnya kita pun sampailah ke negeri yang kita tuju. Seronoknya kita di negeri yang baru itu. Kita pun membeli sebuah rumah berharga RM 200,000 tunai. Sahabat kita tadi? Dia membeli rumah berharga RM 250,000 tunai. Kita berasa hairan, bagaimana dia yang mempunyai pendapatan dan bekalan yang sama dengan kita, tiba-tiba boleh membeli rumah yang lebih baik daripada kita?

Rupa-rupanya, dengan RM 3 sehari jumlah syiling-syiling yang dipetiknya di sepanjang perjalanan yang memakan masa 60 tahun itu, sahabat kita itu berjaya mengumpulkan lebih kurang RM 50,000. Ketika itu barulah ahli-ahli rombongan ‘memandang’ perlakuan sahabat kita itu. Fuh! Barulah kita menyesal, “Alangkah baiknya jika aku juga bertindak bijak seperti sahabatku itu…..”

Apa yang cuba disampaikan di sini?

Negeri baru = akhirat
Perjalanan 60 tahun = umur kita di dunia
Syiling-syiling yang dipandang tidak bernilai sangat = sunnah-sunnah Rasulullah yang mudah-mudah, tidak membebankan kita jika kita mengamalkannya pun seperti berjanggut, berkopiah, berserban, bercelak, berjubah, cara tidur, cara membuang air, menyebarkan salam, memakai pakaian putih dan sebagainya. Semuanya boleh kita lakukan sambil-sambil sahaja. Ada yang boleh dilakukan sesekali, ada yang boleh dilakukan berterusan.
Rumah di negeri baru = syurga.

Pengajarannya, janganlah dipersia-siakan sesuatu yang dipandang kecil, apatah lagi jika ia mudah untuk dilakukan.

(*Itu pun kalau betul sunnah-sunnah itu nilainya 1 sen, 5 sen atau 10 sen di sisi Allah. Bagaimana jika Allah memandang nilainya RM 10, RM 20, RM 50……. lebih lagi…..?)

No comments: