Wednesday, November 7, 2012

Tazkirah Facebook 39 (Oktober 16, 2012)


‘Ilmu yaqin, ‘ainul yaqin, haqqul yaqin.

John di Amerika diberitahu bahawa di Malaysia ada sejenis makanan namanya sambal tumis petai. John percaya, walaupun dia belum pernah melihat atau merasanya. Pengetahuan dan kepercayaan John ini diperingkat ‘ilmu yaqin. John tahu dan percaya kewujudan sambal tumis petai melalui kata-kata orang. Tapi jika diletakkan 10 jenis lauk-pauk di depan John dan diminta dia menunjukkan yang mana satu sambal tumis petai, pasti dia tidak dapat menunjukkannya.

Kemudian John  datang ke Malaysia lalu ditunjukkan kepadanya sambal tumis petai. Pengetahuan dan kepercayaan John terhadap sambal tumis petai ketika ini sudah diperingkat ‘ainul yaqin kerana dia sudah melihatnya sendiri. Namun begitu, jika diletakkan 10 pinggan lauk-pauk yang rupanya seperti sambal tumis petai bersama-sama sepinggan sambal tumis petai di depannya, John masih boleh tersilap tunjuk kerana dia belum pernah merasai sambal tumis petai itu.

Selepas itu John merasa/memakan pula sambal tumis petai itu. Ketika itu ilmunya sudah pun naik ke peringkat haqqul yaqin, kerana John bukan setakat tahu dan lihat, bahkan sudah pernah merasainya. Ketika diletakkan 10 pinggan lauk-pauk di depannya, dengan mudah John boleh memilih yang mana satu sambal tumis petai tanpa tersilap lagi.

Beginilah kita hendaknya dalam beragama. Kita menyembah/berabdi kepada Allah biarlah sampai ke peringkat haqqul yaqin. Ketika itu sudah pastilah kita tidak akan tersalah sembah. Sembahan kita tepat. Kita menyembah Allah Yang Esa, bukannya tersembah makhluk ataupun tersembah Allah yang bercampur dengan makhluk. Makhluk mana pun yang mengaku sebagai Allah kepada kita, kita boleh menyaringnya dalam masa 1 saat sahaja tanpa ragu-ragu, tanpa perlu berfikir : “Ini Allah ke bukan ye?”

No comments: