Thursday, August 9, 2012

Menilai Nasser Mohamed dan Abdul Aziz Nashir



*Tajuk asal artikel ini ialah "Benarkah Mereka Al-Mahdi dan Pemuda Bani Tamim?"


1.0 PENDAHULUAN
Tulisan ini dihidangkan dalam bentuk PERBINCANGAN, bukannya ARGUMENTASI. Oleh itu saya akan membincangkan pro dan kontra, menyatakan kecenderungan peribadi saya jika perlu, dan lebih suka jika pembaca dapat membuat pertimbangan sendiri ke atas maklumat-maklumat yang dihidangkan. Tulisan ini juga dibuat tanpa saya merujuk kepada mana-mana tulisan berkaitan kerana setakat ini saya belum jumpa mana-mana orang yang menghuraikannya dengan panjang lebar. Oleh itu, maklumat-maklumat dalam tulisan ini tidak mustahil mengandungi kelemahan dan kesalahan. Semoga Allah mengurniakan gerak yang baik kepada saya dan anda semua.


2.0 MENILAI PEGANGAN NASSER MOHAMED (AL-MAHDI)

2.1 WAJAH AL-MAHDI
Saya ada melihat beberapa keping gambar yang dikatakan wajah Al-Mahdi iaitu Nasser Mohamed. Melihatkan pada hidungnya yang mancung, memang sudah kena dengan isyarat hadith Nabi. Tapi, bahagian dahinya tidak sama kerana dahinya jenis sempit sedangkan dahi Al-Mahdi luas.

“Al-Mahdi itu DAHINYA LUAS dan hidungnya mancung.” (Abu Daud)

Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya ‘Ulasan Ringkas Tentang Tanda-tanda Al-Mahdi Yang Dinanti’ menyatakan : “Kulit Al-Mahdi seperti kulit orang Arab, bentuk tubuhnya seperti tubuh Bani Isra’il, pipi kanannya bertahi lalat, dan kekhalifahannya diredhai penduduk bumi, penduduk langit dan burung di angkasa.” Riwayat senada ini diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dan Thabrani. Riwayat ini mungkin tidak kukuh, tapi boleh juga kita cuba-cuba padankan dengan Nasser Mohamed.

Saya memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi.

2.2 KEMAKSUMAN
Nasser Mohamed mengakui dirinya tidak maksum. Bahagian ini memang kita persetujui. Tetapi dia menambah pula, bahwa TIDAK ADA SESIAPA PUN YANG MAKSUM KECUALI ALLAH. Bahagian ini janggal bunyinya, kerana kita sedia maklum yang para nabi bersifat maksum. Atau mungkin juga Nasser Mohamed mempunyai definisi ‘maksum’ yang lain daripada yang biasa kita fahami.

Saya memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi.

2.3 ILMU LADUNI
Katanya dia menerima ilmu terus daripada Allah sebagaimana Nabi Sulaiman pernah menerimanya. Ilmu ini tidak melalui perantaraan Malaikat Jibril. Oleh itu dia bukan rasul atau nabi. Dalam kata lain, ilmu yang dimaksudkan oleh Nasser Mohamed ialah ilmu laduni. Hal ehwal ilmu laduni ini ada dibincangkan dengan agak terperinci oleh Imam Al-Ghazali dalam kitabnya ‘Ar-Risalah Al-Laduniyyah’. Para pembaca boleh merujuk kitab itu untuk mendapatkan pemahaman tentangnya.

Bahagian ini kita boleh pertimbangkan (boleh dipertimbangkan bukannya bermaksud boleh dipercayai terus).

Saya memandang bahagian ini mungkin dapat menguatkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi.

2.4 KHULAFA AR-RASYIDIN
Nasser Mohamed menyanjung Saiyidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Hal ini menunjukkan dia bukanlah penganut fahaman Syiah. Namun begitu dia memandang keutamaan lebih terletak pada Saiyidina Ali berbanding tiga orang lagi khalifah. Hal ini tidak mengejutkan kita kerana memang ramai ahli masyarakat Yaman yang memandang Saiyidina Ali lebih afdhal dan lebih utama untuk menjawat jawatan khalifah selepas pemergian Rasulullah saw. Namun begitu, dengan pemahaman sebegitu sahaja tidaklah membuatkan mereka terkeluar daripada Ahli Sunnah wal Jamaah. Pandangan majoriti ulama ialah Saiyidina Ali bukan yang terafdhal atau paling utama, namun ada juga beberapa pandangan lain yang boleh dikira terpencil seperti lebih afdhal dan utamanya Fatimah binti Rasulullah dan Saiyidina Abbas.

Saya memandang bahagian ini dapat menguatkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi.

2.5 HOLLOW EARTH NASSER MOHAMED
Menurut Nasser Mohamed, Hollow Earth ialah satu terowong di bawah tanah yang memiliki dua pintu. Satu pintu terletak di Utara dan satu lagi di Selatan. Di sinilah tempat asal Nabi Adam sebelum baginda dihantar keluar ke bumi.

Ramai umat Islam percaya tempat asal Nabi Adam ialah di syurga. Namun begitu ada juga yang mengatakan bahawa tempat itu bukannya syurga. Ia lebih kepada sebuah taman atau kebun yang indah. Sebab itulah ia disebut sebagai “jannah”, yang bermaksud kebun. Jannah ini tidak sama dengan Jannah syurga. Pada zaman itu, syurga sebenar belum dibangunkan. Kalau sudah diwujudkan pun, ia terletak di tempat yang lain. Bukankah Tuhan telah berjanji bahawa mana-mana manusia yang masuk ke dalam syurga, tidak akan keluar-keluar lagi? Padahal Nabi Adam dan Hawa dikeluarkan dari jannah.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam jannah dan (berhampiran) mata air.” (Al-Hijr : 45)
“Mereka tidak berasa letih di dalamnya dan MEREKA TIDAK AKAN DIKELUARKAN DARIPADANYA.” (Al-Hijr : 48)

Tuhan juga mengatakan bahawa di dalam syurga tidak akan terdengar perkataan yang sia-sia, yang tidak elok. Tapi Adam dan Hawa terfitnah dengan kata-kata Iblis di dalam jannah itu sehinggakan mereka diusir keluar.

“Dalam jannah na’im (dalam syurga kenikmatan).” (Al-Waqi’ah : 12)
“Di sana mereka TIDAK MENDENGAR PERCAKAPAN YANG SIA-SIA ataupun yang menimbulkan dosa.” (Al-Waqi’ah : 25)

Kemudian, jika benar jannah yang diduduki Adam dan Hawa itu syurga, bagaimana IBLIS yang enggan bersujud kepada Adam sebelum itu BOLEH MASUK KE SANA lalu menghasut Adam dan Hawa?

Kata Iblis : “Tuhan kamu hanya melarang kamu berdua mendekati POHON INI…” (Al-A’raf : 20)

Perkataan “pohon ini” menunjukkan dekatnya Adam, Hawa dan Iblis dengan pohon larangan itu. Jika jauh, Iblis akan menyebutnya sebagai “pohon itu”.

Berdasarkan maklumat-maklumat ini, tidak mustahil juga mereka dahulunya berada di sebuah alam berupa taman atau kebun, bukannya syurga sebenar. WaAllahua’lam.

Bible pula menyatakan yang Adam dan Hawa berada di sebuah taman yang dikenali sebagai Taman Eden (ada kaitan dengan Syurga ‘Adn/ ‘Adnin ataupun wilayah Aden/Eden di Yaman?). Nampaknya maklumat daripada Bible sedikit-sebanyak menyokong pandangan di atas. Kajian tentang hal ini masih berterusan.

Berbalik kepada Nasser Mohamed, dia percaya yang Nabi Adam dan Hawa asalnya bukan tinggal di syurga, tetapi di tempat lain. Hal ini bolehlah kita beri pertimbangan yang sewajarnya. Namun apabila dia mengatakan tempat itu ialah di bawah tanah, sukar juga untuk kita memberi pertimbangan. Kalau dikatakannya tempat itu berada di Bukit Qaf, ataupun di kayangan, ataupun di alam jin, rasanya lebih selesa untuk kita beri sedikit ruang pertimbangan berbanding dikatakannya “ di dalam bumi”.

Ayat Al-Quran pula berbicara tentang keluarnya Adam dari Jannah ke muka bumi sebagai “TURUN”. Maksudnya Nabi Adam turun dari suatu tempat yang tinggi, bukannya keluar dari bawah bumi. Sekalipun ‘turun’ dalam ayat itu hendak kita kaitkan dengan turunnya darjat dan bukan turunnya lokasi, keluar dari bawah bumi masih tidak enak didengar untuk dikaitkan dengan ‘turun’.

“(Allah) berfirman : “TURUNLAH KAMU (wahai Adam dan Hawa).  Kamu akan saling bermusuhan satu sama lain. Bumi adalah tempat kediaman dan kesenanganmu, sampai lah waktu yang ditentukan.” (Allah) berfirman : “DI SANA (bumi) kamu hidup, di sana kamu mati, dan dari sana (juga) kamu akan dibangkitkan.” (Al-A;raf : 24-25)

Sekiranya Adam dan Hawa berada dalam perut bumi iaitu di Hollow Earth, pastinya Tuhan akan mengatakan : “Di sini kamu hidup, di sini kamu mati, dan dari sini kamu akan dibangkitkan.” Hal ini kerana Hollow Earth berada dalam satu planet dengan permukaan bumi yang kita duduki hari ini. Apabila Tuhan menggunakan perkataan “di sana”, maksudnya antara tempat asal Nabi Adam dengan bumi, jaraknya sangat jauh.

Menurut Nasser Mohamed lagi, satu hari di Hollow Earth sama panjangnya dengan setahun di bumi. Di sini pelik bunyinya. Jika Hollow Earth berada di dalam bumi, tentulah ia bergerak (sama ada mengelilingi ataupun dikelilingi objek-objek angkasa lepas yang lain) dengan kadar yang sama. Maka masanya sepatutnya sama. Bahagian ini kurang jelas kerana tidak banyak maklumat yang diberikan oleh Nasser Mohamed.

Saya memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi.

2.6 YAKJUJ DAN MAKJUJ
Nasser Mohamed percaya Hollow Earth itu didiami oleh makhluk-makhluk tertentu termasuklah Yakjuj dan Makjuj. Maknanya selama ini kaum Yakjuj dan Makjuj berada di dalam perut bumi. Suatu hari nanti mereka akan keluar merosakkan atas muka bumi.

Bahagian berkaitan Yakjuj dan Makjuj ini kalau dibincangkan secara terperinci akan menjadi sangat panjang. Oleh itu saya RINGKASKAN perbincangan tentangnya di sini dengan mengatakan bahawa sukar untuk saya menerima yang Yakjuj Makjuj berada di dalam tanah. Hal ini kerana kita tahu Zulqarnain membuat penghadang kepada Yakjuj Makjuj DI ANTARA DUA GUNUNG, maksudnya Yakjuj Makjuj berada DI SEBALIK SANA kedua-dua gunung tersebut, bukannya di dalam tanah. Suatu hari nanti, tentera Yakjuj Makjuj akan meluru dari segenap tempat yang tinggi. Jika mereka keluar dari dalam bumi, tentulah tak sesuai untuk dikatakan mereka meluru turun dari segenap tempat yang tinggi.

“Hingga apabila dibukakan Yakjuj dan Makjuj, mereka (datang/turun) dari seluruh TEMPAT YANG TINGGI.” (Al-Anbiya’ : 96)

“Sesungguhnya kamu merasakan kamu tidak mempunyai musuh, sedangkan kamu sentiasa membunuh musuh kamu, sehingga datang Yakjuj dan Makjuj dalam keadaan muka yang lebar dan mata yang kecil berwarna kekuning-kuningan, bersegera (meluru) dari TEMPAT YANG TINGGI, seolah-olah muka mereka lebam seperti terkena pemukul.” (Ahmad)

Seterusnya Nasser Mohamed memaklumkan bahawa Yakjuj dan Makjuj belum keluar ke muka bumi kerana Hollow Earth dipisahkan bahagian Utara dengan Selatannya oleh Tembok Zulqarnain, yang tentunya sebuah tembok besi bersalut tembaga. Bahagian ini pun sukar untuk saya berikan ruang pertimbangan kerana takkanlah Zulqarnain membina tembok di dalam tanah, atau di alam ghaib.  Katanya lagi, mereka akan keluar apabila Planet Nibiru/ Sijjil/Saqar melewati bumi suatu hari nanti kerana ketika itu Tembok Zulqarnain akan termusnah.

Namun begitu, sabagaimana yang saya maklumkan pada bahagian pendahuluan artikel ini, hujah yang pro tidak saya tinggalkan. Ada sebuah hadith yang boleh kita katakan sebagai penguat kepada kepercayaan mengatakan Yakjuj dan Makjuj berada di dalam tanah iaitu :
“Sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj menggali tembok itu setiap hari sehingga mereka HAMPIR DAPAT MELIHAT CAHAYA MATAHARI. Berkata dalam kalangan mereka : “Marilah kita pulang dan datang semula esok……” (Ahmad, Turmizi)

Yakjuj dan Makjuj menggali setiap hari sehingga hampir dapat melihat cahaya matahari. Di sini mungkin maksudnya mereka menggali dari lokasi yang tidak dipancar cahaya matahari. Mungkinkah mereka di dalam tanah? WAllahua’lam.

“Nabi saw bangkit dari tidurnya dalam keadaan muka merah, baginda berkata : “Tiada Ilah selain Allah! Celakalah kaum Arab yang melakukan kejahatan. Sesungguhnya makin hampir. Telah terbuka hari ini penutup (AR-RADM) Yakjuj dan Makjuj.” Dan baginda membuat isyarat bulatan. (Ahmad)

Terbukanya penutup Yakjuj dan Makjuj ini bersesuaian dengan keluarnya suku kaum Khazar dari utara (Rusia) melalui pergunungan Kaukasus, iaitu dari Celahan Darial (Darial Pass). Setakat ini saya cenderung mengatakan di situlah lokasi tembok besi bersalut tembaga yang dibina oleh Zulqarnain, berbanding lokasi-lokasi lain. Penghalang Yakjuj Makjuj melebar dari Tembok Besar China sehinggalah ke Eropah. Kebanyakannya penghalang semulajadi berupa gunung-ganang dan kawasan tinggi. Selebihnya ialah tasik besar, tembok batu, pintu besi dan seumpamanya.

 Tapi apabila Rasulullah bermimpi tentang ‘penutup’ (ar-radm) kepada Yakjuj Makjuj, maksudnya lebih kepada SUATU BINAAN BUATAN MANUSIA, bukannya penghalang semulajadi. Ar-radm merujuk kepada binaan buatan manusia, maka sudah tentulah di Celahan Darial itu ada binaan manusia yang menutup laluan Yakjuj Makjuj. Di situlah kemungkinan besarnya terdapat tembok besi bersalut tembaga buatan Zulqarnain. Kaum Khazar ini melakukan kerosakan di tempat-tempat yang mereka pergi dan berjaya mengalahkan tentera Islam. Bangsa Yakjuj Makjuj itu sangat besar, kaum Khazar ialah salah satu daripadanya. Maksudnya kaum Khazar ialah kaum Yakjuj Makjuj pertama yang berjaya meloloskan diri dan melakukan kerosakan lalu kemudiannya diikuti oleh kaum-kaum Yakjuj Makjuj yang lain.

Berdasarkan hujah ini, Yakjuj Makjuj pada zaman dahulu bukanlah makhluk aneh, makhluk asing, raksasa dan seumpamanya, tetapi suku bangsa manusia yang tidak bertamadun. Pada zaman silam, bangsa-bangsa yang tinggal di utara dunia hidup tidak bertamadun. Sebab itu mereka digelar ‘orang-orang gasar’ atau ‘barbarians’. Tamadun-tamadun awal dunia semuanya terletak di selatan daripada penghalang Yakjuj Makjuj seperti tamadun China, Mesopotamia, Yunani, Greek, Mesir, Mohenjodaro dan lain-lain.

Saya memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi.

2.7 HOLLOW EARTH UMUM
‘Hollow Earth’ ialah satu teori, dan mungkin sesuai juga dikatakan sebagai satu konspirasi. Kononnya di dalam planet bumi kita ini, ada ruang berongga yang sangat luas. Umumnya ia seumpama sebiji kelapa. Kita semua hidup di atas kulit kelapa itu (iaitu permukaaan bumi), dengan kaki kita memijak kulit kelapa itu dan kepala kita menghadap ke atas (ke angkasa lepas).

Di dalam buah kelapa itu ada ruang kosong (berisi air, kita anggaplah air itu tidak ada, yang ada hanya ruang kosong). Orang-orang yang tinggal di sana keadaannya bertentangan/ terbalik dengan kita di atas permukaan buah kelapa. Kaki mereka berpijak pada isi buah kelapa manakala kepala mereka menghadap ke arah tengah buah kelapa. Tengah buah kelapa itulah langit mereka dan dipercayai ada sesuatu seperti matahari di situ (central sun). Maksudnya graviti mereka terbalik berbanding graviti kita. Hal ini memang membingungkan kita kerana jika ia benar, pusat graviti planet bumi akan berada di antara muka bumi dengan dunia Hollow Earth, bukannya di pusat planet bumi. Kalau mahu ditamsilkan dengan buah kelapa, pusat gravitinya akan berada di antara sabut dengan isi kelapa, iaitu pada tempurungnya.

Jadi penghuni Hollow Earth ada bumi tempat berpijak, langit tempat bernaung dan tenaga alam sendiri iaitu matahari yang istimewa. Kononnya di sana ada makhluk-makhluk aneh seperti alien, dinasour, UFO dan sebagainya.

Antara orang yang mengemukakan kewujudan Hollow Earth ialah Edmund Halley (1692) yang terkenal dengan Komet Halley itu.  Katanya, di bawah perut bumi ada ruang berongga yang mempunyai atmosfera. Aurora atau Cahaya Utara yang cantik berwarna –warni di langit utara itu katanya tidak lain ialah gas bercahaya yang datang dari dalam perut bumi di kutub. Jules Verne, penulis terkenal itu pula ada menulis sebuah fiksyen yang popular dan pernah difilemkan dengan tajuk “A Journey to the Center of the Earth”. Hitler sendiri dikatakan berminat dengan Teori Hollow Earth.

Sebenarnya ‘dunia bawah’ atau ‘dunia bawah tanah’ dikatakan ada disentuh dalam ‘Epic of Gilgamesh’ dan buku Mesir kuno ‘Egyptian Book of the Dead’, namun ‘bawah tanah’ yang bagaimana yang mereka maksudkan, tidaklah dapat kita pastikan di sini. Ada orang menganggap ‘bawah tanah’ itu betul-betul di bawah tanah, ada pula yang menganggap ia satu dunia ghaib, da nada juga yang beranggapan ia sekadar perlambangan.

Saya ada berbual dengan beberapa orang penganut agama Hindu dan Tao. Mereka percaya ada tempat di bawah tanah, tapi tempat itu di alam ghaib. Ia tempat orang-orang mati yang melakukan terlalu banyak kesalahan. Kata mereka, sesiapa yang sebelum mati banyak buat baik akan diangkat naik ke atas langit, dan sesiapa yang banyak buat salah akan turun ke bawah tanah.

 Kisah dari Babylon pula ada menceritakan tentang Ishtar turun ke dunia bawah tanah. Malah dalam lagenda Indian Hopi, ada panduan masuk ke dalam ruang di perut bumi. Salah satu lokasinya ialah di Colorado. Mereka percaya dunia kita ini ialah dunia ke-4. Tiga dunia lagi berada di bawah tanah. Rasa saya, cerita Indian Hopi ini sangat sukar untuk kita terima. Dalam tradisi masyarakat Tibet, ada kisah tentang Argharta iaitu kerajaan bawah tanah di pusat bumi. Di sanalah tempat raja dunia memerintah. Sesetengah pihak percaya bahawa kerajaan Shambala yang misteri itu berada di sana.

Leonhard Fuller (1707-1783) percaya ada matahari di Hollow Earth. John Lesley (1766-1832) juga yakin ada matahari di sana, malah dua matahari. Satu dinamakannya Pluto dan satu lagi Proserpine. Cyrus Reed Teed pula datang dengan teori yang agak berlainan yang dinamakan Teori Cocave Sphere. Menurutnya, kitalah yang sedang berada dalam Hollow Earth. Ertinya ada manusia lain yang tinggal di atas permukaan bumi. Lagi haru!

Sekalipun Teori Hollow Earth ini tidak punya sandaran yang kukuh, namun manusia juga tidak punya sandaran yang bagus untuk menafikannya. Keadaan ini berterusan sehinggalah ke abad ke-19, membolehkan ia terus mendapat dukungan manusia walaupun tidak ramai.

Namun begitu, apabila manusia dan teknologi semakin maju, kita memperolehi info-info yang sebaliknya. Richard E. Byrd (1888-1957) pernah terbang melintasi Kutub Utara dan Kutub Selatan, namun dia tidak menemui apa-apa lubang yang boleh dikaitkan dengan lubang ke Hollow Earth. Pemantaun melalui pelbagai setelit di langit sana ke atas Kutub Utara dan Kutub Selatan juga gagal menemukannya. Pengujian melalui getaran umumnya yang dilakukan oleh ahli-ahli geologi melalui gempa bumi dari satu hujung bumi ke satu hujung bumi juga gagal membuktikan wujudnya ruang berongga di dalam bumi. Lubang paling dalam dibuat manusia ialah di Rusia, iaitu sekitar 12.3 kilometer. Hasilnya, struktur dalaman bumi setakat 12.3 kilometer itu memang selaras dengan kajian-kajian yang dilakukan. Para pengkaji berpandangan, apabila kedalaman kerak bumi mencecah 100 kilometer, suhu panasnya meningkat kepada 1,200 darjah Celsius. Bolehkah alien, dinasour, pemandu UFO, Yakjuj Makjuj dan lain-lain hidup di sana?

2.8 BAI’AH KEPADA AL-MAHDI
Rasulullah Saw menceritakan (*walaupun saya kira riwayat ini bukanlah riwayat yang kukuh) :
“Al-Mahdi akan dibaiat pada bulan Muharram setelah terjadi bencana dan peperangan di bulan Ramadhan sampai bulan Zulhijjah. Kemudian terjadi ancaman kepada Jemaah haji di Mina yang mengakibatkan banyak kematian sehingga banyak darah yang mengalir di jamrah. Sebahagian daripada Jemaah haji itu ada yang menyelamatkan Al-Mahdi, lantas (Al-Mahdi) dibai’ah di antara Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim, namun DIA ENGGAN MENERIMANYA. Lantas dia diancam : “Jika kamu tidak mahu menerima bai’ah daripada kami, maka LEHERMU AKAN KAMI PENGGAL.” (Al-Hakim)

Penguat kepada pembai’ahan ini ialah hadith yang bermaksud :
“Al-Mahdi akan dibai’ah di antara Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim oleh sejumlah orang yang mengikuti Perang Badar.” (Abu Daud, Al-Hakim)

Jika benarlah sedemikian kisahnya, kita nampak ada perbezaan antara Al-Mahdi sebenar dengan Al-Mahdi Nasser Mohamed. Al-Mahdi sebenar berusaha keras mengelak daripada dibai’ah sehinggakan hampir dipancung kepalanya, manakala Al-Mahdi Nasser Mohamed sedari awal lagi meminta-minta untuk dibai’ah, malah para pendukungnya di serata internet mengajak orang ramai untuk mengakui keAl-Mahdian insan yang bernama Nasser Mohamed.

Saya memandang bahagian ini boleh mengurangkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi.

2.9 HUBUNGAN AL-MAHDI-PEMUDA BANI TAMIM
Nasser Mohamed di Tanah Arab mengakui Abdul Aziz Muhammad Nashir di Indonesia (Timur) sebagai Pemuda Bani Tamim, dan Abdul Aziz (Pemuda Bani Tamim) itu juga mengakui Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi. Saling mengakui antara mereka tentunya dapat menggamit hati sebahagian orang untuk cenderung mengakui dakwaan mereka berdua.

“Nabi saw sambil memegang tangan Saiyidina Ali bersabda : “Akan keluar dari sulbi ini seorang pemuda yang akan memenuhi bumi ini dengan keadilan (iaitu Al-Mahdi). Maka apabila kamu meyakini yang demikian itu, hendaklah kamu bersama-sama Pemuda Bani Tamim. Sesungguhnya dia datang dari sebelah Timur, dan dialah pemegang panji-panji Al-Mahdi.” (Thabrani) (*Hadith ini bukanlah hadith yang kukuh, maka kisah tentang Pemuda Bani Tamim memang boleh dipertikaikan kewujudannya)

Namun begitu kita yakin Nasser Mohamed dan Abdul Aziz tidak akan menggunakan hadith ini kerana mereka lebih berpandukan Al-Quran sahaja, dan mereka juga beberapa kali menolak hadith-hadith yang sahih dan Hassan. Maka, hadith dhaif seperti ini tentu sahaja tidak dipandang mereka. Sekiranya mereka berhujah dengan hadith ini, maka akan jadinya cakap tak serupa bikin, kerana yang lebih kukuh ditolak dan yang lebih lemah pula diambil.

Sungguhpun begitu, kepada orang lain, hadith ini menunjukkan hubungan antara Al-Mahdi dan Pemuda Bani Tamim, lalu mereka akan kaitkan dengan hubungan antara Nasser Mohamed dan Abdul Aziz. Oleh itu saya memandang bahagian ini sedikit-sebanyak menyumbang kepada kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi.

2.10 NAMA AL-MAHDI
Nasser Mohamed mengakui dirinya Al-Mahdi, tapi namanya tidak sama dengan nama Al-Mahdi yang diterangkan oleh Rasulullah saw. Kata Nasser Mohamed dan para pengikutnya : “LIHAT ILMUNYA, BUKAN NAMANYA”. Dengan kata-kata ini mereka menolak sama sekali nama yang diberikan oleh Rasulullah saw.

Apabila persoalan ini kita timbulkan, mereka mengambil jalan mudah dengan meletakkan hadith-hadith yang tidak secocok dengan apa yang ada pada mereka sebagai hadith-hadith palsu. Bagaimana mereka tahu semua itu hadith palsu? Hanya melalui kata-kata sang Imam iaitu Nasser Mohamed. Mereka mendakwa yang Nasser Mohamed boleh tahu hadith-hadith palsu, dan kita pula mesti mempercayainya terus secara bertaqlid buta, tidak perlu dibuat kajian lagi.

Mari kita lihat petunjuk-petunjuk yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad saw tentang nama Al-Mahdi :

“Dunia ini tidak akan hancur sehinggalah (muncul) seorang lelaki dari kalangan kaum keluargaku (ahlul bait, keturunanku), yang NAMANYA SEPERTI NAMAKU (iaitu Muhammad), memerintah seluruh bangsa Arab.” (Turmizi)

“Dunia tidak akan kiamat sehinggalah Allah mengutus seorang lelai yang NAMANYA SEPERTI NAMAKU, dan NAMA BAPANYA SEPERTI NAMA BAPAKU.” (Thabrani, Al-Hakim, Abu Syaibah)

“Nama yang dikenakan Al-Mahdi ialah NAMAKU (iaitu Muhammad), perawakannya seperti perawakanku, akhlaknya seperti akhlakku, dan kuniyahnya ialah Abu Abdullah.” (Abu Daud, Abu Nu’aim)

“Bahawasanya Nabi pernah mengatakan tentang bala bencana yang akan menimpa keluarganya sampailah Allah mengutus panji-panji hitam dari Timur. Sesiapa yang menolongnya Allah akan menolongnya, dan sesiapa yang menghinanya Allah akan menghinanya. Sehinggalah mereka mendatangi seorang lelaki yang NAMANYA SEPERTI NAMA AKU. Mereka pun melantiknya memimpin mereka, maka Allah pun membantu dan menolongnya.” (Riwayat Nu’aim bin Hammad) (*Sefaham saya riwayat ini tidaklah kukuh)

Ketiga-tiga riwayat di atas saling menguatkan satu sama lain. Maksudnya, nama Al-Mahdi mestilah antara yang berikut :
1.      Muhammad
2.      Ahmad
3.      Muhammad bin Abdullah
4.      Abu Abdullah Muhammad
5.      Abu Abdullah Ahmad
6.      Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah
7.      Abu Abdullah Ahmad bin Abdullah
8.      Atau sekurang-kurangnya ada Ahmad atau Muhammad pada namanya seperti Ahmad Solihin atau Muhammad Nuruddin.

Tapi nama calon Al-Mahdi dari Yaman ini ialah Nasser. Memang tidak cocok, maka sebagai jalan mudah, terus dikatakan yang hadith-hadith berkenaan sebagai palsu. Tutup cerita.

Secara tidak langsung, NABI MUHAMMAD BERTEGAS MENGATAKAN : “LIHATLAH NAMANYA.” Nasser Mohamed dan pengikut-pengikutnya pula mengatakan : “Jangan lihat namanya.”  Siapa yang kita mahu ikut?

Saya memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi.


3.0 MENILAI PEGANGAN ABDUL AZIZ MUHAMMAD NASHIR (PEMUDA BANI TAMIM)

3.1 BANI TAMIM.
Apakah maksud ‘Pemuda Bani Tamim’? Apakah kaitannya dengan Bani Tamim? Allah tentunya tidak akan secara sia-sia menisbahkan Sang Pemuda kepada Bani Tamim. Tentu ada kaitannya. Jika tidak, tentu Allah akan menyebutnya sebagai ‘Pemuda’ sahaja ataupun dinisbahkan-Nya kepada yang lain.

Abdul Aziz yang mengakui dirinya sebagai Pemuda Bani Tamim tidak pula menjelaskannya kepada kita. Adakah ia bermakud pemuda itu berketurunan Bani Tamim? Jika benar, Abdul Aziz mestilah memaparkan salasilahnya yang jelas sehinggalah bertemu dengan seorang lelaki dari Bani Tamim. Sekurang-kurangnya Abdul Aziz hendaklah menjelaskan kaitan dirinya dengan Bani Tamim.

Namun sehingga kini, Nasser Mohamed atau Abdul Aziz masih belum berjaya menjelaskan hal ini. Bukankah sepatutnya sedari awal pengakuan lagi mereka dengan mudahnya akan menjelaskan hal ini apabila diminta? Jika diterangkannya sekarang atau pada masa akan datang pun, ia sudah dikira lewat dan memang akan memberi impak kepada kredibiliti dakwaannya sebagai pemuda Bani Tamim.

“Akan keluar dari sulbi ini (keturunanku) seorang pemuda yang akan memenuhi bumi ini dengan keadilan (iaitu Al-Mahdi). Maka apabila kamu meyakini yang demikian itu, hendaklah kamu bersama-sama Pemuda Bani Tamim. Sesungguhnya dia datang dari Timur dan dialah pemegang panji-panji Al-Mahdi.” (Thabrani)

Namun sefaham saya, hadith ini bukanlah hadith yang kukuh. WaAllahua’lam. Jadi kewujudan Pemuda Bani Tamim itu sendiri bukanlah kisah yang kuat untuk kita percayai. Saya memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Abdul Aziz sebagai Pemuda Bani Tamim.

3.2 MALAM MASJIDIL HARAM
Ketika diri Abdul Aziz dimasuki oleh sesuatu (yang kemudiannya diyakininya sebagai Allah) di Makkah, dia berlari ke Masjidil Haram pada pukul 1 pagi untuk mendapatkan bantuan, tetapi tidak ada sesiapa di Masjidil Haram ketika itu. Benarkah di Masjidl Haram TIDAK ADA SEORANG MANUSIA PUN pada pukul 1 pagi?

Para pembaca  yang pernah pergi ke Makkah di luar musim haji tentu tahu suasana tengah malam di Masjidil Haram.

Saya memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Abdul Aziz sebagai Pemuda Bani Tamim.

3.3 BERHENTI KALA AZAN SUBUH
Sesuatu (yang diyakininya sebagai Allah) yang masuk ke dalam badannya itu membuatkan Abdul Aziz berasa sakit, dan sesuatu itu berkata-kata kepada hatinya “A-Qiamah” berulang kali. Keadaan itu berterusan sehinggalah ke waktu fajar. Apabila azan Subuh berkumandang, sesuatu itu berhenti berkata-kata walaupun sakitnya masih ada.

Sepanjang pengalaman saya merawat orang (saya seorang mu’allij), biasanya yang berhenti membisik atau berkata-kata pada pesakit kala azan dikumandangkan tidak lain ialah jin. Dalam kes Abdul Aziz ini, tak tahulah saya.  

Saya memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Abdul Aziz sebagai Pemuda Bani Tamim.

3.4 TSUNAMI DAN JIBRIL
Suatu ketika Abdul Aziz menutup matanya atas arahan sesuatu yang masuk ke dalam dirinya (iaitu Allah). Ketika itu dia terlihat lembaga yang sangat besar bersayap MEMUKUL AIR LAUT dengan sayapnya sehingga air laut bergelombang sedemikian hebatnya. Makhluk besar itu tidak lain ialah Malaikat Jibril. Jibril dengan pantas naik ke langit. Gambaran ini kononnya terbukti apabila pada tahun 2004 berlaku tsunami.

Di sini ada permasalahan. Jika benar makhluk itu Jibril dan perbuatannya itu mengakibatkan tsunami, lebih sesuai lagi jika Jibril menikamkan sayapnya atau MEMUKUL SAYAPNYA KE DASAR LAUTAN, bukannya ke air laut. Hal ini kerana kita sedia maklum bahawa tsunami itu berlaku hasil GELINCIRAN BUMI DI DASAR LAUT, bukannya air laut bergelombang tiba-tiba kerana ribut taufan atau hentakan sesuatu. Gelinciran bumi di dasar lautan itu telah menghasilkan jurang lalu ia menarik air lautan masuk. Kemudian air lautan terpukul keluar lalu menghasilkan ombak besar.

Maksudnya di sini, perlakuan makhluk besar yang dikatakan Jibril itu tidak bersesuaian dengan sebab-musabab kejadian tsunami.

Saya memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Abdul Aziz sebagai Pemuda Bani Tamim.


4.0 PERSOALAN-PERSOALAN SAMPINGAN

4.1 JANGGUT DAN SERBAN
Antara persoalan yang dikemukakan kepada saya ialah… bukankah sepatutnya Al-Mahdi dan Pemuda Bani Tamim memperjuangkan sunnah Nabi Muhammad kerana mereka akan menjadi contoh dan ikutan umat manusia akhir zaman? Mengapa mereka tidak mengambil berat tentang  sebahagian sunnah Nabi Muhammad iaitu memelihara janggut dan berserban?

Jawapan saya, sudah sepatutnya begitulah. Sepatutnya merekalah yang paling atas dalam memperjuangkan sunnah-sunnah Rasulullah baik sunnah yang besar-besar, yang kecil-kecil mahupun yang seni-seni. Kalau imam dan pembantu kanannya sendiri sudah tidak memperjuangkan sunnah, bagaimana dengan orang ramai? Jika bukan mereka yang mencontohkan, siapa lagi?

Orang lelaki awam mencangkul rumput di depan rumah di tepi jalan tanpa memakai baju, tidak ada yang ganjil. Tapi kalau ulama besar dengan sengaja berbuat demikian, nampak buruk dari segi adabnya, sekalipun tidak berdosa pada hukumnya.

Begitu juga dengan janggut dan serban, atau sekurang-kurangnya penutup kepala berupa kopiah dan lain-lain. Orang awam tidak berjanggut dan berserban, itu perkara biasa. Lagi pun janggut dan serban bukannya diwajibkan. Tapi kalau ulama besar dengan sengaja tidak berjanggut dan berserban, kurang sedikit kedudukannya dari sudut adab. Kalau ulama pun sudah sebegitu, bagaimana pula dengan Imam Mahdi dan Pemuda Bani Tamim? Berdasarkan gambar-gambar yang beredar, nampaknya Nasser Mohamed dan Abdul Aziz tidaklah menjadikan janggut dan serban sebagai salah satu ‘pakaian diri’ mereka.

“Berbezalah kamu daripada orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan cukurlah misai.” (Bukhari, Muslim)

“Cukurlah misai dan peliharalah janggut.” (Bukhari, Muslim)

“Berbezalah kamu dengan orang-orang musyrik, kerana mereka mencukur janggut dan memanjangkan misai.” (Muslim)
Sila lihat gambar-gambar Nasser Mohamed. Ada ketika dia memotong janggutnya sehingga begitu pendek dan menyimpan misai. Nampaknya amalan Nasser Mohamed tidak seiringan dengan amalan dan perintah Nabi Muhammad.  Bagi Abdul Aziz pula, terus licin.

“Kami diperintahkan supaya mencukur misai dan memanjangkan janggut.” (Muslim)

“Kamu peliharalah janggut dan potonglah misai, dan janganlah kamu mencontohi Yahudi dan Nasrani.” (Ahmad)

“Sesiapa yang tidak memotong misainya, dia bukanlah daripada golongan kami.” (Turmizi)
Nampaknya Nasser Mohamed ‘bukan dari golongan kami’ kata Nabi Muhammad.

“Sepuluh perkara termasuk fitrah – memotong misai, memelihara janggut….” (Muslim)

“Janganlah kamu mencontohi orang-orang asing, biarkanlah janggut kamu panjang.” (Al-Bazzar)

“Disebabkan orang-orang Majusi membiarkan misai dan mencukur janggut mereka, maka berbezalah kamu daripada mereka, kamu ambillah misai dan biarkanlah janggut kamu panjang.” (Ibnu Hibban)

“Sesunggguhnya orang-orang musyrik itu memelihara misai mereka dan mencukur janggut mereka. Oleh sebab itu berbezalah kamu daripada mereka, dengan memelihara janggut dan memotong misai.” (Al-Bazzar)

Kesimpulannya, kesemua riwayat di atas saling menguatkan dari segi temanya. Oleh kerana hadith-hadith ini tidak selaras dengan diri Nasser Mohamed dan Abdul Aziz, bukanlah sesuatu yang luar biasa jika selepas ini mereka akan katakan hadith-hadith ini ialah hadith-hadith palsu.

Saya memandang bahagian ini mengurangkan kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi dan Abdul Aziz sebagai Pemuda Bani Tamim.


5.0 PERBEZAAN ANTARA AL-MAHDI DAN NASSER MOHAMED
Sekiranya benar Nasser Mohamed itu Al-Mahdi yang tulen, pastinya kita akan mendapati begitu banyak persamaan, bahkan 100% persamaan dengan Al-Mahdi yang dimaklumkan oleh Rasulullah saw. Namun setelah kita memohon gerak daripada Allah, mengkaji dan terus mengkaji, terlihat semakin banyak pula perbezaan antara Al-Mahdi dengan Nasser Mohamed.

Di bawah adalah antara perbezaan yang dapat kita perhatikan. (Atas tujuan perbandingan, Al-Mahdi yang asli akan saya tulis sebagai Al-Mahdi, atau Al-Mahdi Ahli Sunnah wal Jamaah, atau Al-Mahdi ASWJ, atau Al-Mahdi Sunni. Manakala Nasser Mohamed akan saya tulis antaranya seperti Al-Mahdi Mazhab Nasseri, Al-Mahdi Nasseri, atau Al-Mahdi An-Nasseri. Hal ini kerana Nasser Mohamed sendiri mengakui yang dirinya dan para penyokongnya tidak bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ/Sunni), Syiah, Salafi Wahhabi atau lain-lain. Maksudnya dia sudah mengasaskan satu mazhab ad-diin yang baharu. Untuk memudahkan pemahaman, saya namakan mazhab  baharu ini sebagai Mazhab Nasseri, atau Mazhab An-Nasseri, atau Aliran Nasseri).

Yang jelasnya, perbezaan-perbezaan ini tentu saja akan menurunkan saham Nasser Mohamed untuk ditabalkan sebagai Al-Mahdi oleh umat Islam.

5.1 NAMA
Nama Al-Mahdi ASWJ sebagaimana yang diisyaratkan oleh Rasulullah saw ialah antara Ahmad, Muhammad, Ahmad bin Abdullah, Muhammad bin Abdullah, Abu Abdullah Ahmad, Abu Abdullah Muhammad, Abu Abdullah Ahmad bin Abdullah atau Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah.

Nama Al-Mahdi kepada Mazhab Nasseri ialah Nasser Mohamed.

5.2 NILAI MAHMUDAH
Al-Mahdi seorang yang merendah diri dan tidak suka publisiti. Ketika hendak dibai’ah di Makkah pun nanti dia berusaha untuk menolak sehinggalah dia diancam untuk dibunuh, barulah dia bersedia memenuhi permintaan umat Islam.

Al-Mahdi Mazhab Nasseri seorang yang suka akan populariti dan begitu giat mempromosikan dirinya. Dia sering mangambil gambar dirinya yang cantik-cantik, dengan ‘posing’ ala seorang artis dan menyebarkannya ke serata dunia. Sebelum dibai’ah di Makkah lagi pun dia dan pengikutnya sudah sangat sibuk meminta akuan orang ramai.

5.3 JANGGUT DAN MISAI
Berseuaian dengan isyarat-isyarat daripada Rasulullah saw, Al-Mahdi sebenar seorang yang memotong misai, memanjangkan janggut dan memeliharanya.

Al-Mahdi Nasseri pula seorang yang memelihara misai, memendekkan janggut dan sesekali memotongnya sehingga begitu pendek sekali. Pemuda Bani Tamim bagi Mazhab Nasseri iaitu Abdul Aziz pula langsung tidak memanjangkan dan memelihara janggut.

5.4 KETURUNAN RASULULLAH
Al-Mahdi berketurunan Rasulullah dan jelas susur galur keturunannya. Dia boleh membentangkan salasilah dirinya sehinggalah kepada Rasulullah dengan mudah. Kedudukannya dalam salasilah itu dapat disahkan dengan mudah oleh para ahlul bait (keturunan Rasulullah saw) yang ada pada zamannya.

Nasser Mohamed yang mengaku sebagai Al-Mahdi tidak diketahui susur-galur keturunannya. Sudah bertahun-tahun kemunculannya, salasilahnya masih gagal dibentangkan. Jadi, kedudukannya memang tidak dapat disahkan oleh ahlul bait di seluruh dunia. Abdul Aziz yang memegang jawatan sebagai pemuda Bani Tamim dalam Mazhab Nasseri juga sudah lama membuat pengakuan, tapi masih gagal menunjukkan bukti hubungannya dengan Bani Tamim untuk disahkan oleh keturunan Bani Tamim yang juga sudah tersebar ke serata dunia hari ini.

5.5 AS-SUNNAH DAN AL-HADITH
Umumnya cerita tentang Al-Mahdi tidak ada dalam Al-Quran tetapi banyak terdapat dalam as-sunnah iaitu hadith-hadith. Oleh itu, apabila Al-Mahdi muncul, dia akan menyemarakkan lagi hadith-hadith Nabi kerana pada hadith-hadithlah dirinya banyak disebutkan.

Al-Mahdi bagi Mazhab Nasseri pula menolak begitu banyak hadith dan hanya berhujah menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang ditafsirkannya sendiri. Bahkan dia menolak sama sekali banyak hadith sahih dan hasan, apatah lagi yang dhaif. Apabila sesuatu hadith itu kelihatan tidak menunjukkan dirinya sebagai Al-Mahdi, akan dihukumnya sebagai hadith palsu. Cara dia membuktikan kepalsuan sesuatu hadith itu pula bukanlah melalui kajian ilmu mustalah hadith, tetapi melalui kaedah “I’m the law”. Mana hadith yang dikatanya palsu, palsulah. Tidak perlu diberinya apa-apa bukti, cukup dengan percaya sahaja. Percaya sudah, jangan banyak tanya.

5.6 MAZHAB AD-DIIN
Sebagaimana Khalifah Umar Abdul Aziz, Imam Hasan Al-Basri, Imam Al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir Jilani, Syeikh Abu Yazid Al-Bustami, para wali Songo, Sultan Muhammad Al-Fateh, Sultan Solehuddin Al-Ayyubi, Imam Asy-Syafi’I, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad, Imam Maliki, Imam Sufyan Ath-Thauri, Maulana Muhammad Ilyas, Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna, Syeikh Ibnu Ataillah dan lain-lain tokoh besar umat Islam,  Al-Mahdi juga akan datang dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah, ringkasnya yang mazhab ad-diinnya ialah Mazhab Sunni. Bukan Syiah, bukan Nasseri atau yang lain-lain.

Nasser Mohamed al-Yamani sebaliknya mengakui dirinya bukan bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah (Sunni), Syiah, Salafi Wahhabi atau sebagainya. Maksudnya dia sudah mengasaskan satu mazhab ad-diin yang baharu, yang untuk memudahkan bicara kita sebuatkan sebagai Mazhab An-Nasseri (Nasseri) sahaja.  Bagi Nasser, semua mereka yang disebutkan di atas ialah penyesat dan pemecah-belah umat Islam.

5.7 WAJAH
Al-Mahdi berdahi luas. Begitulah yang dinyatakan Rasulullah saw.

Al-Mahdi bagi Mazhab Nasseri tidak berdahi luas.

5.8 KEMAKSUMAN
Al-Mahdi tentunya yakin bahawa Rasulullah seorang yang maksum.

Nasser Mohamed Al-Yamani lain pula ceritanya. Baginya Rasulullah tidak maksum, yang maksum hanya Allah.




Bersambung……. banyak lagi diskusi akan menyusul untuk sama-sama difikir-fikirkan.

Sila tunggu kemaskini.

Abu Zulfiqar
(Tulisan asal 4 OGOS 2012)
Kemaskini kali ke-4 (9 OGOS 2012)

No comments: