Tengah hari tadi (Rabu 1 Julai 09), ada seorang budak perempuan berusia 13 tahun kerasukan. Sudah hampir setahun masalah gangguan sebegini tidak berlaku di sekitar sini. Kebetulan saya lalu berhampiran tempat kejadian. Dua orang budak lelaki memberitahu saya ada seorang budak perempuan menjerit-jerit, berkelakuan ganas dan merenung macam "nak makan orang". Saya pun melangkah ke arah tempat yang ditunjukkan.
Seorang budak perempuan duduk memeluk lutut di lantai. Dia merenung wajah saya sebentar dengan pandangan yang ganas, kemudian menundukkan sedikit pandangannya. Saya meneruskan zikir khafi sambil mengamat-amati keadaan budak itu dalam jarak 10 kaki. Turut berada di sana ialah dua orang teman saya yang bertindak sebagai pengawal kerana budak itu asyik cari peluang untuk melarikan diri.
Budak ini badannya besar walaupun masih muda. Sekali dilesingnya saya mahu terlambung dibuatnya. Tiba-tiba dia bangun dan meluru mahu melarikan diri. Kami bertiga menyekat lalu memujuknya. Nasib baik dia mahu juga menurut walaupun bunyi mendayu dan sesekali menderam semakin kuat.
Saya duduk bertinggung di sebelahnya lalu meminta izin untuk berdoa. Walaupun dia tidak menjawab, saya tetap akan berdoa juga. Saya mulakan dengan kalimah syahadah, selawat, bismillahillazhi, al-Fatihah dan ayat Kursi. Tiba di penghujung ayat Kursi deramannya semakin kuat. Gerun mendengar suaranya. Badannya mengejang dan air matanya tiba-tiba jatuh bercucuran. Berdasarkan pengalaman saya, keadaan begitu menunjukkan ada jin yang sedang melepak di dalam badan.
Penghujung ayat Kursi saya ulang 3 kali lalu dihembus ke arahnya. Kemudian disambung dengan surah al-Hasyr (Lau anzalna). Belum pun habis, tubuhnya bergetar-getar lalu mengendur. Akhirnya perlahan-lahan dia jatuh terlentang. Walaupun matanya masih tertutup, tapi nampak dia bernafas lega. Biasanya keadaan begitu menunjukkan si jin sudah keluar.
Untuk memastikan, biasanya saya bertanya, "Dia dah keluar ke?" Cara menjawab si mangsa akan menunjukkan sama ada si jin masih bersarang ataupun tidak. Alhamdulillah syukur, senang pula keluar kali ini.
Seterusnya saya minta budak itu membiasakan berzikir "Allahu Akbar". Saya tanya, "Tengah period ke sekarang?" Oleh kerana dia tidak uzur, saya minta dia mengulangi membaca surah an-Naas. Doa saya juga saya tutup dengan surah an-Naas dan dihembuskan kepadanya. Saya mengingatkan dia agar meneruskan bacaan berulang kali kerana si jin tidak mustahil boleh masuk semula.
Budak itu dihantar pulang ke rumahnya oleh seorang wanita. Saya lihat keadaannya belum begitu stabil kerana masih lemah dan berkata, "Saya takut.. saya takut..". Menurut kawan-kawannya, budak itu sering mendakwa melihat makhluk-makhluk aneh di sekelilingnya walaupun pada waktu siang dan di khalayak umum. Ada kalanya dia melihat kepala terbang. Ada kalanya terdengar suara mengejeknya. Kesian dengan keadaannya.
Wallahualam.
Itu pengalaman berjaya. Ini nak cerita pengalaman tak berjaya pula.
Kisah berlaku tahun sudah melibatkan seorang remaja perempuan. Oleh kerana beberapa orang teman tidak berjaya merawatnya, mereka membiarkan saja dia terbaring di dalam surau. Kelihatannya dia "sejuk" sedikit.
Saya masuk berseorangan. Setelah meneliti keadaannya dalam jarak lebih kurang 3-5 kaki, saya pun memulakan doa. Rupa-rupanya kawan kita yang duduk di dalam badan remaja ini jenis berang. Dia mencakar-cakar dan mencari saya. Alamak, habis aku!
Sebagai langkah keselamatan, saya berpindah ke bahagian kepala. Dia dalam keadaan menelentang. Dalam kedudukan begitu saya agak selamat. Tangan kanan saya dihalakan ke kepalanya lalu saya meneruskan doa. Tangan saya pula menjadi sasaran cakarannya. Matanya merah menyala dan suaranya penuh kegeraman dan kebencian.
Bonus untuk saya, satu sepakannya hinggap juga ke kaki saya. Kurang asam boi punya jin! Dalam keadaan terlentang begitu, dia melonjak-lonjakkan badannya ke belakang mengejar saya. Memang letih juga dibuatnya. Dua tiga pusingan saya doakan, si jin masih berdegil. Air surah Yaasin yang tersedia di situ sudah banyak direnjiskan tapi kawan kita masih bertahan nampaknya. Jelas kali ini doa saya tidak dimakbulkan Tuhan sepenuhnya. Untuk mengusir tidak berjaya, sekadar untuk membuatkan si jin tidak selesa saja.
Kemudian datang Ketua Balai Polis berpakaian biasa. Secara kebetulan dia ada dekat-dekat situ. Ada ilmu juga orang tua ni. Dia mengarahkan tapak tangannya dari jauh ke arah muka budak tadi sambil membaca beberapa ayat ataupun doa ringkas. Saya perhatikan kemuncak doanya berbunyi lebih kurang , "Allah al-Haqq". Kena bahagian itu, si jin meronta-ronta dengan agak kuat. Beberapa kali diulang oleh Ketua Balai Polis, keputusannya masih sama. Si jin mampu bertahan. Ketua Balai Polis pun pulang begitu saja.
Kesudahannya, budak ini dihantar pulang oleh beberapa orang teman saya.
Ini yang paling garang dan paling ganas yang pernah saya hadapi. Nasib baik dia tidak bangun berdiri, kalau tidak... silat seribu langkah kuaturkan.
Empat tahun sudah, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun jadi mangsa. Yang ini jenis "kuat". Saya tiba di lokasi bersama-sama dua orang teman. Ketika kami sampai, dia memang sedia berang dan meronta-ronta kecil. Ketika kami mendekatinya, dia meronta-ronta dengan kasarnya.
Risaukan keselamatan dirinya dan juga orang lain, kami terpaksa menangkapnya. Kedua-dua orang teman saya memegang tangannya di kiri dan kanan, manakala saya mengunci lehernya dari belakang. Keadaan darurat, terpaksalah bersentuhan.
Hendak tahu apa jadi? Kami bertiga hampir-hampir terpelanting! Dibawanya kami ke serata arah. Memang kuat betul tenaganya. Bayangkan, tiga orang lelaki dewasa dihayun ke sana ke mari oleh seorang remaja perempuan 15 tahun yang kurus kecil saja badannya.
Akhirnya dia berjaya juga dibawa ke sebuah bilik. Berangnya semakin menurun tapi asyik menangis tersedu-sedu. Yang ini Alhamdulillah, saya bacakan satu pusingan doa saja kawan kita di dalam itu pun cabut. Kalau tak silap dia cabut ketika saya membaca surah an-Naas.
Walaupun jenis kuat/ gagah, tapi mudah mengalah dan lari keluar. Jenis ini lebih baik daripada yang mencakar-cakar di atas tadi, seram betul tengok rupa dia.
Allahu Akbar.
No comments:
Post a Comment