Tuesday, July 28, 2009

Siapa yang Khawarij? (bah. 2)

MAKLUMAT:
2. Menolak Konsep Taysir.
Islam adalah agama yang menekankan prinsip at-taysir (memudah dan meringankan) sebagai salah satu dasar utamanya. Nabi s.a.w bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, tiada sesiapa yang menjadikan agama ini susah melainkan dia akan tewas. Maka hendaklah kamu perbetulkan, dekatkan, gembirakan dan mohonlah pertolongan (gunalah kesempatan) daripada perjalanan pada waktu pagi dan petang serta sedikit daripada perjalanan pada waktu awal malam”
24.

Dalam sebuah hadith lain, ketika Nabi s.a.w. mengutuskan Mu'az Ibn Jabal r.a. dan Abu Musa Al-Asy'ari r.a. ke Yaman, baginda berpesan kepada kedua-duanya: “Hendaklah kamu berdua permudahkan jangan menyusahkan, gembirakan jangan menakutkan, hendaklah saling bekerjasama dan jangan berbeza pendapat”
25 .

Imam Al-Bukhari meriwayatkan hadith ini di bawah beberapa judul bab yang berbeza dalam kitab Sahihnya, antaranya di bawah bab berjudul: “Bab: (Pada menyatakan) sabda Nabi s.a.w: “Hendaklah kamu permudahkan jangan menyusahkan”, kerana sesungguhnya Baginda sukakan peringanan dan kemudahan untuk manusia”26. Disebabkan kejahilan mereka tentang sunnah, maka mereka pesimis terhadap sunnah-sunnah yang bersifat taysir, lalu mereka pertikai dan menolaknya.

Dalam hal ini, Al-Azraq Ibn Qais meriwayatkan: Maksudnya: “Kami sedang berada di tebing sungai Ahwaz (di Iraq) untuk memerangi puak Haruriyyah, tiba-tiba Abu Barzah Al-Aslamiyy datang menunggang kuda lalu bersolat sambil melepaskan (tali) kudanya. Tiba-tiba kuda itu meninggalkannya lantas beliau menghentikan solat dan mengejarnya sehingga dapat. Kemudian, beliau datang semula untuk menunaikan solatnya. Seorang lelaki khawarij berkata: “Ya Allah! binasakanlah orang ini, dia telah meninggalkan solatnya kerana seekor kuda”. Abu Barzah tampil seraya berkata: Sesungguhnya aku dengar kata-kata kamu, semenjak Rasulullah s.a.w. wafat tiada seorang pun yang bercakap kasar denganku, sesungguhnya aku pernah menyertai enam hingga lapan peperangan bersama Rasulullah s.a.w. dan aku telah menyaksikan (pendekatan) taysir baginda (dalam ibadat), sesungguhnya aku lebih suka pulang bersama binatang tungganganku daripada membiarkannya kembali ke tempatnya sehingga menyusahkanku, sesungguhnya jarak rumahku jauh, jika aku solat dan biarkan nescaya aku tak dapat kembali kepada keluargaku sampai ke malam”27.

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa golongan khawarij tidak menerima kemudahan bergerak dalam solat untuk tujuan yang mustahak, meskipun ia menepati sunnah Nabi s.a.w. dan menepati konsep taysir yang menjadi dasar penting dalam ajaran Islam.

PANDANGAN SAYA:

Jika seorang penganut agama Islam mengatakan, “SUNAT hukumnya bagi wanita Islam TIDAK BERTUDUNG.” Kemudian penganut agama lain mengatakan, “Lihatlah, begitulah pegangan umat Islam.” Benarkah tafsiran sebegini?

Pastinya tidak. Begitu juga dalam hal solat dan kuda tadi. Hanya kerana SEORANG daripada kaum Khawarij itu berkata begitu, maka mereka mengeluarkan hukuman terburu-buru yang berbunyi: “jelas menunjukkan bahawa GOLONGAN KHAWARIJ (terus dihukumnya keseluruhan kaum Khawarij itu) tidak menerima kemudahan bergerak dalam solat untuk tujuan yang mustahak.”

Ini bukan cara yang berlandaskan kebenaran dan moral. Sebiji pisang busuk lalu dihukum setandan busuk. Hujah yang dibawanya ini sama sekali tidak menunjukkan yang kaum Khawarij menolak konsep at-taysir. Hujah ini hanya sesuai untuk menunjukkan pernah ada SEORANG Khawarij yang menolak konsep at-Taysir. Itu pun bukan muktamad.

Kita kena berpandangan luas. Kejadian itu berlaku dalam suasana bahang perang. Biasalah, dalam situasi begitu, masing-masing pihak akan menggunakan apa saja helah yang berkesan untuk memenangi perang saraf. Boleh jadi si Khawarij itu mengeluarkan kata-kata sebegitu untuk menunjukkan teruknya keimanan musuh mereka. Dengan itu, dia dapat mengukuhkan kepercayaan para khawarij lain bahawa mereka di pihak yang benar. Jadi mungkin situasi ini lebih kepada perang saraf. Wallahualam.

Siapa penulis artikel ni sebenarnya? Jenis penulis begini memang banyak bawa kerosakan kepada umat Islam. Harap-harap dia dapat buat pembetulan pada artikelnya. Hendak berdakwah melalui tulisan ni ada tatacaranya, bukan hentam melulu. Bayangkan jika orang biasa dalam masyarakat kita membaca tulisan si penulis, kan mereka akan terpegangaruh dengan maklumat dan hidangan salah dalam artikel itu.

MAKLUMAT:
3. Berpegang Dengan Falsafah ‘Bidah Hasanah’.


Dalam sebuah athar28 sahih riwayat ad-Darimi, Abu Musa Al-Asy'ari r.a. memberitahu Ibn Mas'ud r.a. bahawa beliau melihat di masjid sekumpulan lelaki sedang duduk dalam halaqah-halaqah (bulatan) zikir untuk bertakbir, bertahlil dan bertasbih dengan menggunakan biji-biji batu mengikut cara yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan juga para Sahabat r.a.. Mendengar yang demikian itu, Ibn Mas'ud menuju ke masjid itu lantas menegur mereka dengan katanya: “Hitunglah amalan buruk kamu itu kerana aku jamin bahawa amalan baik kamu tidak akan hilang sedikitpun. Celakalah kamu wahai umat (Nabi) Muhammad! Alangkah cepatnya kebinasaan kamu, para Sahabat Nabi s.a.w. masih ramai, baju baginda inipun masih belum hancur dan bekas makanannya pun belum pecah. Demi yang nyawaku di TanganNya! Adakah sesungguhnya kamu berada di atas agama yang lebih baik dari agama Muhammad atau kamu sebenarnya pembuka pintu kesesatan?” Mendengar kata-kata Ibn Mas'ud itu, mereka menjawab: “Demi Allah! wahai Abu Abd Ar-Rahman29! Tujuan kami hanya untuk kebaikan”. Mendengar jawapan mereka itu, lalu Ibn Mas'ud berkata: “Berapa ramai orang yang bertujuan baik tetapi tidak kena (caranya). Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu kami: “Bahawa ada satu kaum yang membaca al-Quran tidak melebihi kerongkong mereka”30. Demi Allah! Aku tak tahu boleh jadi kebanyakan mereka itu adalah dari kalangan kamu”. Menjelaskan kata-kata Ibn Mas'ud ini, Amr Ibn Salamah31 berkata (maksudnya): “Kami melihat semua lelaki yang berada dalam halaqah itu menyertai puak Khawarij lalu menyerang kami pada hari peperangan An-_ahrawan” 32.

Athar ini menunjukkan bahawa amalan berzikir dalam halaqah beramai-ramai adalah amalan bidcah puak Khawarij yang memerangi para Sahabat r.a. dalam peperangan an_ahrawan. Manakala jawapan yang mereka berikan kepada Ibn Mas’ud r.a. itu pula menunjukkan bahawa mereka membela amalan bidah mereka dengan falsafah ‘bidah hasanah’.

PANDANGAN:

Jadi yang hendak ditolak daripada pernyataan di atas ialah amalan berzikir berkumpulan beramai-ramai.

Pertama:

Ia satu ATSAR (ringkasnya kata-kata sahabat, bukan hadis Nabi- bukan perkataan, perbuatan ataupun pengakuan Nabi). Boleh jadi ia satu ijtihad SEORANG DUA sahabat. Ijtihad para sahabat lain tentang majlis zikir beramai-ramai tidak pula disertakan oleh penulis. Jelasnya dia mengharapkan kita terus percaya tanpa soal HANYA dengan satu sandaran iaitu atsar.

Kedua:

Kata Nabi Muhammad saw sendiri tentunya lebih kuat daripada sebuah atsar. Kata baginda:

"Sesungguhnya bagi malaikat itu ada sekumpulan malaikat yang berlegar-legar mencari ahli zikir. Maka, apabila mereka menjumpai SATU KAUM BERZIKIR kepada Allah s.w.t., mereka akan berkata (kepada sesama malaikat yang lain): "Marilah segera kepada hajat kamu (apa yang kamu hajati)" Maka, mereka menaungi golongan yang berzikir dengan sayap-sayap mereka sehingga ke langit dunia..."

(Bukhari).

Dari Mu'awiyah r.a. telah berkata, bahawasanya Nabi s.a.w. pernah keluar menuju ke halaqah para sahabat Baginda s.a.w.. Lalu, Baginda s.a.w. bertanya (kepada para sahabat yang berhimpun tersebut): "Apa yang menyebabkan kamu semua duduk berhimpun ini?" Mereka menjawab: "KAMI DUDUK UNTUK BERZIKIR kepada Allah s.w.t., memujiNya terhadap nikmatNya takkala Dia memberi hidayah kepada kami dalam memeluk Islam..." sehinggalah sabda Nabi s.a.w.: "Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku dan memberitahuku bahawa Allah s.w.t. berbangga terhadap kamu di hadapan mara malaikat."

(Muslim)

Tidaklah duduk SUATU KAUM PADA SUATU MAJLIS, di mana mereka berzikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla di tempat itu. Lalu (setelah selesai) mereka berdiri, melainkan dikatakan (oleh malaikat) kepada mereka: “Berdirilah kalian, sesungguhnya Allah telah mengampuni dosa-dosa kalian dan keburukan-keburukan kalian pun telah diganti dengan berbagai-bagai kebaikan.”

(Thabrani)

Tidaklah duduk SUATU KAUM BERZIKIR nama Allah ‘Azza wa Jalla melainkan DINAUNGILAH MEREKA oleh para malaikat, dipenuhi mereka oleh rahmat Allah dan diberikan ketenangan kepada mereka, juga Allah menyebut-nyebut mereka di hadapan malaikat yang ada di sisi-Nya.”

(Muslim, Turmizi, Ibnu Majah)

Allah Ta’ala berfirman: Aku sesuai dengan sangkaan hamba-Ku kepda-Ku. Dan Aku bersamanya apabila ia berzikir (mengingat) Aku. Kalau ia berzikir kepada-Ku secara tersembunyi (dalam hatinya saja), Aku pun ingat pula kepadanya seperti itu, kalau ia BERZIKIR (mengingat) Aku DALAM MAJLIS, maka Aku pun ingat pula kepadanya dalam majlis yang lebih baik dari itu (iaitu majlis malaikat).”

(Bukhari & Muslim)

Dari Tsabit ia berkata: “Ketika sahabat Salman (al-Farisi) beserta kawan-kawannya sedang sibuk berzikir, lalulah Rasulullah s.a.w. di hadapan mereka. Maka mereka terdiam sebentar. Lalu beliau bertanya: “Apa yang sedang kalian lakukan?” Mereka menjawab: “KAMI SEDANG BERZIKIR.” Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sungguh aku melihat rahmat Allah turun di atas kalian, maka hatiku tertarik untuk bergabung bersama kalian membaca zikir.” Lantas beliau bersabda yang ertinya: “Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan dari umatku orang-orang yang aku diperintahkan duduk bersama mereka.”

(Ahmad)


bersambung...

MAKLUMAT:
4. Membalut Kebatilan Dengan Kebenaran.
Telah disebutkan sebelum ini bahawa puak khawarij dikenali dengan beberapa gelaran seperti al-Muhakkimah dan asy-Syurah yang menggambarkan seolah-olah mereka berada di atas landasan kebenaran. Gelaran al-Muhakkimah misalnya diberi kerana slogan yang sering mereka laungkan ialah ‘tiada hukum melainkan bagi Allah’, kononnya mereka hanya berhukum dengan hukum Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud; “Hanya Allah jualah yang menetapkan hukum, Dia menerangkan kebenaran, dan Dialah sebaik-baik yang memberi keputusan"
33. Begitu juga dengan gelaran asy-Syurah kerana mereka mendakwa kononnya mereka menjual diri mereka kepada Allah, sanggup berkorban nyawa keranaNya, sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah membeli nyawa dan harta orang beriman dengan balasan syurga (kerana) mereka berperang pada jalan Allah…”34. Tidak dinafikan bahawa gelaran yang mereka pakai itu mengandungi maksud yang baik dari segi bahasanya, manakala slogan yang mereka laung-langkan itu juga adalah slogan yang benar pada asalnya. Namun, hakikatnya semua itu hanyalah gimik yang bertujuan untuk mengaburi kebatilan yang mereka lakukan terhadap khalifah dan umat Islam. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. (maksudnya): “…Mereka bercakap dengan percakapan yang baik (pada zahirnya)…”. Menjelaskan hal ini Ali Ibn Abi Talib r.a. berkata: “Perkataan benar yang bertujuan batil (jahat)”35.

PANDANGAN:

Umumnya setuju.


MAKLUMAT:
5. Membaca Quran Tanpa Penghayatan Dan Keikhlasan.
Sabda Nabi s.aw (maksudnya): “…Mereka membaca al-Quran dengan lunak tetapi ia tidak melepasi halqum mereka…”. Menjelaskan maksud sabda ini, Imam an-Nawawi memetik kata-kata al-Qadi 'Iyad bahawa ia membawa dua pengertian, pertama: hati mereka tidak memahaminya dan mereka tidak mendapat manfaat daripada bacaan mereka dan kedua: segala amalan dan bacaan mereka tidak diangkat dan tidak diterima
36. Imam al-Bukhari meriwayatkan hadith-hadith berkenaan Khawarij ini di bawah beberapa judul bab, antaranya: “Bab (pada menyatakan): dosa orang yang membaca al-Quran untuk riya’, mencari makan dengannya atau berbangga dengannya”37 dan “Bab (pada menyatakan): bacaan orang jahat dan munafiq serta suara mereka dan bacaan mereka tidak melepasi halqum mereka”38.

PANDANGAN:

Umumnya setuju.


MAKLUMAT:
6. Mengkafir Dan Memerangi Umat Islam.
Sabda Nabi s.a.w. (maksudnya): “…Mereka memerangi orang Islam tetapi membiarkan saja para penyembah berhala”. Ibn Umar r.a. mengangap mereka sebagai sejahat-jahat makhluk dan beliau (Ibn Umar) berkata: “Mereka mencari ayat-ayat al-Quran yang ditujukan kepada orang kafir tetapi mereka tujukannya kepada orang beriman”
39. Al-Qadi Abu Bakr Ibn al-Arabi membahagikan puak khawarij kepada dua kumpulan: Pertama, kumpulan yang mengkafirkan semua para Sahabat r.a. yang terlibat dalam perang Jamal, Siffin dan yang reda dengan Majlis Tahkim. Kedua, kumpulan yang mengkafirkan sesiapa saja yang melakukan dosa besar40. Manakala al-Hafiz Ibn Hajar menegaskan bahawa puak an-_ajdah menambah pegangan takfir khawarij kepada sesiapa saja yang tidak keluar memerangi orang Islam, meskipun orang itu berpegang dengan aqidah mereka”41.

PANDANGAN:

Umumnya saya setuju.

Cuma satu saja yang musykil. Benarkah kaum Khawarij SEJAHAT-JAHAT MAKHLUK? Bukan apa, sekadar bertanya. Sebab kita terfikir juga... di mana kedudukan Iblis, syaitan, Dajjal, Yakjuj Makjuj, nabi-nabi palsu dan lain-lain? Sefaham saya kaum khawarij ini banyak yang mengakui dua kalimah syahadah dan melakukan amal ibadah yang lain.

Apa pandangan anda sendiri?

MAKLUMAT:
7. Penyelewengan Aqidah
Imam Abu Hasan al-Ash'ariyy (M 330 H) menegaskan bahawa pegangan tauhid Khawarij sama dengan pegangan Muktazilah dan mereka sepakat menganggap al-Quran sebagai makhluk (bukan Kalam Allah)
42 . Kemudian al-Ashcariyy huraikan pegangan tauhid Muktazilah yang berkisar pada konsep tac03 dan takwil, seperti mentakwilkan sifat istiwa’(meninggi) dengan maksud istaula (memerintah) dan mengatakan Allah berada di mana-mana tempat43. Puak Khawarij mempunyai titik kesepakatan dari segi mengkafirkan Khalifah Uthman Ibn Affan dan Ali Ibn Abi Talib r.a. serta semua yang terlibat dalam Perang Jamal, Siffin dan Majlis Tahkim. Sebagaimana mereka juga sepakat berpegang kepada hukum wajib melucut, memerangi dan membunuh pemimpin yang jahat meskipun kejahatan itu hanya pada kacamata mereka sahaja

PANDANGAN:

Pertama:

“tauhid Khawarij sama dengan pegangan Muktazilah.”

Saya tidak pernah mengkaji secara mendalam tentang persamaan itu. Penulis juga memberi maklumat yang sangat umum, boleh mengelirukan orang ramai. “Sama” yang dimaksudkannya itu SAMA DALAM HAL-HAL TERTENTU sajakah ataupun SAMA 100 PERATUS? Ceritalah betul-betul. Ini tidak, beri gambaran umum yang boleh mengelirukan.

Kedua:

“al-Ashcariyy HURAIKAN pegangan tauhid Muktazilah yang berkisar pada konsep tac03 dan takwil, seperti mentakwilkan sifat istiwa’(meninggi) dengan maksud istaula (memerintah) dan mengatakan Allah berada di mana-mana tempat.”

“Al-Ashaari MENGHURAIKAN”...... saya tidak nampak apa-apa masalah di situ. Serupalah jika kita menghuraikan pegangan tauhid Syiah Imamiah (contohnya kita katakan):

“1. Mereka percaya Allah itulah Tuhan. 2. Mereka tidak menyembah dewa-dewa Hindu. 3. Mereka mendakwa Jibril tersalah beri wahyu. .... dan seterusnya.”

Ayat-ayat di atas berbentuk HURAIAN. Dalam huraian, perkara yang benar pun disentuh, perkara yang salah pun disentuh. Apakah kerana kaum Syiah Imamiah percaya Allah itu Tuhan, maka automatik kepercayaan itu salah? Oleh itu sesiapa yang percaya Allah itu Tuhan termasuklah kita, dikira sesat?

Apakah kerana mereka tidak menyembah dewa-dewa Hindu maka kita yang tidak menyembah dewa-dewa Hindu juga dikira rosak akidah? Tentulah tidak juga.

Ketiga:

Allah berada di mana-mana

Saya pun memang menolak fahaman sebegini kerana sudah jelas Allah tidak terpengaruh dengan tempat, ruang, posisi, sempadan, arah dari dahulu, kini dan selamanya. Mustahil Zat Allah mengalami sebarang perubahan. Apa saja yang ‘berubah’ ialah makhluk. Bukan saya saja, semua kaum sufi, tariqat, tasauf, tradisional, Asyairah dan seumpamanya memang tidak berpegang kepada “Allah berada di mana-mana” kecuali SEGELINTIR puak-puak yang sesat.

Sebelum adanya tempat, ruang, sempadan, sisi, arah, gelap, terang, bumi, langit dan segala makhluk, DIA SUDAH SEDIA ADA. Bahkan Dialah yang menciptakan tempat, ruang, sempadan, sisi, arah, gelap, terang, bumi, langit dan segala makhluk daripada tiada kepada ada.

Jelasnya, Zat Allah tidak memerlukan semua itu dan tidak terpengaruh dengan semua itu. Jika Dia ada terpengaruh dengan salah satu saja pun daripada semua itu, maka Dia sudah BERUBAH. Apa saja yang berubah ialah makhluk. Sesiapa yang menyembah Tuhan yang berubah, sebenarnya dia sedang menyembah makhluk. Perbuatan ini dinamakan syirik. Dosa syirik tidak terampun.

“DI MANA-MANA” itu sendiri merujuk kepada tempat, ruang dan posisi. Sedangkan Allah tidak terpengaruh dengan tempat, ruang dan posisi. Di bintang, di awan, di laut, di bumi, di sini dan seumpamanya juga merujuk kepada tempat. Sesiapa yang berpegang kepada salah satu daripada fahaman ini, dia sudah berfaham bahawa Allah terpengaruh dengan tempat. Maksudnya Allah sudah berubah. Maksudnya Allah sudah jadi makhluk. Jika dia menyembah Allah jenis ini, jelas-jelas dia sedang menyembah makhluk, menyekutukan Allah dan melakukan syirik. Mungkinkah kita sedang menyembah sebesar-besar berhala. Alam semesta dan langit ialah antara berhala terbesar.

Keempat:

“mengkafirkan Khalifah Uthman Ibn Affan dan Ali Ibn Abi Talib r.a. serta semua yang terlibat dalam Perang Jamal, Siffin dan Majlis Tahkim. Sebagaimana mereka juga sepakat berpegang kepada hukum wajib melucut, memerangi dan membunuh pemimpin yang jahat meskipun kejahatan itu hanya pada kacamata mereka sahaja.”

Memang jahat sesiapa yang berfahaman begini.

Nampaknya sudah habis semua persoalan. Sekadar itu saja pandangan saya yang dhaif ini. SEmoga ada manfaatnya.

Wallahualam.

No comments: