Wednesday, June 24, 2009

Berjumpa Orang yang Mengaku Khidhir (1/2)

CUCU : Tok, ada seorang pakcik tu kata dia pernah berjumpa Nabi Khidhir. Betul ke tu tok?

ATUK : Wallahualam. Boleh jadi betul dia ada berjumpa dengan Nabi Khidhir. Boleh jadi juga yang dia jumpa itu bukan Nabi Khidhir. (Bibir atuk melakar senyuman)

CUCU : Tapi tok, kata pakcik tu, orang itu sendiri memperkenalkan dirinya sebagai Khidhir. Jadi siapa yang dijumpainya tu tok?

ATUK : Mungkin itu benar-benar Nabi Khidhir, tapi tak mustahil yang ditemuinya itu ialah manusia lain yang memang namanya Khidhir. Maka memang betullah jika orang itu berkata, “Akulah Khidhir.” Dah memang namanya Khidhir. Bukannya dia mengaku dirinya Nabi Khidhir. Kan banyak orang soleh yang bernama Khidhir? Tapi ada kemungkinan juga orang itu manusia biasa yang menyamar sebagai Nabi Khidhir, ataupun mahu orang menyangkakan dirinya Nabi Khidhir untuk tujuan-tujuan tertentu.

CUCU : Kalau tidak pun, jin.

ATUK : Ya, betul tu! Mungkin nama jin itu Khidhir, jadi dia perkenalkan dirinya sebagai Khidhirlah. Dia tak maksudkan pun dirinya Nabi Khidhir. Serupa manusialah. Kan dalam kampung kita ni ada orang nama Sulaiman, Musa, Adam... api mereka bukannya nabi. Satu lagi, dia mungkin juga satu jin yang bukan bernama Khidhir pun, tetapi dia menyamar sebagai hamba Allah yang soleh agar manusia menyangkakan dirinya Nabi Khidhir.

CUCU : Pakcik tu kata Nabi Khidhir ni ada petanda-petanda dia. Jadi melalui tanda-tanda itulah kita boleh kenal sama ada yang kita jumpa itu Nabi Khidhir ataupun tidak.

ATUK : Ohh tanda-tanda tu....! Macam-macam petanda yang disebarkan orang. Sekadar contohlah, mungkin kita diberitahu bahawa tanda orang itu wali ataupun nabi sekian sekian ialah jubahnya berwarna hijau, serbannya berwarna putih, ekor serbannya jatuh di sebelah kiri, di jari tangan kirinya ada dua bentuk cincin, dia tidak berkasut... macam-macamlah. Sebenarnya, jika kita tahu tanda-tanda ini, kan kita manusia pun boleh menyamar sebagai Nabi Khidhir?

CUCU : Emmm... ye tak ye jugak!

ATUK : Kalau kita manusia pun boleh menyamar, apatah lagi jin yang sebahagiannya memang mahir menyamar. Sewaktu kita bercerita tentang ciri-ciri Nabi Khidhir ni, entah berapa jin mendengar perbualan kita. Jadi, di mana masalahnya untuk mereka menyamar? Berapa banyak orang-orang yang asalnya soleh bahkan ulama yang berjaya diperdayakan jin dan syaitan? Kita pun selalu baca kisah-kisah mereka.

CUCU : Kalau macam tu tok, seandainyalah kita terjumpa hamba-hamba Allah yang mengaku Nabi Khidhirlah , Syeikh Abdul Qadir Jilanilah, Imam Mahdilah, apalah... bagaimana tindakan kita?

ATUK : Terpulanglah kepada kebijaksanaan masing-masing.

CUCU : Susah juga ye...

ATUK : Maam nilah. Tok nak cerita pengalaman tok sebagai panduan.

CUCU : Eh, tok pernah jumpa ke?

ATUK : Ya, masa tok muda-muda dulu, tua sikit daripada kamu sekarang. Suatu malam tu, tok balik lewat dari surau. Sampai di jalan nak masuk ke laman rumah, ada orang bagi salam. Tok tak perasan macam mana dia boleh ada di tepi jalan tu tanpa tok perasan. Tahu-tahu dah ada berdiri kat situ. Kami pun bersembanglah tapi tak lama.

Sewaktu hendak berpisah, dia kata, “Ingatlah, akulah Nabi Khidhir.” Tapi tok jawab lebih kurang beginilah, “Ya. Pertamanya, saya mohon maaf banyak-banyak kerana saya tidak tahu betulkah tuan ni Nabi Khidhir ataupun tidak. Dan memang Islam pun menyuruh kita membiasakan berhati-hati. Betul tak?”

Orang tu mengangguk. Tok sambung, “Jadi, apa yang tuan pesan tadi tu akan saya pertimbangkan insyaallah. Tapi tentang mempercayai tuan sebagai Nabi Khidhir, saya minta tangguh. Selepas ini saya akan memohon gerak daripada Allah dengan melakukan solat istikharah. Di samping itu, saya akan minta pandangan beberapa orang alim ulama. Dari situ, barulah saya akan ambil keputusan. Saya harap tuan tidaklah berkecil hati.”

Orang tu diaaamm je. Lepas tu tok terdengar bunyi ranting patah macam dipijak orang di belakang tok. Tok pun toleh le. Tak ada apa pun. Elok tok toleh depan balik, orang tu dah hilang.

bersambung...

4 comments:

"Orang Jelai" said...

menurut cerita guru saya...ada alamtnya untuk mengenali nabi khidir ini...wallahualam..

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

Seorang guru saya pun ada mengkhabarkannya.

Anonymous said...

apakah alamatnya?

Anonymous said...

Tkda sambungan ka berkenaan kisah bertemu Nabi Khidir nie?