Dalam Majmu’ Rasail Hasan al Banna di bahagian bertajuk Al Ma’thurat, beliau berkata:
“Saudara yang dihormati, jika anda memahami hakikat ini anda tidak sepatutnya berasa hairan jika seorang muslim sentiasa berzikir mengingati Allah dalam semua keadaan”.
Kata Imam asy-Syahid lagi:
“Nabi saw sendiri berzikir mengingati Allah dalam setiap keadaan.”
Huraian
Hasan al Banna mengakui wujudnya segelintir umat Islam yang sentiasa dalam keadaan berzikir. Pengalamannya ini adalah hasil sesi tarbiyyah sufi Tariqat Hasafiah yang pernah dilaluinya pada zaman-zaman awal kehidupan beliau. Beliau sangat mengkagumi tokoh tariqat ini iaitu Syeikh Abdul Wahhab al Hashafi bin Syeikh Hasanain al-Hashafi.
Sebenarnya Ikhwanul Muslimin tidak pernah menolak jemaah-jemaah tariqat sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian orang, cuma Ikhwanul Muslimin menolak jemaah tariqat yang ternyata sesat, dan kurang bersetuju dengan ruang lingkup dakwah jemaah-jemaah tariqat lain yang tidak cukup luas. Mereka hanya memperjuangkan beberapa aspek pilihan sahaja daripada keseluruhan aspek yang ada dalam dakwah Islam itu. Ikhwanul Muslimin tetap menghormati dunia sufi dan peranannya.
Hasan al Banna menceritakan pendapatnya tentang dunia tasauf dalam “Muzakkirat Da’wah wad Da’iyah”. Tulis Dr. Yusuf Qardhawi (tokoh utama Ikhwan dewasa ini) dalam “At-Tarbiatul Islamiyyah wa Madrasatul Hassan al Banna”: “Di dalam tasauf itu terdapat kehangatan dan semangat serta pengaruh yang tidak terdapat pada golongan yang lain dan dalam ucapan mereka terkandung kekuatan yang tidak terdapat dalam ucapan orang lain.”
Tulis Hasan al-Banna dalam Detik-detik Hidupku sewaktu menyatakan pandangannya tentang tasauf:
“Tidak dapat dinafikan bahawa ilmu tasauf dan tariqat telah memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam di pelusuk dunia yang jauh. Penyebaran Islam tidak mungkin tercapai tanpa semangat berdakwah ahli-ahli sufi ini. Islam tersebar luas kerana usaha-usaha mereka ini.”
Tulis Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Al Munqiz min adh’Dhalal” (Selamat daripada Kesesatan): “…aku berkeyakinan bahawa orang-orang sufi adalah golongan yang mengikut jalan yang hanya semata-mata menuju kepada Allah. Cara hidup mereka adalah sebaik-baik kehidupan dan tariqat yang diikuti adalah jalan yang paling tepat serta akhlak mereka adalah sebersih-bersih akhlak.” Pandangan al-Ghazali ini tentu sesuai dengan keperluan-keperluan dakwah pada zamannya, sesuai dengan statusnya sebagai mujaddid bagi zaman itu. Dengan datangnya zaman yang baru dengan mujaddid yang baru iaitu Imam asy-Syahid sendiri, maka teknologi berdakwah turut berubah.
Seperti yang kita maklumi, ulama-ulama tasauf memang membiasakan diri mereka berzikir dalam segala keadaan. Yang dimaksudkan oleh Hasan al Banna di sini ialah zikir khafi iaitu zikir di dalam hati (tersembunyi) seperti “Allah, Allah”, “Laailahaillallah” dan sebagainya secara berterusan daripada seawal terjaga dari tidur (pada waktu pagi ketika mata belum terbuka tetapi hati telah sedar) hinggalah masuk tidur (di kala mata telah tertutup hinggalah kesedaran hilang akibat lena). Inilah “trend” ulama-ulama tasauf. Biasa kita lihat si ulama berbual atau memberikan kuliah tetapi tasbih di tangannya masih tetap berjalan. Inilah yang dimaksudkan dengan “Nabi saw sendiri berzikir mengingati Allah dalam setiap keadaan.”
Fahamilah perintah Allah:
“Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat, ingatlah Allah pada masa berdiri, pada masa duduk dan pada masa berbaring.”
(An-Nisa’ : 103)
Allah memerintahkan kita supaya selalu dalam keadaan berzikir, tidak kira semasa kita berdiri, ketika duduk mahupun sedang berbaring.
Bukanlah yang dimaksudkan itu zikir bersuara (terang-terangan) kerana zikir jenis ini akan terputus apabila kita berbicara, makan minum, masuk tandas, terkejut, sakit mulut dan sebagainya. Zikir di hati itulah yang dimaksudkan kerana ia boleh diamalkan tidak kira walau di mana kita berada.
Sabda Nabi:
“Zikir khafi itu melebihi zikir jahri dengan 70 kali ganda. Setelah hari kiamat, Allah mengembalikan semua makhluk ke tempat perhitungannya. Dan malaikat penjaga membawa apa yang mereka jaga dan apa yang mereka catat. Allah berfirman kepada malaikat penjaga: Perhatikanlah, masih adakah sesuatu yang tersisa daripada (amalan) hamba-Ku? Mereka menjawab: Tidak ada satu pun yang kami tinggalkan darpada apa yang kami tahu dan yang kami jaga melainkan kami batasi dan kami tulis dengan sebenarnya. Maka Allah pun berfirman (kepada hamba-Nya): Sesungguhnya kebaikanmu ada pada-Ku. Dan Aku akan membalasnya. Kebaikanmu itu ialah zikir khafi.”
(Baihaqi)
Dalam hadith lain:
“Zikir yang paling baik adalah zikir khafi dan rezeki yang paling baik ialah sesuatu yag mencukupi.”
(Ibnu Hibban & Baihaqi)
Bayangkan kita sedang berada di medan jihad dan sedang sibuk bergomol dengan musuh, ibadah apakah yang boleh kita lakukan? Tidakkah zikir khafi? Ketika kita menjeritkan, “Hei musuh-musuh Islam, kami datang memang untuk menemui syahid!” apakah ibadah yang boleh kita lakukan? Zikir di mulut pasti terhenti kerana kita perlu bersuara tetapi zikir di hati masih boleh terus berjalan. Maka zikir jenis ini amat sesuai dipraktikkan terutamanya ketika dalam kecemasan. Zikir khafi ini tidak mengganggu pekerjaan kita.
Dalam sebuah hadith qudsi:
“Aku (Allah) bersamanya (hamba-Ku) apabila dia berzikir kepada-Ku. Maka jika ia mengingati aku di dalam hatinya, nescaya Aku ingat pula kepadanya dalam diri-Ku.”
(Bukhari)
Itulah diriwayatkan bahawa ketika Tok Kenali (seorang tokoh sufi dan waliyullah Kelantan) hampir meninggal dunia, mulutnya sudah tidak bergerak tetapi anaknya masih dapat mendengar suara “Allah, Allah” dari dalam dada bapanya.
Siapakah Tok Kenali? Beliau ialah anak murid kepada seorang ulama besar iaitu Syeikh Ahmad al-Fathoni. Dalam majalah Seni Beladiri (artikel bertajuk “Ustaz Ahmad Che Din: Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad (Asli) Jabat Kilat” oleh Mohd Nadrin Wahab) diceritakan suatu ketika Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) memerlukan seorang pemudahcara dalam dialognya dengan Syeikh Nasiruddin (Beirut), para ulama Mekah memanggil Syeikh Ahmad Fathoni. Ketika itu beliau adalah salah seorang ulama rujukan kerajaan Islam Uthmaniyyah. Syeikh Ahmad mencalonkan Tok Kenali.
Mulanya Syeikh Muhammad Abduh ragu akan kebolehan Tok Kenali. Setelah Tok Kenali mentafsirkan surah al-Fatihah selama 7 hari berturut-turut barulah Syeikh Muhammad Abduh akur dengan kelayakannya. Tok Kenali pun menyelesaikan dialog tersebut.
Diriwayatkan bahawa Saidina Abu Bakar pernah memberitahu Nabi Muhammad saw yang baginda sentiasa bersama-sama dengannya walaupun ketika di dalam tandas. Kalau benarlah riwayat ini, maka memang jelaslah Abu Bakar orang terbaik umat ini kerana dia mampu mengingati Allah dan Rasul-Nya sekaligus secara berterusan di dalam hati.
Namun kita janganlah hendaknya menyempitkan makna zikir itu terbatas kepada sebutan-sebutan “Subahanallah”, “Allah”, “Laailahaillallah” dan seumpamanya sahaja. Kalau ketika itu kita sedang berfikir tentang kebesaran Allah, bermonolog dalaman menyatakan kasih sayang kita kepada-Nya, membaca al-Quran (terutamanya dengan pemahaman) dan seumpamanya masih di kira sedang berzikir, sedang ingat kepada Allah SWT. Zikir-zikir yang diutamakan oleh Hasan al-Banna ialah zikir-zikir yang ma’tsur, yang jelas datang daripada Nabi Muhammad saw untuk mengelakkan sebarang keraguan. Dalam buku “At-Tarbiatul Islamiyyah wa Madrasatul Hassan al Banna” karya Dr. Yusuf Qardhawi tertulis di sana “Sebaik-baik zikir ialah membaca al-Quran”.
Kata Imam Nawawi dalam Al-Adzkar: “Ketahuilah bahawa keutamaan zikir tidaklah terbatas kepada tasbih, tahlil, tahmid dan takbir serta yang seumpama dengannya, akan tetapi setiap orang yang beramal kerana Allah Taala dengan ketaatan, maka ia pun berzikir kepada Allah swt (juga).” Demikianlah yang dikatakan oleh Said bin Jubair ra dan ulama lainnya.
Hadith Rasulullah saw:
“Apabila seorang lelaki membangunkan isterinya pada waktu malam kemudian keduanya bersembahyang dua rakaat bersama-sama, maka keduanya ditulis sebagai lelaki dan perempuan yang banyak berzikir kepada Allah .”
(Abu Daud, Nasa’i & Ibnu Majah)
Sewaktu kita tiada sebarang pekerjaan, maka eloklah kita berzikir secara bersuara sebagaimana hadith yang dipetik oleh Hasan al Banna dalam risalahnya ini:
“Seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, syariat Islam terlalu banyak untuk saya. Sila beritahu saya suatu perkara yang saya boleh tumpukan”. Baginda bersabda: “Hendaklah lidahmu sentiasa basah kerana berzikir kepada Allah”.
(Turmizi)
Ada orang yang berzikir tetapi tidak lebih sebutan di mulut sahaja kerana hatinya memikirkan perkara lain. Berzikir di mulut dengan kehadiran hati adalah yang terbaik.
Namun dalam tarbiyyah Ikhwanul Muslimin, item zikir khafi tidaklah dimasukkan ke dalam sukatan kerana ia bukanlah perkara pokok yang Allah wajibkan untuk semua umat Islam menguasainya. Lagipun sangat banyak masa dan tenaga akan dihabiskan untuk menguasai item ini sedangkan banyak lagi kewajiban yang lebih penting sedang berada di barisan depan yang mesti dilaksanakan terlebih dahulu. Ia adalah sekadar pengkayaan (usaha secara sendiri-sendiri) sahaja kepada sesiapa yang mampu, mempunyai lebih masa dan telah menyelesaikan kerja-kerja Islam yang digariskan oleh jemaah.
Namun bagi Ikhwan, membiasakan diri berzikir tetap sangat penting sebagaimana wasiat kedua Imam asy-Syahid dalam 10 Wasiatnya:
“Bacalah al-Quran, telaahlah tafsirannya atau dengarlah orang lain membacanya, atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah engkau menggunakan sebahagian daripada waktu untuk hal-hal yang tidak berfaedah.”
Imam asy-Syahid memetik hadith:
“Apabila satu kumpulan duduk berzikir kepada Allah Azza wa Jalla, malaikat akan mengelilingi mereka dan mereka akan dinaungi rahmat, mereka akan dilimpahi ketenangan dan Allah akan menyebut-nyebut nama mereka kepada sesiapa yang ada di sisi-Nya.”
(Muslim)
Tulisnya lagi:
“Mungkin anda sendiri kerap bertemu dengan hadith-hadith yang menyebut bagaimana baginda terserempak dengan satu kumpulan yang sedang menyebut nama Allah berzikir di dalam masjid. Baginda memuji mereka dan tidak mencegah perbuatan mereka.”
Huraian
Ikhwanul Muslimin memang menganjurkan zikir beramai-ramai pada masa tertentu. Al Ma’thurat yang disusun oleh Imam asy-Syahid biasa sangat dibaca beramai-ramai dengan kelajuan yang sama. Ini menolak dakwaan sesetengah pihak mengatakan kononnya tokoh Ikhwan seperti Dr. Yusuf Qardhawi misalnya menolak majlis zikir secara beramai-ramai.
Hadith qudsi:
“Aku (Allah) bersamanya (hamba-Ku) apabila dia berzikir kepada-Ku. Maka jika ia mengingati aku di dalam hatinya, nescaya Aku ingat pula kepadanya dalam diri-Ku. Dan jika ia berzikir kepada-Ku secara berjemaah, nescaya Aku ingat kepadanya dalam kelompok jemaah yang lebih baik daripada mereka”
(Bukhari)
Sabda baginda saw:
“Tiadalah suatu kaum duduk berzikir kepada Allah pada suatu majlis melainkan malaikat mengelilingi mereka dan rahmat meliputi mereka, dan Allah mengingati mereka sebagai orang-orang yang dekat di sisinya.”
(Muslim)
Sabda baginda dalam hadith yang lain:
“Apabila kamu melewati kebun syurga, maka berkeliaranlah di situ.” Para sahabat berkata: “Apakah kebun syurga itu ya Rasulullah?” Rasulullah saw bersabda: “Majlis zikir”.
(Dipetik daripada kitab al-Adzkar oleh Imam Nawawi)
Rasulullah keluar mendatangi kelompok zikir dari para sahabatnya lalu bersabda: “Apakah yang menyebabkan kamu semua duduk?” Mereka menjawab: “Kami duduk berzikir kepada Allah swt dan memuji-Nya atas hidayah yang diberikan-Nya berupa agama Islam dan kurnianya-Nya kepada kami”. Beliau bersabda: “Demi Allah, hanya kerana itukah kamu duduk? Sesungguhnya aku tidak menyuruh kamu semua bersumpah sebagai tuduhan terhadap kamu semua, akan tetapi Jibril datang kepadaku dan menceritakan kepadaku bahawa Allah swt membanggakan kamu semuaa kepada para malaikat.”
(Muslim)
PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT
Alexaderwathern
NOV 2006
(*Kuliah ini telah disampaikan secara lisan pada 22 NOV 2006. Apa yang tertulis adalah “lebih kurang” sama dengan apa yang disampaikan)
No comments:
Post a Comment