Friday, October 25, 2019

Adab2 Batin Membaca Al-Quran



1.       Pengiktirafan

Kita hendaklah memahami dan mengakui bahawa Kalam Allah (Al-Quran) adalah sangat agung dan sangat tinggi kedudukannya.

2.       Kesedaran

Kita hendaklah mengetahui dan menghayati bahawa yang dibaca itu bukanlah daripada kata-kata manusia.

3.       Tumpuan

Tumpukan hati (fokus pada bacaan dan pemahaman), tinggalkan bisikan-bisikan jiwa.

4.       Tadabbur.

Ambil pemahaman daripada apa yang kita baca itu (sekadar yang termampu).

5.       Ambil berat hal-hal berikut :

Ambil berat akan sifat-sifat Allah, af’alNya, kisah nabi-nabi, tentang nasib orang-orang yang menentang nabi-nabi, suruhan dan larangan Allah, jannah dan naar.

6.       Elakkan hal-hal yang menghalang daripada faham.
a.       Yang menghijabkan pemahaman kita :
                                                               i.      Apabila hati lebih tertumpu untuk membetulkan bacaan dari segi makhraj dan tajwid. Imam Al-Ghazali menulis : “Sikap terlalu berjaga-jaga dalam membetulkan bacaan itu sebenarnya dipengaruhi oleh syaitan yang ditugaskan kepada para pembaca Al-Quran. Tujuannya untuk mengelakkan para pembaca daripada memahami pengertian-pengertian kalam Azza wa Jalla. Maka sentiasalah dibawanya para pembaca itu agar mengulang-ulang huruf, yang terguris dalam hati mereka bahawa mereka belum mengucapkannya dengan makhraj yang betul.
                                                             ii.      Kerana terlalu terkongkong dengan aspek-aspek zahir sehingga gagal menangkap erti-erti yang batin daripada Al-Quran.
                                                           iii.      Kerana kita masih mengekalkan dosa-dosa.

7.       Kita hendaklah berasakan bahawa diri kitalah yang dimaksudkan oleh ayat-ayat tu.
Umumnya jika membaca ayat perintah, anggaplah perintah itu ditujukan kepada kita. Kalau membaca ayat-ayat larangan pula, anggaplah larangan itu ditujukan kepada kita.

8.       Pembekasan
Hati kita hendaklah terkesan dengan ayat-ayat yang dibaca. Ada bahagian yang duka, ketakutan, harap, gembira, bersemangat dan sebagainya. Apabila telah sempurna ma’rifahnya, nescaya rasa takut itu yang terbanyak.

9.       Peninggian

i)                    Kita hendaklah merasakan yang Allah sedang melihat kita membaca Al-Quran. Sikap kita ketika ini sepatutnya sebagai orang yang meminta, bermuka manis, merendahkan diri dan seumpamanya.
ii)                   Kita hendaklah merasakan bahawa Allah yang sedang berkata-kata kepada kita, bukannya kita yang membaca. Sikap kita ketika ini sepatutnya malu, pengagungan dan pemahaman.
iii)                 Kita yang merasa itu pun sudah hilang, yang ada hanyalah Alah yang berkata-kata. Inilah tingkat golongan muqarrabin.

10.   Pelepasan
Apabila membaca ayat-ayat yang mengandungi janji kesenangan dan pujian bagi orang-orang soleh, eloklah jika kita tidak merasakan yang kita sudah termasuk dalam kalangan orang-orang soleh. Sebaliknya kita merendah diri dan berharap agar kita dimasukkan oleh Allah ke dalam kalangan orang-orang soleh itu. Di sini ada harap.
Apabila membaca ayat-ayat yang mengandungi cacian dan celaan terhadap orang-orang durhaka dan lalai, eloklah kita merasakan yang ayat-ayat itu kena kepada kita. Di sini pula ada takut.


- Dipetik dan dirumuskan daripada kitab Ihya' 'Ulumuddin

Adab2 Zahir Membaca Al-Quran


Keadaan tubuh badan

Eloklah membaca Al-Quran dalam keadaan berwudhu’, dalam keadaan tenang sama ada berdiri atau duduk, menghadap qiblat, menundukkan kepala, tidak duduk dengan sombong, duduk sebagaimana kita duduk berhadapan dengan guru. Yang paling utama, Al-Quran dibaca di dalam solat, dalam keadaan berdiri dan di dalam masjid pula.

Jumlah bacaan.

Bagi ahli-ahli bacaan Al-Quran, terdapat pelbagai kebiasaan. Ada yang mengkhatamkan Al-Quran sekali dalam sehari, ada yang dua kali dan ada yang tiga kali. Ada yang khatamkan sebulan sekali.

Sabda Rasulullah saw : “Sesiapa yang membaca Al-Quran kurang daripada tiga kali, nescaya ia tidak memahami akan Al-Quran itu.” (Abu Dawud dan lain-lain)

Nabi saw menyuruh Abdullah bin ‘Amr ra supaya mengkhatamkan Al-Quran pada setiap tujuh hari (bersesuaian dengan keadaan Abdullah ketika itu).” (sebagaimana hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebahagian sahabat mengkhatamkan Al-Quran pada setiap hari Jumaat seperti Saiyidina Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud dan Ubai bin Ka’ab.

Ada empat tingkatan khatam (untuk orang-orang biasa) :
Khatam pada setiap hari. Sebahagian ulama menghukumkan makruh kerana terlalu banyak dan cepat.
Khatam seminggu sekali.
Khatam dua minggu sekali.
Khatam sebulan sekali. Yang ini dikira sudah sangat sedikit.

Bagi orang yang kuat beramal ibadah (orang ‘abid), sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu.
Bagi orang yang menempuh amalan hati dan pelbagai macam pemikiran atau daripada orang-orang yang menghabiskan waktunya dengan mengembangkan ilmu pengetahuan (pengajar agama), maka tidak mengapa jika diringankan menjadi seminggu sekali.
Bagi orang yang tembus pemikirannya tentang segala maksud Al-Quran, maka kadang-kadang mencukupilah baginya sebulan sekali kerana banyak keperluannya untuk membanyakkan mengulang-ulang dan meneliti.

Pembahagian
Bagi yang mengkhatamkan seminggu sekali, Al-Quran dibahagikan kepada 7 bahagian. Sehari satu bahagian.
Ada yang membahagikan bahawa pembahagian yang tujuh itu ialah bermula dengan 3 surah, kemudian 5, surah, 7 surah, 9 surah, 11 surah, 13 surah dan yang terakhir dari Surah Qaf hingga akhir Al-Quran.

Adab penulisan.

Disunatkan mencantikkan tulisan (dan cetakan) ayat-ayat Al-Quran. Boleh ditandakan dan diwarnakan untuk memudahkan orang membacanya.

Kejelasan dan kelajuan bacaan.

Baca dengan tartil – jelas bunyi setiap hurufnya. Jangan baca terlalu cepat sehingga terganggu bunyi butiran huruf-hurufnya.

Perasaan.

Disunatkan menangis ketika membacanya.

Sabda Rasulullah saw : “Bacalah Al-Quran dan menangislah. Jika engkau tidak menangis, maka buatlah menangis.” (Ibnu Majah, dengan sanad yang baik)

Sabda baginda saw : “Tidaklah daripada golongan kami orang yang tidak berlagu dengan Al-Quran.” (Bukhari, Muslim)

Cara untuk menangis adalah dengan memerhatikan maksud isi cerita Al-Quran itu (yang tidak mahir bahasa Arab eloklah melihat terjemahan)

Memelihara hak-hak ayat.

Apabila tiba pada ayat Sajadah, digalakkan bersujud. Terdapat 14 ayat Sajadah dalam Al-Quran. Dsyaratkan pada sujud ini akan segala syarat solat iaitu menutup aurat, menghadap qiblat, suci pakaian dan badan daripada hadas dan najis.

Kesempurnaan sujud itu adalah dengan bertakbiratul ihram, bertakbir untuk turun, lalu sujud, takbir bangun dari sujud, dan beri salam.

Bacaan sebelum dan selepas.

Mulakan bacaan dengan berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, dan akhiri dengan “Sadaqallahul ‘azim”.

Kekuatan suara.

Menguatkan bacaan sekurang-kurangnya sampai terdengar ke telinga sendiri.

Melagukan bacaan, tanpa berlebih-lebihan.


Dipetik dan dirumuskan daripada kitab Ihya' 'Ulumuddin